Tuesday, November 17, 2009

PEMBERONTAKAN PICASSO

EMAK engkau tidak henti-henti berleter macam ledakan mortar bertubi-tubi menghentam lubuk sasaran. Engkau bungkam macam punggur mati di atas sofa. Telinga engkau telah rebeh oleh tembukan peluru kata-katanya. Hati engkau telah rentung disambar api amarahnya. Engkau cuba mengempang seluruh rasa. Bergolak dan berbadai jauh di pendalaman sukma. Engkau pasti kalau di Amerika, tentu emak engkau telah didiamkan dengan senapang patah perburuan ayah atau dirodak pisau stik tatkala nyenyak di perbaringan atau diracun semasa meneguk bir makan malam. Engkau anak timur. Masih disungkupi tempurung adat, budaya, agama. Pada engkau, dakwaan emak memang tiada asasnya. Tetapi, engkau sedar emak yang mengendong engkau sembilan bulan sepuluh hari penuh rengkuh payah. Buruk-buruk emak, semulia-mulia tempat di syurga.


Emak malu. Anak Kak Siti, tukang cuci di pejabat emak dapat 6A 3B. Sepupu engkau yang ayahnya bergelumang selut bendang boleh juga catat 4A. Kawan sekelas engkau, hampir suku daripada mereka meraih 10A. Engkau? Terkial-kial dengan 2A sahaja. Itu pun cuma subjek Bahasa Melayu dan Pendidikan Seni. Matematik, C. Matematik Tambahan, Fizik, Kimia, Biologi gagal. Yang lain-lainnya cukup-cukup makan. Kalau diumpamakan orang yang kena gantung, leher engkau sudah dijerut tali. Menanti lantai pelapik ternganga, terawang-awang putus nyawa. Emak mati akal. Salahnya di mana? Engkau cemerlang dalam PMR dengan deretan A bagi kesemua subjek. Cikgu-cikgu memuji engkau. Apabila mengerabati tingkatan empat, engkau mula hilang titik keseimbangan. Engkau kian goyah. Keputusan peperiksaan engkau yang awalnya kurang memberangsangkan menjadi agak lemah bertukar sangat mengecewakan. Emak panik. Engkau disumbatnya ke kelas tuisyen. Setiap petang, engkau keluar masuk dua tiga premisnya. Engkau dilarang bermain bola, ditegah melepak bersama rakan sebaya, disekat menonton rancangan-rancangan yang engkau suka. Tetapi, segala-galanya masih sama. Statik. Emak hampir naik gila. Dia menghadap cikgu kelas engkau. Dia mengorek masalah engkau.


Cikgu kata: Anak puan seolah-olah tidak minat belajar. Di dalam kelas, dia selalu mengelamun.


Emak menyambut kepulangan engkau hari itu dengan libasan rotan di punggung.


Emak bersyarah panjang macam profesor universiti: Emak bayar yuran sekolah supaya engkau belajar. Supaya jadi orang berguna. Ada ilmu. Zaman sekarang, kalau tidak ada ilmu, tidak ada ijazah tinggi-tinggi, engkau akan jadi sampah. Persaingan untuk dapatkan kerja semakin dahsyat. Orang belajar universiti sudah bersepah-sepah. Itu belum dicampur lulusan luar negara. Kalau engkau terus leka, anggap tingkatan empat honeymoon year, jangan harap dapat catch up semasa tingkatan lima.


Lagak engkau tetap seperti hari ini - bungkam macam punggur mati di atas sofa. Emak setelah penat mulutnya, selepas reda geramnya, diam sendiri. Dia menghala ke dapur, menghempas sesuatu kuat. Engkau tidak tunggu lama, mendaki tangga, ke bilik di tingkat atas. Daun pintu engkau hempas. Tanda protes yang biasa engkau buat. Engkau sudah pun di tingkatan lima. Bahan pengajiannya semakin susah. Terkehel-kehel engkau meladeni rumus Fizik yang berserabut numerik dan abjad. Sakit kepala engkau dihindik nota-nota berjela Biologi. Dan engkau sering kali semput dibebani permasalahan Matematik Tambahan yang pada engkau tiada kena-mengena dengan kehidupan di mayapada ini. Engkau mengeluh setiap kali berhadapan dengan ujian bulanan atau peperiksaan. Engkau tahu keputusan engkau bakal mengundang kemarahan emak. Contoh terbaik; Peperiksaan Percubaan SPM ini. Mampukah engkau mengejar dari belakang macam pelari pecut amatur untuk memintas Maurice Green yang unggul menghampiri garis penamat? Engkau cuma ada 2A. Matlamat emak 10A. Kalau engkau gagal, bersepailah kantung harapan semua orang. Jatuhlah imej keluarga Badar yang umum dikenali dengan kegeligaan otak-otak mereka. Ayah engkau pengurus bank. Emak engkau pemilik rangkaian restoran makanan segera. Abang engkau peguam. Kakak engkau pegawai perhubungan awam syarikat antarabangsa. Engkau?


Emak pernah menyuarakan hasratnya: Besar nanti jadi doktor. Dalam keluarga kita belum ada yang bergelar doktor.


Sebab itu, emak mendesak engkau memilih aliran sains. Engkau serba salah. Wajah emak engkau tenung lama-lama. Engkau jadi sayu. Engkau tidak sampai hati membantah walaupun jiwa engkau mulai relah. Engkau turuti permintaan emak, sehinggalah engkau mendapati langkah itu memakan diri. Engkau tenggelam punca. Terasa gagap untuk menangkap segala butir pelajaran. Cikgu terlalu kalut mengejar tuntutan masa agar silibus dapat dibereskan. Engkau macam pengembara yang kehilangan lampu picit di dalam gua gelap. Akhirnya, semangat engkau kian luntur.


Engkau semakin dibius kebencian: Aku tidak mahu menjadi doktor. Mengapa emak tidak faham-faham?


Engkau terkedang di atas katil. Engkau memetia siling. Meninjau dinding. Mencari-cari angin sakinah bagi menyamankan hati yang terpanggang. Emak engkau mangsa kekeliruan, mangsa dogma pegangan masyarakat yang mengelirukan. Engkau seterusnya dikelirukan emak yang terkeliru. Jadilah haru-biru seluruhnya. Engkau percaya emak ditanam doktrin klise kepandaian dan kecemerlangan pelajar tertakluk pada bilangan A pada slip peperiksaannya. Makin banyak A, makin tinggilah darjat kepintaran seseorang. Engkau yakin emak turut dimomokkan kegemilangan akademik penentu kecapaian dalam hidup. Lemah akademik, malaplah sinar masa depan. Itulah dogma mengelirukan masyarakat yang memesong rasional emak. Andai terkeluar daripada aliran fahaman ini, maka sesuatu tidak kena. Abnormal. Engkau dilabel bodoh ekoran menepati kriteria keabnormalan itu. Lantas engkau merusuh.


Engkau macam pendebat handalan berhujah: Seseorang itu boleh sahaja memperoleh A jika apa yang dihafalnya diajukan dalam soalan. Tanpa perlu mati-matian memerah otak, dia cuma perlu memuntahkan input penghafalannya dan disalin bulat-bulat di atas kertas. Lalu ‘jawapan’ itu diperiksa cikgu. Dia dapat markah penuh sebab jawapannya sama dengan skema pemarkahan. Cikgu mengira jumlah keseluruhan ‘jawapan’ yang betul. Cikgu pun menulis 100% dalam satu bulatan di atas penjuru atas kertas jawapan. Maka, dapatlah dia A. Atau seseorang itu boleh sahaja memperoleh A jika dia bernasib baik. Dia membuat ramalan tentang soalan yang mungkin keluar. Dia cuma mengingati poin-poin yang difikirkannya perlu. Pada hari peperiksaan, mujur ramalannya menjadi. Cikgu yang tidak tahu pun bahawa dia cuma mengulang kaji sebahagian buku pelajaran memberikannya A. Atau seseorang itu boleh sahaja memperoleh A jika kertas soalan bocor. Tidak perlu menghadap buku sehari suntuk, dia cuma perlu menghafal jawapan kepada soalan yang telah diketahui. Cara ini lebih mudah. Tanpa banyak masa terbazir dan dengan sedikit usaha, cikgu menghadiahinya A. Jadi, apakah markah A itu penentu kepintaran sebenar pelajar? Berapa ramai yang mendapat A atas pemahaman rinci mereka terhadap subjek itu? Atau pun lebih ramai yang memperoleh A lantaran keupayaan menghafal yang baik? Habis, bagaimana manusia macam aku yang lemah daya hafal? Aku sangsi sama ada dalam sistem pendidikan Malaysia, termaktub definisi kebodohan sebagai ‘pelajar yang tidak mampu menghafal dengan baik butiran pelajaran mereka hingga membuahkan jawapan yang tidak tepat dengan kehendak skema pemarkahan’. Jika hal ini tiada dalam kanun pendidikan negara, aku pasti takrifan ini diwujudkan cikgu-cikgu, emak bapa dan anggota masyarakat sendiri. Inilah kekeliruan yang cukup malang sifatnya. Cukup malang kerana pelajar macam aku yang terhukum.


Engkau sedar engkau terus terpinggir sebab cara fikir engkau menyongsang konvensi. Emak yang terpedaya dengan budaya kelaziman terus melabel engkau dungu. Sebab anak orang lain boleh dapat 9, 10A, engkau sekadar 2A.


Engkau ada hujah tersendiri: Buat apa menjadi manusia hipokrit? Aku tidak mahu menjadi doktor. Lalu, apa faedahnya aku menghafal segala bala itu? Otak aku tidak mampu menerimanya. Tanpa minat, manusia macam kereta kehabisan petrol. Aku tersadai di takuk lama sebab aku sudah bosan menipu diri. Aku tersilap tidak berkeras menolak permintaan emak yang teringin benar melihat aku dalam aliran sains. Aku terlupa yang hendak belajar aku, bukannya emak. Kalau aku belajar hingga koma sekali pun demi mencatat A dalam semua subjek sains itu, aku tetap tidak akan memilih jurusan perubatan di universiti. Jadi, mengapa harus aku susah-susahkan diri? Lebih baik aku tumpukan perhatian pada subjek yang boleh menempah tiket jurusan idamanku. Sebab itu aku mengambil Pendidikan Seni sebagai subjek tambahan walaupun diragui emak. Sebab aku mahu menjadi pelukis. Seagung Picasso.


Engkau mengatup mata erat. Dalam ruang hitam yang tercipta, engkau dijelmai Picasso. Isi kulitnya telah landur, matanya terbuntang, kepalanya ditumbuhi urat-urat rambut putih di sekitar tengah kepala berlingkar ke horizon telinga, hidung mancungnya mencacak. Pablo Ruiz Picasso- pelukis agung Sepanyol itu idola engkau. Beliau berani bereksperimentasi dengan memperkenalkan aliran seni catan cubism yang menggegar di serata Perancis. Karyanya, ‘Guernica’ yang mengabadikan kengerian pengeboman Kota Guernica dalam perang saudara di Sepanyol, lambang kehebatan stail cubism dalam palitan-palitan warna kusam yang mencipta ruang tiga dimensi. Sepanjang 80 tahun hayatnya, beliau menghasilkan 50 000 buah tangan buat pencinta seni. Engkau teruja dengan kehebatan Picasso. Beliau cukup serius menukangi bakatnya. Masakan tidak, sedari kecil hingga merangkak dewasa, beliau menekuni seni catan sehingga mampu menyelenggarakan pameran lukisan sulung pada usia 13 tahun. Apabila engkau usulkan kepada emak mahu menelusuri jejak langkah Picasso, emak skeptikal. Emak kata pelukis tiada masa depan, kehidupan mereka tiada jaminan, status mereka tidak diberi sanjungan. Siapa yang memandang pelukis? Mereka cuma duduk di tepi kaki lima, memotretkan wajah pejalan kaki yang lalu-lalang. Emak memperemehkan cita-cita engkau. Emak memperkecil bakat semula jadi engkau. Bagi engkau, dosa emak lebih besar. Emak menafikan anugerah Tuhan buat seorang makhluk-Nya. Emak menidakkan ketentuan takdir yang disuratkan Maha Esa. Engkau juga sedar emak tidak tahu bahawa karya Picasso, ‘Boy with A Pipe’ kini terjual pada harga US$ 104 168 000 di Balai Lelong Sotheby’s, New York menjadikannya catan termahal dunia. Pelukis-pelukis lain juga masyhur dan mampu meraih kejayaan. Karya mereka dijual di galeri-galeri eksklusif dan pada masa yang sama hasil seni mereka merakam ketulusan keindahan alam serta menggerakkan akal manusia berfikir. Karya Van Gogh, ‘Portrait of Dr. Gatchet’ dibeli pada harga US$ 82.5 juta pada 1990. Samalah halnya dengan Claude Monet, John Singer Sargent, Leonardo da Vinci, Edouard Manet dan ramai lagi. Mereka membentuk khalayak pencinta tersendiri. Pemuja-pemuja setia inilah yang bisa mengkaji, membahas dan memastikan sesuatu karya itu berkelangsungan hayatnya. Jadi, di mana celanya kerja pelukis?


Bagi engkau semua profesyen itu sama sahaja. Meski rutinnya berbeza, outputnya berlainan, namun falsafahnya serupa. Setiap kerja itu asalkan mengikut landasan syariat, halal, dan tiada unsur-unsur syubahat, maka tiada salahnya untuk diceburi. Benar, kerja pelukis gajinya barangkali tidak konsisten dan tidak popular, tetapi risiko ada dalam setiap cabang pekerjaan. Engkau berpegang pada prinsip rezeki pemberian Tuhan. Ulat dalam batu sekali pun bisa beranak pinak dan hidup sejahtera. Semua itu ketentuan-Nya dan atas iradat-Nya. Mengapa emak tidak mahu mempertimbangkan hal ini? Tetap juga engkau dipaksa menjadi doktor seolah-olah karier itu sahaja yang berupaya memewahkan engkau. Engkau naik muak berbahas dengan emak. Kata-kata engkau langsung tidak diendahnya.


Kesimpulannya mudah: Buktikan pada emak engkau bukannya bodoh. Dapatkan A. Barulah emak percaya akan kata-kata engkau.


Engkau benar-benar terpukul. Tingkah emak macam pengarah telenovela Mexico, suka berbelit-belit dan berpusing-pusing pada persoalan yang sama. Engkau yakin emak bukan sahaja keliru, malah tidak faham pun akan erti ‘bodoh’ itu.


Engkau kembali berhujah macam pendebat handalan: Bukankah bodoh itu sifat wajib dalam diri semua insan? Kalau manusia itu sejak azali fitrahnya pandai, tidak perlulah menuntut ilmu hatta ke Negeri China, waima ke liang lahad sekali pun. Bodoh itu diksi ringkas yang kompleks maknanya. Cuba teliti analogi ini; A lemah dalam akademik tetapi pandai bertukang. B pula pelajar cemerlang sekolah tetapi tiada kemahiran bertukang. Dalam situasi tersebut, siapakah yang bodoh? Konklusinya, tiada yang bodoh dan tiada yang pandai. Itulah hakikat kejadian manusia. Kebodohan atau kelemahan didukung kelebihannya yang tersendiri. Kelemahan dan kelebihan saling melengkapi. Ini menjadikan manusia makhluk paling sempurna ciptaan Allah. Nah, masih emak hendak mempertikaikan?


Engkau berkisar sekitar katil, berkalih ke kiri kanan sebelum akhirnya terlelap dalam kecamuk fikir sendiri.


Esoknya, engkau ke sekolah seperti biasa. Emak masih bersisa bara amarahnya. Engkau tidak dilayani mesra. Dia rosyom dan kurang bercakap. Engkau pun tunjuk keras kepala. Engkau memolok sandwich tuna gelojoh. Engkau meninggalkan rumah sebelum emak beredar ke restoran. Basikal engkau kayuh laju. Dalam kepala otak engkau telah terbersit sesuatu. Sedikit nakal tetapi mustahak. Engkau laksanakannya sewaktu kelas Matematik Tambahan. Semasa cikgu engkau sedang hibuk menulis soalan janjang di papan hijau, engkau mengangkat tangan, mengeluinya.


Dia berkalih: Ada apa masalah?


Engkau bangun dan tanpa rasa gentar bersuara: Cikgu, apa tujuan kita belajar janjang?


Rakan-rakan sekelas engkau yang bersoksek-soksek sesama sendiri, yang melakar-lakar grafiti, yang berderai-derai ketawa kosong, diam. Engkau dipandang. Cikgu engkau macam hendak mengujarkan sesuatu. Bibirnya terketar-ketar.


Berdehem, dia melontarkan jawapan yang engkau pinta: Kita perlu belajar janjang sebab ia penting.


Engkau menyoal lagi: Penting yang bagaimana, cikgu?


Cikgu mula serba salah. Buku himpunan soalan SPM diletakkan di meja. Dia bersandar di pinggirnya, cermin mata ditanggalkan, dilap kantanya yang tidak pun berhabuk: Penting dalam pekerjaan terutama buat kamu pelajar sains.


Rakan-rakan engkau naik hairan. Ada yang menggaru-garu kepala yang tidak gatal pun sebenarnya. Ada yang berbisik-bisik. Ada yang mengangkat bahu.


Engkau terus mendesak: Adakah janjang ini begitu penting hingga tanpanya kita tidak mampu berurus niaga? Adakah janjang dapat diaplikasikan bagi menangani masalah sosial remaja?

Cikgu terkedu. Soksek-soksek pelajar di dalam kelas makin membiak.


Dengan wajah kelat dan tidak bersungguh, dia membalas: Yang pentingnya, janjang ada dalam silibus. Mahu tidak mahu, kamu kena belajar. Kalau tidak, susah dalam peperiksaan.


Cikgu kemudian meminta diri, keluar dari bilik darjah, entah ke mana. Rasa bangga engkau kembang di sanubari. Akhirnya, engkau puas. Itu jawapan yang mahu engkau dengar. Bagimana mahu cemerlang andai tujuan pelajaran itu disampaikan pun tidak diketahui? Mana mungkin pelajar dapat menekuninya jika mereka sendiri tidak dapat mengaitkannya dengan kehidupan seharian? Tanpa diduga, beberapa rakan di baris belakang bersorak-sorak memuji. Engkau berkalih. Mereka rupa-rupanya dari golongan engkau. Golongan yang digelar bodoh oleh emak engkau dan masyarakat yang berdogma keliru.


Tengah hari itu, engkau berkayuh pulang suka hati. Engkau sampai di rumah 20 minit selepas Mercedes emak memenuhi perut garaj. Emak tercegat macam jaga di ruang tamu. Kegirangan engkau bertukar cuak.


Tanpa menanti pertanyaan dari mulut engkau, dia menyembur radang: Kenapa engkau biadab dengan cikgu?


Engkau tidak mampu menahan. Perbuatan engkau tadi bukannya biadab.


Pendirian engkau wajar dipertahankan: Saya tanya soalan yang logik. Kalau saya tidak nampak kepentingan sesuatu perkara itu, bagaimana saya hendak memahaminya? Soalan saya mudah; apakah kepentingan janjang dalam kehidupan? Masalahnya, cikgu yang tidak dapat menjawab.


Emak menyerang balas: Mengapa engkau persoalkan kepentingan? Matematik macam subjek-subjek lain. Engkau fikir orang cipta hukum itu suka-suka? Rumus Matematik manusia gunakan dalam kejuruteraan, astronomi, pengkomputeran, perubatan dan macam-macam lagi. Orang gunakan dalam pembinaan, pengukuran, kewangan. Nampak kepentingannya sekarang?


Engkau tidak bersetuju: Masalahnya emak, saya tidak perlukan semua itu. Saya mahu jadi pelukis. Bukannya jurutera. Bukannya pakar kaji bintang. Bukannya pengaturcara komputer. Atau pun doktor. Saya mahu jadi Picasso!


Engkau melepasbebaskan segala keterbukuan di benak. Engkau akan memaklumkan kepada emak keputusan masa depan engkau.


Namun emak sudah disihiri emosi: Oh, patutlah engkau dapat 2A sahaja! Engkau anggap subjek-subjek Sains tidak penting, jadi engkau lepas tangan. Ini apa? Pemberontakan? Engkau memberontak dengan melingkupkan keputusan peperiksaan sebab emak suruh engkau ambil aliran Sains, begitu? Sanggup engkau hancurkan harapan emak demi kepuasan engkau seorang.


Emak sebak. Matanya bersilau.


Engkau menurunkan nada, sedikit lunak: Tetapi emak, keputusan PMR, SPM, STPM malah segulung ijazah sekali pun bukannya syarat wajib kebahagiaan hidup. Ini soal takdir. Kita merancang, Dia menentukan. Mungkin Dia takdirkan saya menjadi ahli keluarga Badar yang berbeza. Sebagai orang seni.


Emak melarikan pandangan dari engkau sambil menyilangkan tangan di dada: Engkau berkeras mahu menjadi pelukis? Engkau tahu, sebab cita-cita engkau inilah, pelajaran engkau merosot. Otak engkau rosak. Mulai sekarang, tiada lukisan, tiada Picasso lagi. Emak sudah bakar lukisan-lukisan engkau dan buang cat-cat itu kesemuanya. Emak mahu engkau tumpukan pada pelajaran. SPM tiga minggu lagi.


Engkau tersedak dan terkaku di lantai. Emak berlalu meninggalkan engkau terkontang-kanting. Dia ke luar, mendapatkan kereta dan memandu pergi. Engkau macam orang hilang akal. Emak sudah bakar lukisan-lukisan engkau dan buang cat-cat itu kesemuanya! Emak rupa-rupanya masih dan tetap tidak faham. Dia enggan bertoleransi dengan engkau. Dia lebih mementingkan cita-citanya dan dogma masyarakat yang keliru. Engkau perlu lakukan sesuatu. Satu tindakan yang mengonyokkan protes engkau sejelas mungkin.


Engkau berlari ke atas, meluru ke bilik. Emak telah menggeledah barang-barang engkau. Almari ternganga luas dan timbunan pakaian terburai. Engkau bukannya mencari kotak warna atau buku lukisan. Engkau selak laci dan keluarkan buku Matematik Tambahan, Fizik dan Kimia. Engkau mengangkutnya ke bawah dan menghempaskannya di atas meja makan. Semangat Picasso telah meresapi urat nadi engkau. Emak ambil periuk besar yang selalu digunakan emak untuk menyediakan rendang. Engkau isikannya air hingga tiga suku penuh. Api engkau hidupkan. Air engkau biarkan mereneh. Helaian-helaian muka surat engkau koyak rakus. Selembar demi selembar engkau benamkan ke dalam air yang mulai menggelegak. Engkau kacau hingga kertasnya lebur dan dakwatnya kembang. Air yang jernih bertukar pekat dengan gumpalan lembik kertas dan warna hitam dakwat.


Emak engkau sendiri pernah berkata: Kalau sudah lembap sangat, rebus sahaja buku-buku, minum airnya. Gerenti pandai.


Sekarang, engkau akan mempraktikkan nasihatnya. Engkau akan menuruti arahannya. Setelah sejuk, engkau teguk air rebusan itu macam makan bubur nasi. Benarlah kata engkau, bodoh itu diksi ringkas yang kompleks maknanya.


oleh Irwan Mansor

1 comment: