Wednesday, November 11, 2009

Hadiah Hati Daripada Fahri


Luluh jiwa ini bagai dinila air biru, tatkala mendapat panggilan daripada Khairul aku terus bergegas ke hospital. Berat kaki melangkah pergi meninggalkan Intan, tapi berkat kesabaran dan faham akan perasaan dan situasi aku, dia mengizinkan tanpa banyak pinta. Hanya tuhan sahaja yang tahu aku terikat dengan tali tergantung. Ditiup angin ke kiri dan ke kanan tanpa memberi arah yang sesuai dan meyakinkan. Raut-raut kegusaran dalam wajah aku kian bertandang, kegelisahan menjadikan reroma badanku kian menegang, mencengkam salutan daging yang membaluti tulang temulang. Benak aku kian terpancar seribu persoalan dan persimpangan tanpa sempadan.

Jasadku sudah terpacul di hadapan pintu masuk ke hospital, kaki berat melangkah. Ada kuasa yang mengawal langkahku. Genggaman erat aku tempiaskan pada lengan yang digagahkan walaupun lenguh sendi-sendi.

“Man!!!” terpacul satu suara yang melempang angin ke telingaku. Bebola Mata yang menatap lantai mamar putih pintu masuk hospital, digerakkan menghadap ke hadapan. Tersentap dan terkemam bibir aku melihat khairul berlari-lari anak menuju ke muka pintu.

“Man, kenapa kau tercegat macam patung. Jom masuk” aku terdiam sekilas wajah terpampang kebingungan. Sehelai demi sehelai bulu mata aku dirasakan mula gugur, tetapi bila aku rasakan dengan tangan, semua itu ilusi aku. Aku dalam kebingungan sambil tangan aku ditarik rapi oleh Khairul. Semua wajah yang ada disekitar itu, terus menoleh ke arah aku dah Khairul, aku terus terdiam sambil membutakan serta mentulikan keadaan sekitar.

Dengusan tangisan hidung Khairul mula menghembus, adakah dia sedang menahan tangisan atau selesama. Aku mula mempersoalankan perkara yang tidak penting. Aku mencari bayangan silam dan jasad yang jauh melayang. Lautan wajah manusia tekun menatap aksi tanganku ditarik oleh Khairul. Setelah beberapa minit ditarik tangan, aku membekukan diri, kaki aku ditegangkan dan dipacakkan ke dasar bumi. Jasadku semakin sukar untuk ditarik. Intaian mata aku mula melihat ke penjuru hadapan.

“Mak cik, Pak cik” benak aku dengan hati yang kian pualam. Aku melihat ibu bapa Adibah diluar wad operasi. Mungkinkah keadaan Adibah sedang kritikal. Berdas-das persoalan semakin kian rancak dilepaskan ke mataku.

Tangan yang ditarik Khairul dirasakan berat untuknya melangkah, ditarik sekuat hatinya namun kaki aku terus tertanam di bumi.

“Khai, ada apa sebenarnya ni?” secara spontan aku memecahkan kebisuan. Khairul tanpa reaksi terus melawan tarikan tanganku.

“Kenapa ni khai?” Bertubi-tubi soalan aku pertanyakan. Khairul terus berdiam dan membisu. Namun setelah beberapa saat terdiam, dia terus menangis dan memalingkan mukanya ke arah dinding. Dihentak-hentak kepalanya ke dinding sehingga bunyi kuat kedengaran.

Pertanyaan aku kedua kalinya juga tidak terjawab, penantian terus berlaku meski harapan untuk menanti jawapan daripada Khairul kian pudar dek kerana terlalu bersedih. Kesedihan yang aku sendiri tidak mengerti. Aku bergerak melangkah setelah memakukan jasad ke arah Ayah dan Ibu Adibah, setelah kebisuan daripada Khairul.

Aku perlahankan debaran dan degupan nadi ini, agar kerisauan aku tidak terlihat. Aku jantankan wajah keselesaan ini dengan satu harapan agar tersirat segala kegusaran yang bergelora di dalam hati. Awan yang mendung belum tentu akan hujan. Jika melihat di awan kegelapan, jangan terus mencurah air di dalam tempayan kelak akan merugikan diri. Aku telah berjanji, walau apa yang berlaku aku harus mematikan dan membisukan diri, meski ini pahit untuk dikunyah.

“Man, Dib man…Dib…” Mak Adibah terus memeluk aku. Habis basah lecun air mata yang berderai. Ayah Adibah hanya melihat dan memaparkan wajah kejantanan yang tidak gusar meski aku tahu hatinya turut bergelora seperti aku.

“Ya, Mak cik. Man tahu. Mak cik sabar ya” aku tidak tahu keadaan Adibah di dalan wad operasi. Kata-kata aku membuatkan hati Pak cik dan Mak cik kian malap dari kesedihan walaupun lampu pelita masih lagi bernyala dek sumbu yang ada hanya seinci panjangnya. Tetapi lampu pelita itu hampir-hampir terpadan dek ditiup angin.

Aku menyusun langkah ke kerusi sambil memimpin Mak cik, lalu duduk. Rengekkan Mak cik masih kuat kedengaran tetapi sudah keredaan, rengusan Khairul juga kian menutup wajah suramnya. Pak cik pula, aku kagum dengan kejantanannya. Memperlihatkan wajah yang sayup-sayup ketengangan namun diam menyepi. Operasi semakin lama memutar waktu, kemungkian subuh baru akan selesai, keletihan malam mula membuatkan aku kian melenakan mata.

Keadaan menjadi sunyi dan harmoni. Lamunan aku kian menajam ke setiap arah, terlena kesedihan Pak cik dan Mak cik. Khairul ke bilik musolah, aku menanti pintu wad dibuka penuh dengan kesabaran dan menunggu kepada persoalan malam yang amat mengerikan. Aku mula mengelamun akan Adibah kawan karibku. Persahabaatan terjalin sekian lama, membuatkan aku senang bergaul dengannya. Seorang yang periang, peramah dan perahsia, Itulah sikap nurani Adibah. Hati nurani cinta Khairul sukar untuknya terima kerana baginya Khairul adalah lelaki yang bukan untuknya, tetapi lelaki yang layak untuk dijadikan teman dikala pengubat seribu duka kehidupan.

Rentetan pengalaman dan sejarah kisah lalu membawa layangan jauh lamunan aku ke satu tempat yang biasa aku, Khairul dan Adibah singgahi. Dengan beratapkan bintang yang terilhat terang terbentang luas di kayangan, berdidingkan sayup-sayup udara yang kian merungcingkan kalbu, berdasarkan rerumput hijau dan kemerahan tanah, disitulah tempat aku, Khairul dan Adibah bersama menghabiskan masa iaitu Taman Bahtera Khayalan. Adakah Taman itu seindah dahulu atau dimamah kerakusan, ketamakan manusia. Keindahan alam kian pudar dan suram.

Di Taman ini juga, Adibah meluahkan rasa kasih dan cintanya terhadap aku, jelas lamanun aku kian menjauh apabila wajah aku kaku seribu sepi, bebola mata tidak terkelip meski beberapa saat. Saat itulah, aku mula melihat bintang diluar jendela hospital berhadapan dengan Bilik Wad Operasi. Lamunan aku terhenti seketika apabila, sesosok tubuh keluar dari Wad Operasi yang bertopengkan menutup sekitar mulutnya, dikepalanya dipakai penutup berwarna hijau. Lingkaran mata aku tangkas berlari melirik sosok tubuh itu, dan mendapatkan seribu jawapan.

”Doktor, bagaimana keadaa anak saya” tangkas Pak cik menerpa soalan kepada Jururawat sebaik kali menginjak keluar daripada Wad Operasi.

”Sabar pak cik, saya tidak boleh mengatakan keadaan sebenar yang berlaku. Apa-apa pun kami akan berusaha” tempelak jawapan itu membuatkan hati aku kian bernyanyi lagi yang kian rancak, tanpa nada yang seiring dengan retak dan melodi. Hati aku terus menjadi bisu dengan santun jururawat itu. Terlihat seribu kegelisahan dan keresahan diwajah tua Pak cik dan Mak cik.

Tidak sempat aku mengorak langkah, jawapan persoalan yang dipertanyakan Pak cik terus membuatkan aku terdiam bisu. Terus aku memalingkan muka ke muka jendela mengadap bintang yang tersenyum riang yang tidak merasakan kegusaran hati aku. Ada ketikanya kerlipan bintang membuatkan aku jauh lebih berani dengan dugaan ini. Betul kata Adibah, bintang itu boleh membuatkan kita tersenyum riang dikala duka mengetuk kesabaran. Aku mula melayangkan lamunan mengingatkan kembali ayat-ayat Adibah tika itu

”Man, kau tahu kenapa bintang itu berkelip-kelip” tatkala aku melihat keindahan alam di Taman, Adibah mendongak ke langit gelap sambil memberikan senyum balas kepada bintang.
”Kenapa?” terjawab spontan dan aku terus mendongak ke langit.

”Bintang itu indah, setiap kerlipan bintang itu tandanya ia tersenyum kepada manusia. Dia bertasbih dan memuji nama Tuhan Yang Agong. Bintang ada coraknya, tatkala pelayar silam kesesatan, bintang penunjuk arah. Begitu juga sekarang, Aku seringkali duka dan tersesat dalam langkahan kehidupan, setiap kali aku meihat bintang, seolah-olah aku melihat jalan lurus daripada kesesatan sehinggan membolehkan aku tersenyum girang” senyuman Adibah sambil menunjukkan jari jemarinya ke arah bintang.

”Betulkah? Baguslah kalau macam itu.” jelas aku sambil melihat ukiran senyuman yang terpahat tika itu.

”Cuba lihat tiga bintang berderet yang condong ke arah kanan itu, meski pun waktu dan arah tetap berubah mereka tetap bersama walau masa kian memisahkan mereka. Selama beberapa tahun ini, aku melihat gelagat bintang-bintang di langit, mata aku tidak lepas mencari bintang berderet itu, Mereka tetap bersama sebagai seorang sahabat. Seperti aku, kau dan Khairul.” lirikan mata aku tepat ke arah deretan bintang yang dimaksudkan itu. Betul katanya, bintang bisa mengukirkan senyuman kala duka.

Lamunan aku kian jauh meninggi ke angkasa, aku yang dalam kegusaran memikirkan keadaan Adibah terus meniti senyuman, apabila melihat bintang-bintang di langit. Tangan aku kian mengusap tetingkap yang basah dek embun dan pendingin udara. Deretan bintang itu masih menampakan dirinya dan masih lagi memberikan senyuman. Aku mengharapkan tiada apa yang berlaku kepada Adibah kerana, aku masih mahu dia melihat bintang dan tersenyum semula. Seperti bintang, aku mahu dia tetap mewakili tiga bintang yang berderet itu untuk selamanya. Aku, Adibah dan Khairul memerlukan antara satu sama lain, meski aku bukan untuk dicintainya tetapi aku mampu untuk menjadi sahabat terbaik untuk dirinya.

”Man...” Panggilan Khairul sambil menepuk bahu aku.

Aku mengubah pandangan ke arah dia dan terus menatap wajah sedih Khairul. Mimpi malam ini sudah pasti memberikan kejutan yang besar kepadanya. Tanpa besuara aku terus menatap alir wajah suram Khairul dan aku mula mengukir senyuman.

”Man, kenapa kau senyum” serak-serak suara Khairul kehairanan.

”Adibah suruh kita senyum dan bukannya bersedih” Khairul kebingungan. Aku memalingkan muka ke arah jendela dan terus menatap bintang.

”Man, aku minta maaf.” Suara Khairul kian terdengar sekali lagi.

”Kenapa kau nak minta maaf” aku sekali lagi memalingkan muka ke arahnya.

”Aku nak minta maaf sebab aku pernah buat salah pada kau. Aku tuduh kau bukan-bukan, aku sebenarnya cintakan Adibah dan aku tahu kau hanya menganggap Adibah sebagai kawan. Tetapi aku selalu salahkan kau.” tersedu-sedu kesedihan Khairul.

”Khai, aku dah lama maafkan kau. Aku dengan Adibah tak lebih daripada seorang kawan. Kau pun tahu, hati aku tetap pada Intan Suraya. Hanya dia mengubat kerinduan aku. Adibah adalah sahabat aku, begitu juga kau. Aku sayang kau dan dia, sudahlah jangan bersedih lagi.” kata-kata aku membuatkan titisan air mata Khairul mula menderas untuk sekian kalinya.

Aku dipeluknya dengan erat, baju yang kian mengering kembali membasah dengan air mata Khairul. Aku membiarkan sahaja kerana bagi aku, itu adalah sebagai cara untuknya melepaskan kesiksaan dalam hatinya.

Putaran jam tidak terhenti-henti berdetik, penantian yang membunuh perasaan kesabaran akhirnya kembali cerah. Pintu Operasi dibuka dan beberapa sosok tubuh keluar daripada Kamar Operasi. Lantas, aku tanpa memikirkan bintang pergi jauh daripada menatapnya lagi. Setapak demi setapak aku menunjakkan kaki ke sosok tubuh itu.

”Doktor Bagaimana keadaan Adibah?” tangkas aku memaculkan persoalan penantian.

”Bersabar, keadaannya masih belum stabil dan dia masih belum sedarkan diri” jawab doktor.

”Maksud Doktor?” Khairul mula meminta kepastian.

”Kita bersabar dan berdoa kepada Yang Esa. Itu sahaja yang kita perlu lakukan sekarang ini” doktor terus pergi dengan nada langkah perlahan meninggalkan sejuta persoalan. Raut wajah Pak cik dan Mak cik mula mengundang hujan yang tadinya mulai gerimis.

Tersentap aku bagai ditimba batu gajah yang teramat berat, tak termampu aku mengendongnya dengan hati dan keringat dingin. Berdas-das persoalan yang berlegar tiada jawapan yang pasti dan melegakan. Aku kian binggung, apakah yang sebenarnya berlaku kepada Adibah? Aku kurang mengerti bila dikhabarkan dia dikejarkan ke hospital. Setahu aku, keadaan dan kesihatan Adibah sempurna dan baik sihah walafiat.

Aku cuba mendapatkan bayangan Khairul, hanya dia yang tahu keadaan yang sebenarnya.

”Khai, aku nak tanya kau. Adibah sebenarnya kenapa, dia sakit apa?” persoalan aku membuatkan Khairul mencari setiap sudut ruang penjuru untuk dialihkan pandangannya.

”Eh..eh..dia..dia..” tersekat dan terketar-ketar nada-nada suara Khairul.

”Kau sembunyikan sesuatu daripada aku. Apa yang berlaku? Aku nak kau jujur dengan aku?” aku mendesak dengan pandangan dan telinga yang tajam mendengar jawapan Khairul.

Khairul tidak terus menjawap persoalan aku, mulanya dia bergerak ke sudut kiri ruangan menunggu dan duduk di kerusi biru laut. Aku mengekori langkahnya dan kemudian duduk disebelahnya. Nafasnya tidak sekata, tercunggap-cunggap, kadang dipanjangkan, kadang dipendekkan.

”Man, aku minta maaf kerana merahsiakan semua ini daripada kau. Kau ingat tak semasa kita bertiga terlibat dengan kemalangan sebulan lepas, keadaan aku dengan kau tidak separah Adibah. Hentakan yang kuat pada kepalanya membuatkan dia sering pengsan dan pitam. Pernah sekali aku membawa berjumpa dengan doktor, setelah di X-ray ternyata terdapat pembekuan darah dalam kepala Adibah yang tidak terselamatkan walaupun dilakukan operasi tetapi risiko terhadapnya begitu tinggi.” jawabnya dengan hengus tangisan.

”Kenapa kau tak beri tahu aku semua ini. Kenapa rahsiakan daripada aku.” Aku mula menyalahkan Khairul atas tindakannya yang menyembunyikan perkara yang sebenar.

”Dib sendiri yang tak mahu aku bagi tahu kau. Aku terpaksa Man.” aku mula menerbitkan air mata. Satu persatu air mata aku menghujani lantai. Aku menahan titisan air mata namun deras juga ia mengalir. Nafas aku kian tercungap-cungap menghetikan tangisan kesenduan.

”Apa risiko yang kau maksudkan tadi” aku masih lagi mengarapkan kesembuhan Adibah. Air mata tidak henti-henti mengalir. Dari jauh terlihat Pak cik dan Mak cik yang sedang memerhatikan aku dan Khairul dari jauh.

”Kalau dia melakukan Operasi kemungkinan besar...dia akan..dia akan...” Kata-kata Khairul tersekat dan terhenti, tidak sangup rasanya untuk menyempurnakan ayat itu.

”Maksud kau, dia akan mati. Macam tu ke? Betul ke?” Bertubi-tubi soalan aku lontarkan kepada Khairul. Air mata Khairul kian menderas, rengekakan anak jantan mula kedengaran. Tiada lagi rasa malu, tiada lagi rasa segan. Aku bagaikan hilang arah dengan kata-kata Khairul.

Persoalan demi persoalan aku ajukan kepada Khairul, namun Khairul diam membisu. Belum sempat dia menjawab soalan tiba-tiba keluar seorang jururawat daripada bilik Operasi. Berlari-lari anak memanggil nama doktor, aku terus mengorak langkah mengintai apa yang berlaku. Intaian aku dihalang oleh seorang lagi jururawat yang menutup pintu ruangan Operasi dengan erat.

Beberapa saat selepas itu, sesosok tubuh doktor terpacul berlari dihadapan aku. Lariannya tangkas hingga ke dalam ruangan Operasi. Mata aku turut berlari sama menyaksikan tingkah itu. Raut-raut wajah yang kembali tenang, kembali mengundang keresahan. Degupan jantung aku kian rancak berdiskusi dengan akal, perdebatan yang sukar untuk mendapatkan jawapan menyebabkan aku kian mengkais mencari jawapan daripada sesosok tubuh itu.

”Doktor,Doktor...” Pak cik mula menampatkan raut-raut wajah kesedihan.

”Sabar pak cik...” Doktor yang tandinya pergi kini kembali berlari-lari ke ruangan operasi.

”Apakah yang berlaku keapada Adibah” Bentak hatiku sambil mengintai dalam ruangan operasi dariapa luar. Namun, hanya terlihat adalah lembaran kain hijau yang menutupi cerminan putih.

Terlihat, rengekan Mak cik kian kembali berirama, Khairul terkaku dan terduduk terdiam, Pak cik hanya mampu menenangkan Mak cik meskipun disembunyikan ego kesedihannya. Aku pula, masih bermain dengan perlbagai persoalan. Tidak lama setelah menunggu, akhirnya sosok tubuh doktor itu kembali melangkah kaki keluar dan menghentikan langkahnya di hadapan Pak cik dan Mak cik. Aku dan Kahirul turut mendekat untuk mendapatkan khabar daripada Doktor.

”Saya Minta maaf” Hanya dengan tiga berkataan daripada doktor telah menggambarkan semua persoalan. Sekali lagi jantung aku ditikam tusuk duri yang paling bisa. Rengekkan Mak cik kian kuat, Pak cik pula telah hilang wajah-wajah kejantannanya, Khairul bagai nak gila dan terus melutut kaki ke dasar lantai, rengekkan tidak pula kedengaran, tetapi air matinya laju menderai. Kesedihan yang berpanjangan meskipun aku harus terus hidup. Sosok Doktor telah hilang daripada pandangan dan meninggalkan hati-hati yang terluka.

Kini, deretan tiga bintang itu telah hilang serinya. satu bintang telah mati, tinggal aku dengan Khairul, walaupun bintang yang tinggal itu masih lagi berkelip-kelip, tetapi kerlipan itu tidak membuatkan aku tersenyum. Aku mula memalingkan muka kepada taburan bintang diangkasa. Hatiku kian sakit melihat bintang-bintang tidak seperti beberapa minit sebelumnya.

Setelah hambir beberapa saat, tiba-tiba keluar seorang jururawat daripada bilik Operasi. Berlari-lari anak memanggil nama doktor yang masih lagi terlihat diruang legar kooridor, aku sekali lagi mengorak langkah mengintai apa yang berlaku. Intaian aku kali ini tidak dihalang oleh jururawat. Terlihat jelas keadaan di dalam ketika itu bising dan penuh dengan debaran. Aku gagal menangkap debaran mereka yang berada di dalam ruangan Operasi.

Setelah terdengar panggilan Jururawat itu, wajah dokotr terus dipalingkan ke belakang dan terus berlari. Lariannya tangkas hingga ke dalam ruangan Operasi. Mata aku turut berlari sama menyaksikan tingkah itu. Raut-raut wajah tangisan, kembali mengundang harapan. Degupan jantung aku kian rancak kali ini bukan berdiskusi sahaja malah berlaku perdebatan hebat dengan akal, aku tidak mahu ditinggalkan dengan pelbagai persoalan. Aku terus melihat dalam ruangan operasi yang tidak dihalang lagi oleh lebaran kain. Mata aku kian melirik setiap ruangan walaupun tidak jelas.

Hampir 10 minit menunggu kelibat doktor muncul kembali, akhirnya pintu ruangan operasi terbuka.

”Ini suatu keajaiban. Degupan jantungnya yang terhenti beberapa saat tadi, berdegup kembali. Ini sukar dipercaya tetapi inilah realitinya. Pembedahan yang kami lakukan berjaya Cuma menunggu kekuatan hiudp daripadanya. Dia selamat, insyaAllah” ukiran senyum sekali lagi menukar tangsian kepada berita gembira. Semuannya turut mengukir senyuman termasuk aku.

”Alhamdulilah, syukur. Terima kasih Ya Allah, Terima Kasih” Doa Pak cik yang kembali menjantankan dirinya. Disisinya dipeluk Mak cik, Sebaik sahaja diberitahu tentang keadaan Adibah, Khairul terus memeluk aku dengan kegembiran.

”Alhamdulilah, Khai. Semuanya selamat” Aku membalas pelukkan Khairul. Khairul hanya mampu terdiam dan menitiskan air mata kegembiraan. Setelah beberapa saat berpelukkan meraikan kegembiraan, aku terus mengorak langkahan ke ruangan tepi jendela, aku mendongak ke langit, melihat taburan bintang. Aku melihat deretan tiga bintang yang berkelip. Memang betul, bintang itu mampu membuat kita tersenyum.

”Terima Kasih Ya Allah, Terima kasih bintang kerana membuatkan aku tersenyum” benak aku sendirian.

*** Selamat Menempuh Peperiksaan Akhir untuk pelajar IPT daripada abg aloha ***

1 comment:

  1. cerita ni macam real aja..
    bagus2..suka tentang sahabat ni,
    thanks, terharu juga bila membaca..

    ~ILA~

    ReplyDelete