Wednesday, November 11, 2009

Persis Bidasari 4


Telah seminggu Qaisarah terbaring koma di atas katil, peperiksaan SPM yang sepatutnya diambil harus dilupakan disebabkan masalah yang tidak diundang. Hati siapa yang tidak risau melihat anak yang dijaga bagai menatang minyak yang penuh terbaring kaku di atas katil. Diiringi tangisan dan air mata, Pak Abu dan Mak Jah hanya berharap agar Qaisarah sembuh daripada komanya. Apa yang menghairankan, dia tidak menghidap apa-apa penyakit dan sebagainya.

Indra semakin keliru dengan perkara yang berlaku. Dia masih lagi setia menunggu Qaisarah bangun dari tidur yang panjang. Dari sehari berganti seminggu, namun dia masih setia di sisi. Walaupun cutinya hampir tamat, namun dia tidak sanggup melepaskan dan meninggalkan Qaisarah keadaan seperti itu. Keadaan Indra inilah yang membimbangkan Dato Ramlee dan Datin Ramlah. Setelah mengetahui hubungan Qaisarah dengan Indra, mereka mahu menjauhkan mereka.

Dato Ramlee pada mulanya kasihan dengan keadaan Qaisarah, tetapi apabila mengingatkan keadaan anaknya, Indra yang telah jatuh cinta dengan Qaisarah dia cuba untuk memisahkan percintaan mereka berdua. Ditambah pula, Qaisarah itu bukan dari golongan manusia biasa. Lagi pula, Dato Ramlee telah menjodohkan Indra dengan Juwita iaitu anak kepada Tan Sri Salim, seorang jutawan dan usahawan yang berjaya di ibu kota. Bukan Dato Ramlee sahaja yang melarang hubungan mereka berdua, malah Datin Ramlah juga tidak berniat untuk menjadikan Qaisarah sebagai menantunya. Memang Qaisarah itu dianggapnya sebagai anak kandung dan dia sendiri mengakui Qaisarah seorang wanita yang baik dan lemah lembut, tetapi dia tidak sanggup orang yang dianggap sebagai anaknya berkahwin dengan anaknya. Baginya, ia umpama dua orang muhrim dikahwinkan.

Atas niat ingin menjaga perasaan Dato Ramlee dan Datin Ramlah, akhirnya Pak Abu dan Mak Jah berpindah daripada rumah mereka dengan harapan agar hubungan antara Indra dengan Qaisarah akan terputus. Segala perbelanjaan hospital Qaisarah akan dibiaya oleh Dato Ramlee. Kehidupan Pak Abu dan Mak Jah kembali seperti sedia kala. Sebenarnya, Pak Abu sudah merancang jika dia dan keluarganya tidak lagi bekerja dengan Dato Ramlee, mereka akan membeli sebuah rumah hasil daripada wang yang dikumpulnya hampir 17 tahun lamanya bekerja sebagai pemandu Dato Ramlee.

Qaisarah masih lagi terbaring kaku di atas katil hospital, dia tidak mengetahui segala perkara yang terjadi. Keluarganya telah berpindah rumah, kekasihnya telah ditunangkan dengan Juwita dan segala-galanya berlaku dengan pantas.

Setelah berpindah rumah, Pak Abu kembali kepada pekerjaannya sebagai pemandu teksi, manakala Mak Jah menjual kueh pada sebelah pagi dan petangnya menjaga Qaisarah di hospital. Begitulah rutin seharian mereka selama hampir berbulan-bulan lamanya selama mana Qaisarah tidak sedarkan diri di hospital. Segala ubat dan macam cara telah dicuba dan dirawat untuk menyembuhkan penyakit Qaisarah lalu atas nasihat seorang rakan, Pak Abu mula berfikir panjang.

”Baik kau hantar aja anak kau tu pergi jumpa orang yang pandai ilmunya?” tanya Hussien rakan sekerjanya membawa teksi sekarang.

”Orang yang berilmu? Maksud kau?” Tanya Pak Abu.

”Ya, orang pandai ilmu. Maksud aku bomoh atau dukun”

”Ishhh…merepek lah kau ni. Kau masih percaya benda-benda macam tu.”

”bu, aku mula-mula tak percaya. Tapi bila benda tu dah berlaku depan mata aku, baru aku percaya.”

”dah la, jangan kau nak merepek. Aku tak yakin semua tu”

”Ikut kau lah bu, yang penting aku dah cakap. Aku nak bantu kau, lagipun ilmu yang dia gunakan itu berdasarkan ayat-ayat suci al-Quran. Kau fikir-fikirkan lah ya”

Pak aku teringat perbualannya dengan Hussien tika berehat-rehat menunggu pelanggan. Dia pada mulanya tidak yakin dengan ilmu-ilmu dukun ataupun bomoh, tapi atas nama sayang akan anaknya akhirnya dia berbicangan dengan Mak Jah. Pada mulanya Mak Jah enggan dan khuatir jika sesuatu berlaku kepada Qaisarah. Tetapi dia pasrah jika inilah jalan yang ditakdirkan untuk Qaisarah.

* * *

Beberapa hari kemudian, setelah berfikir panjang, Pak Abu, Mak Jah,dan Hussien menuju ke rumah dukun yang dimaksudkan. Qaisarah di bawa keluar daripada hospital dan diusung di dalam van, menuju ke rumah yang dimaksudkan. Rumah dukun itu terletak di kawasan perumahan setinggan kampung pandan yang terletak di Johor Bharu. Di kiri dan kanannya di kelilingi oleh penduduk berbangsa asing, keadaan jalan yang sempit membuatkan perjalan menuju ke rumah dukun itu ada kalanya tersangkut-sangkut.

Kiri kanan dipenuhi dengan deretan kedai runcit dan makan, rumah-rumah papan, dan batu yang berselerakkan membuatkan mata yang memadang kurang menyenangkan. Tetapi keadaan tempat itu tidak seperti penduduknya. Setiap ukiran senyuman pasti akan terlakar pada bibir penduduk itu.

Setibanya berhenti di hadapan rumah dukun itu, mata Pak Abu dan Mak Jah memandang ke rumah yang menjadi destinasinya.

”Ini ke rumahnya, sin?” Tanya Pak Abu

Hussien hanya mengangguk-anggukkan kepalanya. Mak Jah yang duduk di belakang hanya memangku Qaisarah dan mengusap-usap umbun-umbun kepalanya. Lalu, Hussien memusingkan pemutar tingkap lalu mencari kelibat seseorang.

”Assalamualaikum dik, tumpang tanya boleh?” Tanya Hussien kepada seorang jejaka berkulit gelap yang kebetulan lalu di hadapan van.

”Walaikumusalam, boleh bang. Apa dia?” tanya jejak tersebut.

”Kiayi Lufti ada di dalam?”

”Orangnya ada di dalam, tadi saya baru sahaja balik dari rumahnya.”

”Terima kasih dik”

Hussien dan Pak Abu membuka pintu dan turun dari van dan membuka pintu belakang dan cuba membawa keluar Qaisarah. Jejaka tadi juga turut membantu keluarkan Qaisarah sebaik sahaja melihat dua orang pertengahan usia tidak berdaya mengangkat Qaisarah. Mak Jah terus bangun lalu keluar dari van. Penduduk setempat melihat adegan itu dan tertanya-tanya siapakah gerangan yang diangkat itu. Ditangan Mak Jah tidak lepas membawa balang bulat yang berisi ikan emas.

Setibanya di depan pintu rumah Kiayi Lufti, sudah terpaku jasad dukun itu di hadapan mereka berempat. Pak Abu dan Mak Jah terperanjat melihat kelibat Kiayi Lufti yang seakan-akan seorang kiayi atau ulama yang kuat ilmu agamanya. Berjambang putih, berjubah putih, senyumannya juga manis. Tanggapan Pak Abu dan Mak Jah tentang dukun, iaitu seorang yang selebet, kotor dan berambut kusut masai meleset apabila melihat keadaan Kiayi Lufti yang tidak lepas dari memegang tasbihnya.

”Assalamualaikum, kiayi. Saya minta maaf kerana mengganggu kiayi sore hari ini. saya berhajat besar sebenarnya” Tanya Hussien yang sedikit menggunakan bahasa jawa. Panggilan kiayi sudah sinonim dengannya berbanding dengan orang luar yang memanggilnya dukun.

”Oh kamu Sin, lama benar kamu tidak menyinggah dipondokku ini. Kamu apa khabar? Bagaimana istri kamu? Udah sembuh?” Tanya Kiayi itu.
”Udah kiayi. Terima kasih atas bantuannya. Tapi kali ini saya ingin meminta pertolongan sekali lagi kiayi.”

”Tak payah kamu jelasin, saya udah tahu kok apa yang kamu ingin ngomong. Pokoknya saya akan berusaha untuk menyembuhkan anak ini, yang lain kita berserah pada Yang Kuasa.” Balas Kiayi itu.

”Terima kasih kiayi, terima kasih.” balas Hussien.

”Terima kasih, terima kasih tuan, terima kasih” Pak Abu dan Mak Jah bertuba-tubi mengucapkan terima kasih kepada Kiayi Lufti.

Dukun atau Kiayi lutfi itu bangkit dan berjalan menuju ke arah Qaisarah. Dia melihat wajah Qaisarah dan memegang tangannya. Mata kiayi itu dipejamkan, seolah-olah ada sesuatu yang dibayangkan dan dibacakan. Semua itu tidak dapat ditangkap oleh Mak Jah yang sedang memangku Qaisarah.

Beberapa saat kemudian, kiayi itu melihat balang bulat berisi ikan lalu dibacanya beberapa ayat al-quran sebelum disemburkan ke dalam balang tersebut. Setelah itu dia bangkit dan kembali semula ditempat duduknya sambil tersenyum.

”Budak ini bukan manusia biasa, sukar untuk aku jelasinnya. Tapi apa yang kamu harus tahu, dia jadi begini disebabkan cinta, dan penawarnya adalah cinta juga. Aku tahu, cintanya dilarang, tapi penawarnya adalah cinta keduanya. Setelah dia sedar dia akan melupakan cinta pertamanya.” Jelas Kiayi Lufti.

”Maksud kiayi, anak saya ni akan bercinta dengan orang lain” tanya Mak Jah.

Kiayi itu hanya mengangguk-anggukkan kepalanya. ”Ya, nanti akan ada seorang jejaka yang berketurunan baik-baik, berbudi bahasa, tampan dan mempunyai darjat datang mencari cinta sang bidadarinya. Tapi semua itu memakan masa. Kamu semua harus sabar.”

”Agak-agak kiayi berapa lama jejaka itu akan muncul” Tanya Pak Abu.

”Bergantung kepada takdir Ilahi. Kalau cepat, cepatlah. Tapi paling lama dalam masa 3 bulan ini dia akan datang. Tapi percayalah, semuanya akan selesai sesuai dengan rencana. Yang penting berdoa kepada Tuhan”

Kata-kata itu membuatkan hati Mak Jah semakin tenang. Dari saat itulah dia berdoa kepada Ilahi supaya dipercepatkan kehadiran jejaka itu. Dia tidak mengharapkan siapa jejaka itu, tetapi dia hanya mengharapkan kesembuhan anaknya, Qaisarah. Pak Abu hanya berserah kepada takdir Tuhan.

Sebulan selepas itu, datang sepucuk surat ke rumahnya. Dalam hati Mak Jah tertanya-tanya surat siapakah itu. Lalu dibukanya dan melihat surat majlis pernikahan Indra dengan Juwita. Tarikh tersebut hanya 2 minggu sahaja lagi, tapi keadaan Qaisarah tetap seperti mayat hidup. Mak Jah simpati dengan nasib yang menimpa Qaisarah, dia tidak sanggup jika anaknya sedar dan mengetahui orang yang dicintainya telah berkawin dengan orang lain.

Mak Jah ada kalanya juga merasa lebih baik jika Qaisarah hanya terbaring sahaja daripada menanggung duka yang amat besar. Tapi, dia juga tidak sanggup melihat anaknya berbaring seperti itu dan menikmati kehidupan. Mak Jah rungsing, saban hari dia menjaga Qaisarah di rumah, sebaik sahaja Pak Abu pergi memandu teksi. Ada kalanya, Mak Jah berbual-bual dengan Qaisarah walaupun dia tahu, anaknya tidak mungkin akan membalas percakapannya. Dengan kehadiran Qaisarah, hari-harinya tidak lagi sunyi.

Qaisarah tidak lagi dirawat di hospital. Pak Abu dan Mak Jah sendiri yang ingin membawa Qaisarah pulang dan segala peralatan perubatan mereka tanggung sendiri tanpa mengharapkan bantuan daripada Dato Ramlee dan Datin Ramlah. Pada masa yang sama, Dato Ramlee dan Datin Ramlah memaksa Indra supaya melupakan Qaisarah dan berkahwin dengan Juwita. Akhirnya atas desakkan berterusan, Indra bersetuju berkawin dengan Juwita walaupun dirinya tidak sanggup berpisah daripada Qaisarah. Ada juga Indra mencari-cari Qaisarah sebaik sahaja pulang ke Malaysia, tetapi sukar untuk menemui alamat rumahnya. Dato Ramlee dan Datin Ramlah sengaja menyembunyikan alamat tempat tinggal Pak Abu dan Mak Jah, mereka khuatir Indra akan mencari Qaisarah dan menjalinkan hubungan semula dalam diam.

* * *

”Uminya buka pintu cepat!!!” Jeritan deras Pak Abu dari luar membuatkan Mak Jah terperanjat dan berlari ke muka pintu.

”Astaghfirullahalazzim, apa ni Abi?” Mak Jah teranjat melihat keadaan Pak Abu yang penuh dengan lumuran darah. Mak Jah mula panik dan cemas. Pak Abu terus masuk ke dalam rumah sambil mendukung seseorang lalu dia meletakkan orang itu di atas lantai.

”Awak pergi ambil bersen berisi air, tuala dan ubat-ubat. Saya nak ambil pakaian dan tukarkan pakaian kat dia ni” Arahan pak aku itu terus tidak dibantah oleh Mak Jah. Mereka berdua berdiam diri dahulu seketika dan mengubati keadaan jejaka yang dibawa oleh Pak Abu.

Hampir 30 minit masa berlalu, setelah luka semua dibersihkan, pakaian telah ditukar, Mak Jah mula menyuarakan tanda tanya yang disimpanya dari tadi.

”Abi, siapa lelaki ni? Apa sebenarnya yang berlaku?” Tanya Mak Jah.

”Entahlah Uminya, saya pun keliru. Saya jumpa dia di tepi jalan, bila saya cek beg duitnya, tak ada, keadaan diluar hujan lebat, nak saya hantar ke hospital, nanti macam-macam dia tanya. Lebih baik saya bawa dia balik ke rumah dan ubatinya. Esok baru kita hantar dia ke hospital.”
”Abi bahaya lah kita bawa balik orang yang tak kenal. Lagi pula kita tak tahu siapa dia.”

”Umi, saya yakin dia budak baik-baik. insyaAllah, kita tolong dia atas nama keihklasan. Semuanya kita berserah kepada Allah.”

Hujan turun dengan lebatnya di luar, membuatkan dingin malam kembali menjelma. Lelaki yang tidak dikenali itu dibiarkan berbaring di ruang tamu, Mak Jah pula masuk ke bilik dan menemani Qaisarah, Pak Abu pula tidur seorang diri di dalam kamar.

Keesokkan paginya, seperti biasa Mak Jah dan Pak Abu bangun awal dan bersolat jemaah bersama-sama. Setelah selesai solat, Pak Abu terperanjat melihat kelibat lelaki yang ditolongnya semalam berdiri dimuka pintu kamar solat.

”Astaghfirullahalazzim, kamu ni terperanjatkan pak cik la. Kamu sudah sedar? Bagaimana keadaan kamu?”

Pertanyaan Pak Abu tidak dijawabnya.

”Saya mahu bersolat. Saya takut terlepas waktu solat” Ringkas kata-kata lelaki itu walaupun ada kalanya dia sedikit kesakitan.

”Baiklah kamu solat dulu. Biar mak cik siapkan sarapannya dulu” Balas Mak Jah

”Kamu kena tukar pakaian dulu. Nanti pak cik ambil pakaian yang bersih” Ujar Pak Abu.

”Terima kasih”

Setelah itu, Mak Jah menyiapkan sarapan, Pak Abu pula membersihkan teksinya. Manakala lelaki itu setelah selesai solat mula berzikir dan membaca al-Quran. Dia mengambil al-Quran yang disediakan di kamar solat itu lalu melaungkan bacaan ayat-ayat suci. Sebaik mendengar bacaan itu, Mak Jah yang sedang asyik membuat sarapan tergamam, manakala Pak Abu yang sedang membersihkan teksinya juga terpaku lalu masuk ke dalam rumah dan melihat lelaki yang ditolongnya semalam.

Mak Jah juga turut menuju ke kamar solat dan melihat kelibat lelaki yang tidak dikenalinya itu. Mereka berdua sungguh terpaku melihat keadaan dan bacaan yang sangat merdu.

”Bagus bacaanya, lengok dan bacaanya juga lancar. Mungkin lelaki ni dari sekolah tahfiz” Ujar Pak Abu.

“Mungkin juga” balas Mak Jah.

”...sadakallohalazzim” Selesai bacaan itu, lelaki itu menutup al-Quran dan mula berpaling ke belakang. Dia melihat kelibat Pak Abu dan Mak Jah yang sedang berdiam dan berdiri kaku di muka pintu.

”Assalamualaikum...” Salam diberikan oleh lelaki itu.

”Walaikumusalam” jawab Pak Abu dan Mak Jah serentak. Lalu mereka masuk ke dalam kamar solat dan mula bertanyakan tetang lelaki itu.

”Boleh pak cik bertanya?” Tanya Pak Abu. Lelaki itu hanya mengangguk-anggukkan kepalanya sambil tersenyum. Terserlah wajah ketampanan lelaki itu, hidungnya mancung, dahinya luas, kulitnya sangat cantik.

”Sebenarnya siapa kamu ni? Dan apa yang berlaku kepada kamu semalam?” Tanya Pak Abu.

”Nama saya Tahir, saya berasa dari Kuala Lumpur. Semalam sewaktu saya lalu di sebuah lorong gelap, ada dua orang lelaki yang terbaring di atas jalan raya, saya fikirkan dia kemalangan. Saya berhentikan kenderaan dan saya cuba untuk menolong. Tetapi sebaliknya, saya dipukul ditengkok dengan menggunakan kayu dan dibelasah sebelum dompet, jam tangan dan kereta saya dicuri. Dan setelah itu saya pengsan dan tidak sedarkan diri. Saya bangun tadi pagi dan saya sedar saya dirumah pak cik.”

”Oo..macam tu kejadiannya. Patutlah baju awak kotor dan penuh darah. Awak ada sebarang luka yang serius ke? Kalau ada, pak cik bawakan awak ke hospital” Balas Pak Abu.

”Tak ada pak cik. Terima kasih pak cik.”

”Tahir, lepas ni kamu laporkan kes kamu ini kepada polis. Biar polis yang selesaikannya” Tanya Mak Jah.

”Tak apalah mak cik. Saya tak nak perbesarkan masalah ini. tapi boleh izinkan saya tinggal di sini untuk sementara waktu. Sebenarnya tujuan saya datang ke Johor ingin mencari ketenangan dan kedamaian daripada keriuhan kota. Saya tak nak keluarga saya tahu, saya ada di sini. Sejujurnya, itulah tujuan saya tidak melaporkan kepada pihak polis berkaitan dengan kes kecurian ini. Saya khuatir jika ahli keluarga saya dapat tahu keberadaan saya. Saya ingin berjauhan daripada keluarga buat sementara waktu, saya ada masalah dengan mereka. Saya telah bercakap jujur dengan pak cik dan mak cik. Saya harap, kehadiran saya tidak menggangu kehidupan pak cik dan mak cik.” Jelas Tahir.

“Tahir, mak cik takut nanti keluarga kamu risaukan kamu. Mak cik tak kisah kamu nak tinggal di sini, tapi mak cik sebagai seorang ibu pasti akan merasa hal yang sama jika anak mak cik sendiri hilang tanpa kabar berita.” Balas Mak Jah.

”Tak apa. Mak saya dia jenis memahami. Sebelum saya keluar rumah, saya telah beritahu dia. Nanti saya akan telefon dia, tentang itu mak cik dan pak cik tak perlu risau. insyaAllah saya akan jaga hati mereka.”

”Baguslah kalau kamu cakap macam tu” Tanya Pak Abu.
”Pak cik, ada kerja-kerja kosong yang boleh saya lakukan? Saya tak nak duduk diam aja di rumah ini. Kerja apa-apa saya tak kisah”

”Kerja? errmmm... Kamu pandai buat apa?”

”Saya pandai baiki kenderaan, baiki peralatan elektrik, mengajar mengaji dan berkaitan dengan komputer. InsyaAllah saya boleh”

”Baguslah kalau macam tu. Kat sebelah rumah ni kosong, apa kata kita sewakan untuk kerja-kerja macam tu. Nanti pak cik tolong kamu iklankan.”

”Terima kasih pak cik.”

Pak Abu dan Mak Jah tidak mengetahui banyak berkaitan dengan Tahir. Tapi yang pasti dia tahu Tahir adalah seorang anak yang baik. Rumah yang disewakan dijadikan pejabat untuknya bekerja. Dari pagi hingga ke malam, Tahir bekerja memenuhi kehendak pelanggannya. Sebelah malamnya pula setelah solat isyak, dia akan mengajar mengaji di masjid berdekatan, ada kalanya dia menjadi imam.

Itulah perancangan yang dibuat oleh Pak Abu dan Tahir. Sambutan membaiki peralatan komputer dan alat elektronik daripada penduduk setempat membuatkan nama Tahir semakin mashyur dalam kalangan penduduk. Pelanggannya juga semakin ramai, hasil daripada pendapatan itu akan diberikan kepada Pak Abu untuk perbelanjaan rumah, tabung masjid dan tabung kebajikan penduduk setempat. Bagi Tahir, duit adalah tidak penting, yang penting adalah keikhlasan dan keyakinan penduduk setempat.

Duit dan harta, barangan mewah dan sebagainya selama ini telah menjadi makanan rutin Tahir. Dia merahsiakan identitinya kerana tidak mahu dipandang tinggi dan dilonjak namanya setinggi gunung. Semua itu hanyalah gelaran dan penghormataan manusia. Tetapi di mata Tuhan, semua manusia adalah sama. Tidak kira yang muda dan tua, malah anak-anak kecil juga turut denang dengan sikap ramah Tahir dan suka membantu.

Mak Jah dan Pak Abu telah menganggap Tahir sebagai anaknya sendiri meskipun mereka baru mengenali Tahir belum genap sebulan. Pak Abu dan Mak Jah merahsiakan keadaan Qaisarah daripada pengetahuan Tahir. Qaisarah hanya terperap di dalam bilik, menanti dan terbaring kaku. Nadinya masih lagi sihat untuk berdenyut, tetapi jiwanya kosong tanpa isi yang padat.

Mak Jah akan memastikan Tahir tidak tahu keberadaan Qaisarah di dalam biliknya. Pak Abu dan Mak Jah sudah mengaggak kehadiran Tahir ke dalam rumah itu adalah sebagai hikmah dan kebetulan. Mungkin lelaki yang disebutkan oleh Kiayi Lufti itu adalah Tahir. Tetapi mereka harus mengambil hati Tahir supaya menerima keadaan Qaisarah yang lemah tak terdaya.

No comments:

Post a Comment