Wednesday, November 11, 2009

Tombol Pintu Hidayah 3

Gema azan berkumandang sekali lagi menyinggah disetiap pelusuk ruang rumah Albert. Setelah Albert, ayah dan ibunya menyusul menjejakkan kaki masuk ke dunia islam, Anita dan Michale pula mula disinari nur keislaman. Kali ini Albert tidak keseorangan mendirikan solat, dia ditemani ayah, ibu, kakak dan adik lelaki. Setelah hampir beberapa bulan keislaman Anita dan Michale, kini keluarga mereka benar-benar sudah memulas tombol pintu hidayah. Pintunya sudah mula terbuka, kaki pula sudah melangkah ke dunia baru. Niat yang ikhlas semakin kuat memberikan seribu makna kepada mereka sekeluarga.


Tanggal 22 Ogos 2009, merupakan satu lagi cubaan yang mereka perlu hadapi dan berjihad iaitu memasuki bulan ramadhan. Inilah kali pertama mereka berpuasa dan menahan lapar dan dahaga. Jika dahulu mereka memakan makanan yang dilarang dalam islam, dan mereka dapat mencegahnya setelah memeluk agama islam, kini mereka harus mencekalkan hati, nafsu dan makan minum disiang hari. Pelbagai cubaan cuba mengganggu muaalaf seperti mereka.


Jason dan Mary telah khatam kitab tafsir al-Quran yang diberikan oleh Imam Ghani, kini giliran Anita dan Michale pula membaca dan menyelesaikan kitab tersebut. Walaupun baru memeluk agama islam, mereka bukan sahaja setakat membaca, malah memahami serta mengamalkan ajaran yang terdapat dalam al-Quran. Muaalaf seperti mereka perlu dipimpin supaya tidak terpesong dan menjadi teguh imannya, oleh itu Imam Ghani sekali lagi menghadiahkan sebuah kitab Fadhilat Amal yang merangkumi kisah-kisah para sahabat, Fadhilat Quran, Fadhilat Solat, Fahdilat Zikir, Fahdilat Tabligh, Fadhilat Ramadhan dan Kemunduran Umat dan Penyelesaiannya.


“Saya memberikan kita ini banyak gunanya terutama dalam bulan ramadhan. Kamu bukalah dan hayatilah bahagian fadhilat ramdhan semoga kamu mendapat keberkatan daripadanya” Imam Ghani menghulurkan kitab berwarna biru yang setebal hampir 1000 muka surat.


“Tapi Imam, kitab ini terlalu mahal untuk diberikan secara percuma. Apa kata kalau kami membayarnya” Jelas Jason. Mary yang duduk disebelahnya mengangguk-anggukkannya.


“Kitab ini tidak semahal iman dan amal yang ingin kamu bina. Saya ikhlas memberikannya”


“Saya rasa tak sedap hati dengan Imam” Albert mula mencelah.


”Nak Albert, kita sama saudara islam harus bantu-membantu. Jangan memaksa saya untuk menerima imbalan daripada kamu. Saya membantu kamu semua berjihad, dan insyaAllah kita sama-sama akan mendapat keberkatan daripada semua ini” Jelas Imam Ghani dengan nada yang tenang.


”Kalau macam itu, saya sedekahkan sahaja duit buku ini ke tabung masjid” Usul Jason.


”Itu seelok-eloknya” Balas Imam Ghani.


Tiga beranak itu pulang ke rumah dengan nada yang semakin yakin. Langkahnya penuh dengan keimanan. Debaran menunggu menjelang ramadhan keesokan harinya membuatkan jiwa keislaman mereka semakin berkobar-kobar. Apa tidaknya, ini kali pertama mereka menjalani ibadah puasa bersama-sama umat islam sedunia.


Pada malam harinya, mereka sekeluarga bersolat maghrib, isyak dan terawikh di masjid An-Nur. Imam Ghani yang mengimamkan sekalian jemaah yang hadir. Albert melihat seluruh masjid dipenuhi dengan manusia yang ingin beramal dibulan suci. Ruangan masjid dipisahkan dengan tirai hijau menjadikannya dua bahagian. Sebelah kiri bahagian untuk perempuan dan sebelah kanan bahagian untuk lelaki. Tika azan maghrib berkumandang, air mata Albert mula mengalir laungan merdu azan. Walaupun kalimat-kalimat azan itu telah dia baca, tetapi ada beberapa perkataan yang dia lupa akan maksudnya. Albert mengesat air matanya sebaik sahaja Jason melihat keadaan anaknya itu.


Mereka mendirikan solat maghrib seperti biasa, setelah selesai solat mereka berzikir dan berdoa kepada ilahi meminta diampunkan dosa dan dirahmati semuanya. Imam Ghani ada memberikan sedikit tazkirah kepada mereka setelah selesai berzikir dan sebelum memulakan solat Isyak.


”Antara banyak bulan, bulan ramadhan yang paling dinanti-nanti oleh manusia yang beriman. Banyak ganjaran pahala yang ditawarkan kepada hambaNya. Hazrat Salman r.a berkata berkata bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda kepada kami pada hari terakhir bulan Sya’aban: Wahai manusia! Telah datang kepada kamu satu bulan yang agung lagi diberkati. Satu bulan yang dalam bulan itu terdapat satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Satu bulan yang Allah s.w.t telah menjadikan puasa pada siang hari sebagai satu amalan fardu dan berdiri pada malam hari sebagai satu amalan sunat. Sesiapa yang cuba menghampiri Allah pada bulan itu dengan mana-mana amalan sunat maka seumpama seorang yang telah menunaikan satu fardu pada bulan-bulan yang lain dan sesiapa yang menunaikan satu fardu pada bulan itu adalah seumpama seseorang yang menunaikan 70 fardu pada bulan-bulan lain. Jadi ingatlah bahawa bulan ini adalah bulan yang membawa keberkahan kepada umat semuanya dan berlumba-lumbalah mencapai kenikmatannya.”


Kata-kata ini membuatkan Albert memandang ke arah ayahnya, Jason dan kemudian mereka tersenyum. Mary dan Anita yang bertelekung juga menguntumkan senyuman pada tirai sebelahnya. Kata-kata Imam Ghani banyak memberikan makna pada malam pertama Ramadhan. Semangat memasuki bulan ramadhan kian membara-bara dalam hati mereka semua.


Setelah selesai solat terawikh dan solat witir, para jemaah pun beransur kurang dan pulang. Imam Ghani menunaikan solat sunat dua rakaat dan kemudian dia duduk berzikir. Albert, Jason dan Michale juga tidak lagi pulang ke rumah, mereka masih lagi berzikir dan berdoa.


”Albert, kamu tidak pulang lagi?” Tanya Imam Ghani sebaik sahaja terpandang ke belakang dan melihat kelibat muaalaf itu.


”Tidak pak Imam, kami ada hajat sebenarnya” Balas Albert dan kemudian mendekat ke arah Imam Ghani.

”Apakah hajat kamu? insyaAllah saya boleh membantu”


”Terlebih dahulu saya ingin memohon maaf sekiranya kami telah banyak menyusahkan pak Imam. Kami sekeluarga sebenarnya ingin belajar membaca al-Quran daripada pak imam. Itu pun sekiranya pak Imam bersetuju” Jelas Albert.


Imam Ghani tersenyum dan bertasbih ”Alhamdulilah”. Dia memeluk anak muda itu yang dianggap seperti anaknya sendiri. Sekali lagi imam mengangguk-anggukkan kepalanya tanda dia bersetuju.


”Baiklah, tetapi kita belajar pada sebelah petang selepas Asar. Kamu, adik dan ayahmu belajar dengan saya. Manakala, ibu dan kakakmu belajar dengan Hajah Zahrana iaitu isteri saya”


Kata sepakat saling dipersetujui dan mereka memulakan pengajian al-Quran pada hari pertama puasa. Sememangnya Albert tiada kelas sebelah petang. Kelasnya tamat seawal jam 3 petang, manakala adiknya Michale bersekolah dan tidak menjadi halangan untuknya mengaji al-Quran selepas asar. Mary merupakan suri rumah sepenuh masa, manakala Anita dan Jason masing-masing pulang dari kerja pada jam 4.30 petang. Tiada perkara mustahil bagi mereka untuk menolak cadangan Imam Ghani.


* * *


”Mike, bangun mike. Kita sahur, nanti terlambat waktu sahur” Suara Albert mengejutkan Michale yang payah untuk bangkit seawal jam 4.30 pagi.


Mary dan Jason telah duduk dimeja dapur. Anita pula masih belum bangkit dari lenanya. Ternyata sekali pertama puasa benar-benar memberikan mereka cabaran yang berat sebagai seorang muaalaf.


“Anak dara awak dah bangun?” Tanya Jason.


“Tadi dia dah buka mata masa saya kejutkan. tak apalah, saya kejutkan lagi” Balas Mary yang terus bangkit daripada kerusi dan menuju ke bilik Anita.


“Anita, bangun nak. Mari kita sahur, nanti kita terlewat pula” Mary mengusap-usap wajah cantik anaknya itu lalu terbukalah mata Anita perlahan-lahan. Mary menarik tangan Anita supaya bangkit dan Anita mula sedar dari lenanya. Mereka berdua menuju ke arah dapur, Anita memasuki bilik air untuk mencuci muka.


“Albert, mana adik kamu?”


“Dia payah sikit ayah nak bangun. Penat Albert fikir caranya”


“Kalau macam tu, mari kita angkat Mike keluar makan” Usul Jason dengan senyuman.


Albert dan Jason mengorak langkah menuju ke kamar Jason dan mengangkat badannya walaupun Michale masih lagi menutup matanya. Setelah di angkat, Michale tersedar dari lenanya dan mula bangkit. Albert dan Jason hanya mampu ketawa dengan keadaan Michale yang tersentak sebaik sahaja diangkat.


“Awak ni, macam budak-budak” Ujar sinis Mary dengan senyuman.


“Kita mesti paksa mereka, kalau tidak pasti akan jadi lain”


Setelah bersiap bersahur, Jason mula berkata sesuatu kepada anak-anaknya. Dia yang duduk di tengah-tengah meja memandang setiap wajah ahli keluarganya sambil tersenyum.


”Alhmadulilah, kita semua telah mendapat hidayah daripada Allah. Hari ini hari pertama kita puasa, mesti banyak dugaan yang kita kena hadapi. Berhadapan dengan orang yang tak puasa, perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa dan sebagainya. Kita juga tidak lepas daripada dicaci dan dikutuk oleh orang lain. Ayah nak, anak-anak ayah menjadi orang yang kuat. inysaAllah kita akan mendapat berkat dariapda Allah s.w.t. sama seperti apa yang dikatakan oleh pak Imam.” Panjang hujah pagi yang diberikan oleh Jason.


”Baik Ayah” Jawab serentak ketiga-tiga anaknya itu. Mary tersenyum memandang gelagat anak-anaknya. Setelah selesai, mereka semua bergegas bersiap-siap untuk bersolat subuh jemaah di Masjid An-Nur.


Setelah selesai mereka sekeluarga pulang ke rumah dan bersiap-siap. Ada yang bersiap untuk pergi kerja dan ada yang besiap untuk pergi kuliah dan sekolah. Mary terus ke dapur dan mengemas pinggan mangkuk yang tidak lagi dibasuh semasa bersahur tadi.


Sampai sahaja ditempat kerja, Anita seperti biasa sibuk dengan pelanggan dan keluar bertemu menguruskan sesuatu hal. Sebagai seorang pengurus pemasaran sebuah syarikat pengiklanan, ada kalanya dia diajak untuk membuat perkara-perkara yang dilaknat oleh Yang Maha Kuasa. Yang lebih mendukacitakan yang mengajaknya melakukan perbuatan itu adalah orang islam dan sudah pun mendirikan rumah tangga. Memang dahulu Anita khilaf, tetapi setelah mendapat hidayah daripada Allah, Anita mula berubah secara drastik.


Kekilafan Anita membuatkan di mula sedar akan erti kehidupan yang sebenar. Imejnya juga turut berubah, rakan-rakan yang mengenalinya dengan sikap yang agresif dan seksi kini bertukar menjadi seorang muslimah yang berdiri teguh dengan pegangan agama yang kuat. Ramadhan kali ini benar-benar memberikannya satu sinaran yang baru.


Jarum jam dipejabatnya tepat menunjukkan pukul 1.00 petang, dia ada urusan di luar pejabat. Temu janjinya dengan Dato Ramlee pada pukul 1.30 petang di hotel Hilton, membuatkan jantungnya bersebar. Apa tidaknya, Dato Ramlee yang dahulu cuba untuk mengajaknya melakukan perbuatan terkutuk ke ranjang membuatkan Anita sukar untuk berhadapan dengan lelaki tua ynag beristeri tiga. Kalau diikutkan hati, dia tidak mahu lagi berhadapan dengan lelaki tua itu, tetapi atas desakan kerja dan pegawai atasan, yang menjadikan Dato Ramlee sebagai lombong emas syarikatnya membuatkan Anita pasrah dan berserah dengan takdir.


”Cepat betul orang tua ni sampai” Benak Anita sebaik sahaja dia memasuki pintu masuk Hotel. Dia melihat dari jauh kelibat Dato Ramlee yang duduk sendirian di atas sofa. Matanya benci melihat lelaki tua itu, tetapi dia terpaksa demi rezeki yang dicari. Nekadnya kali ini, jika Dato Ramlee menginginkan sesuatu daripada apa yang sepatutnya, dia akan memaki dan memarahi lelaki tua itu.


”Cik Anita yang ayu, silakan duduk” Ujar lelaki tua itu. Anita duduk dan membuat simpulan senyuman paksa.


”Awal Dato datang”


”Mestilah, kalau dengan Cik Anita. Sebelum subuh saya akan sampai. Cik Anita nak minum apa? Makan apa? Saya belanja”


”Maaf Dato, saya puasa”


”Puasa? Sejak bila awak puasa? Marilah temankan saya lunch, saya tak ada teman”


”Tak ada teman? Habis bini-bini kau tu kau nak letak kat mana?” benak Anita. Wajahnya geli melihat lelaki miang itu.


”Maaf, saya puasa” Anita mengulangi kata-katanya.


”Ok, kalau malam ni kita keluar macam mana?”


”Dato, saya datang ke sini untuk bekerja dan bukannya nak berbuat maksiat” tegas Anita. Dato Ramlee kemudian mendekati Anita dan duduk di sebelahnya.


”Janganlah garang sangat, nanti saya jinakkan You. Malam ni kita jumpa ya” Dato Ramlee mula meraba-raba Anita. Anita tidak senang dengan perlakuan itu lalu dia bangkit dan mula berang.


”Dato ingat saya ni apa? Pelacur?Saya datang ke sini untuk bekerja, bukannya untuk membuat maksiat! Dato seorang yang beragama islam, tidak takutkan Dato dengan azab Allah yang amat dahsyat. Memang Dato kaya, memang Dato berkuasa, tetapi itu semua duniawi, tetapi diakhirat semuanya sama. Lebih baik Dato bertaubat dibulan ramadhan ni!” Jerkah Anita dengan lantang. Semua yang ada melihat amarah yang meluap-luap.


Anita terus beredar dari situ dan pulang semula ke pejabatnya. Dalam perjalanan pulang hatinya berdebar-debar, dia tahu perbuatannya itu akan menyebabkan dia dibuang kerja. Dia bertasbih kalimah suci Allah, dia tidak sangka bagaimana mendapat kekuatan daripada Allah untuk melawan Dato Ramlee. Dato Ramlee pula, setelah diberi peringatan, dia tersentak dengan keberangan Anita. Dia terduduk dan terdiam memikirkan kata-kata Anita. Dia terus berfikri panjang.


* * *


Seperti yang dijanjikan, tepat jam 4.30 petang Anita pulang dari kerjanya. Dirumah keluarganya menunggunya untuk bersolat asar jemaah di Masjid An-Nur dan seterusnya belajar mengaji al-Quran. Anita tidak menceritakan kisah yang berlaku sebaliknya dia menyembunyikan perkara yang berlaku. Dia sedar, kesan daripada tindakannya itu, dia akan dibuang kerja. Tetapi itulah yang dikatakan oleh Imam Ghani, dalam bulan puasa ini banyak dugaan dan cabaran yang perlu dihadapi terutamanya golongan muaalaf seperti mereka.


Selesai solat berjemaah dan mengaji al-Quran, Anita seterusnya memohon doa kepada Allah s.w.t semoga dia diberikan kekuatan atas dugaan yang diterimanya.


”Ya Allah, Tuhan yang Maha Pengasih dan Penyayang. Aku berlindung dari payung rahmatMu, aku memuji dari setiap ciptaanMu, aku serahkan jiwa dan ragaku untuk diriMu. Kau berikanlah aku kekuatan dalan bulan suci ini mengahadapi dugaan yang telah kau rancangkan untukku. Andai tindakan kau salah tadi, ampunilah aku, sekiranya tindakan aku betul tadi, kau berikanlah petunjuk untukku menghadapi semua ini. Segalanya aku serahkan kepadaMu Tuhanku”


Imam Ghani seperti mengsyaki sesuatu yang menganggu fikiran Anita, lalu dia menyapa anak gadis itu.

”Adakah sesuatu yang cuba engkau fikirkan, anakku?”


”Ooo..pak imam. Tak adalah”


”Aku tahu kau sembunyikan sesuatu, mahukah kau berkongsi denganku?” Ujar Imam Ghani. Pada mulanya, Anita menolak permintaan Imam Ghani itu, tetapi akhirnya dia menceritakan kisah yang sebenarnya kepada Imam Ghani dan rasa khuatirnya jika dia dibuang kerja.


”Anakku, bulan ini adalah bulan kesabaran dan ganjarannya adalah syurga. Jika kau menyerahkan segalanya kepada Allh s.w.t, insyaAllah Allah ada cara terbaik untukmu. Allah tidak akan memberikan dugaan di luar kemampuan hambaNya. Perbanyakanlah berdoa dan meminta keampuanan daripadaNya. InsyaAlla segalanya akan kembali seperti biasa” Setelah selesai kata-kata itu, Anita memohon rahmat daripada Allah. Dia bersujud Syukur.


Hari demi hari, minggu demi minggu, kelibat Dato Ramlee tidak lagi kelihatan, Anita tidak lagi dibuang kerja. Dia merasa hairan. Urusan dengan Dato Ramlee yang terbatut, tiba-tiba berjalan dengan lancar dan Dato Ramlee bersetuju dengan cadangan iklan dan pemasaran yang dibuat oleh Anita untuk syarikatnya. Anita mendapat pujian daripada majikannya serta dinaikan pangkat. Kehairanan Anita mula membelenggu fikirannya. Dia mula tafsif makna semuanya.


Sudah dua minggu ramadhan berlalu, seperti biasa Anita dan keluaragnya bersolat Terawikh di Masjid An-Nur. Setelah solat, Anita dan ibunya menunggu ayah dan adik-adiknya ditempat letak kereta. Mata Anita melihat setiap kelibat yang keluar daripada masjid. Satu persatu diperhatikannya dengan teliti. Tiba-tiba Anita sedikit tersentak melihat satu kelibat yang berjalan di hadapannya.


”Bukankah itu....” Bisik Anita perlahan.


”Siapa nak?” Tanya Mary yang menginginkan kepastian. Anita tidak menjawab pertanyaan ibunya, lalu dia mendekat ke arah lelaki itu dan menyapanya.


”Dato Ramlee...” Ujar Anita.


”Ya Allah, kamu pun solat di sini juga. Kamu apa khabar? Lama kita tak bersua muka” Tanya Dato Ramlee dengan nada yang tenang. Disisinya ada dua orang kanak-kanak lelaki yang berumur 10 dan 8 tahun. Dibelakangnya berjalan dua pasang yang cuba menghampiri Dato Ramlee.


”Kenapa Ayah?” Tanya anak sulung Dato Ramlee iaitu Umar yang berusia 26 tahun. Di sebelah Umar, Najihah berdiri tersenyum manis.


”Ayah jumpa dengan rakan sekerja ayah, Anita namanya. Anita kenalkan, ini anak saya Umar, dia baru habis belajar di Moscow. Yang manis ni anak kedua saya, Najihah namanya. Dia sedang belajar di Singpura tetapi sekarang cuti” Jelas Dato Ramlee. Anita bersalaman dengan Najihah dan memandang senyum ke arah Umar.

Setelah bersalaman, kelibat Michale, Albert dan Jason mula memunculkan dirinya.


”Oh ya, ini ibu saya namanya Mary, yang ini pula ayah saya namanya Jason. Di sebelah kiri, Albert dan di sebelah kanan Michale”Anita memperkenalkan semua ahli keluarganya. Mereka saling bersalaman dan berbual mesra.


”Anita, boleh saya berbicara sendirian dengan kamu” Pinta Dato Ramlee. Anita mengikuti kata-kata Dato Ramlee setelah dia mendapat persetujuan daripada ayahnya, Jason.


Anita dan Dato Ramlee mula mengorak langkah dan menjauh daripada keluarganya. Dato Ramlee ingin mengucapkan syukur kepada Anita kerana dengan kata-kata Anita, telah menyedarkannya kembali ke pangkuan jalan. Dengan nada yang tenang dan berdebar-debar, Dato Ramlee memulakan perbicaraannya.


“Terlebih dahulu saya ingin meminta maaf kepada awak. Saya dah banyak buat silap dan saya cuba untuk menodai awak. Saya sedar selama ini saya khilaf dan saya telah melakukan banyak dosa. Dengan kata-kata awak, saya sedar akan semuanya. Saya mula takut akan azab Allah s.w.t. saya ingin kembali ke pangkuan jalan dan sebab itu saya tidak menghubungi awak lagi kerana saya ingin buang jauh-jauh nafsu syaitan itu. Kini, alhamdulilah segalanya telah berubah dan saya sedar semuanya. Saya minta maaf kepada awak dari hujung rambut ke hujung kaki” Jelas Dato Ramlee.


“Dato, saya dah maafkan dato. Saya pun nak minta maaf kerana kata-kata kesat saya dan tanggapan buruk saya terhadap Dato. Syukur Alhamdulilah jika Dato telah berubah dan saya bahagia untuk itu. Ramadhan kali ini banyak makna kepada kami sekeluarga dan saya harap kepada keluarga Dato juga. InsyaAllah”


Anita dan Dato Ramlee akhirnya berdamai dan mereka menjalani kehidupan seperti sedia kala. Dato Ramlee masih lagi setia dalam meneruskan projeknya dengan syarikat pengiklanan tempat Anita bekerja dan mereka telah menjayakan satu projek besar dengan kerjasama syarikat antarabangsa iaitu Pepsi.


Sekali lagi tombol pintu hidayah telah terbuka. Kali ini berlainan pula dengan keluarga Albert, keluarga Dato Ramlee yang sememangnya islam tetapi dikaburi oleh harta duniawi dan keseronokan. Setelah terpulas tombol itu akhirnya mereka sekeluarga menerima hidayah yang tidak ternilai harganya daripada Allah s.w.t.

Subahannallah, Maha Besar Allah. Allahhuakhbar...

1 comment: