Friday, November 13, 2009

Persis Bidasari 6


Keadaan rumah Raja Sofea agak suram setelah anak bongsunya meninggalkan rumah. Meskipun rumahnya besar, dan dipenuhi dengan peralatan mewah. Namun hatinya tetap kosong dan dirundum kesepian. Dia merindukan anak bongsunya yang keluar daripada rumah dek kerana sikap suaminya yang degil dan keras kepala. Mana tumpahnya kuah kalau tak ke nasi, itulah sikap dengil suaminya yang diwarisi oleh anak bongsunya.

Kesunyian dan kerinduan yang didambakan oleh anak bongsunya itu diubati dengan kehadiran cucu-cucunya, Puteri Alleya, Putera Iqram dan Putera Kamal. Setiap hari dia ditemani oleh keriuhan ketiga-tiga orang cucunya itu. Anak pertama dan keduanya sibuk dengan urusan syarikat yang dipimpin oleh suaminya. Menantu-menantunya pula seakan-akan ingin menjauhi daripadanya. Mereka selalu keluar bersuka-ria dan meninggalkan anak-anaknya di rumah Raja Sofea.

Setiap kali diungkitkan pasal anak bongsunya, pasti suaminya, Raja Farouk akan berang dan kemarahannya tidak akan pernah reda meskipun sudah 3 minggu anaknya bongsunya, Raja Ahmad Tahir meninggalkan rumah. Sudah berkali-kali perkara itu didebatkan, namun tidak diendahkan walau sedikit pun oleh Raja Farouk. Baginya, Tahir adalah anaknya yang paling sukar untuk ditangani berbanding dengan abang-abangnya.

“Nenda, ayahanda Tahir mana? Lama Alleya tak bermain dengan ayahanda Tahir. Rindu sangat” Puteri Alleya yang berusia 3 tahun merasakan kehilangan Tahir sejak Tahir keluar dari rumah.

“Alleya, ayahanda Tahir ada kerja di luar. Nanti dia akan pulang” Jelas Raja Sofea terpaksa menipu.

Setiap kali persoalan tentang Tahir diajukan, terpaksa Raja Sofea memberikan seribu satu alasan untuk memberitahu perkara yang sebenarnya. Itulah rutin harian Raja Sofea. Ada kalanya dia menerima khabar daripada anakandanya. Sedang leka dia melihat cucunya bermain dan berkejar-kejaran, khayalannya dibantutkan dengan panggilan oleh amah, iaitu orang gajinya yang bernama Jamaliah.
“Puan, ada surat untuk puan” Ujar Jamaliah.

“Dari siapa bik? Tak pernah-pernah saya dapat surat.” Tanya Raja Sofea.

“Saya kurang pasti puan. Tapi di belakang surat itu, ada tertulis nama puan. Jadi saya berikan kepada puan.”

Raja Sofea melihat belakang surat itu, lalu mengujar perkataan yang tertulis pada belakang surat tersebut dalam keadaan berbisik. “Untuk Raja Tengku Sofea” Raja Sofea sedikit hairan.

“Iya lah bik, untuk saya. Tak apalah, terima kasih ya bik”

Jamaliah beredar ke dapur setelah memberikan surat itu kepada Raja Sofea. Raja Sofea tertanya-tanya siapakah gerangan yang menghantar surat kepadanya. Lalu, tanpa membuang masa, dia membuka sampul surat tersebut dan membacanya.

“Assalamualaikum...
Kehadapan Bonda yang tercinta, Raja Tengku Sofea. Adanya surat ini anakanda sampaikan adalah untuk memberikan perkahabaran anakanda setelah sekian lama anakanda berkota dinegeri orang. Anakanda ingin menyusun sepuluh jari memohon ampun kepada bonda andai anakanda terlancang segalanya. Bukan niat dihati ingin berjauhan dari bonda dan keluarga, tetapi keadaan yang memaksa segalanya.

Kehidupan anakanda setelah keluar dari mahligai, usahlah bonda risaukan. Anakanda telah bertemu tempat berteduh dan orang yang baik-baik belaka. Kehidupan anakanda semakin aman dan tenang, bonda. Anakanda amat merindui bonda, adapun anakanda jauh di mata, tapi percayalah, hampir sebelum waktu beradu anakanda teringat amanat bonda tika kaki anakanda berlangkah keluar dari mahligai yang ayahanda agung-agungkan itu. Anakanda tidak menyalahkan ayahanda tetang apa yang berlaku, sebaliknya anakanda menjadikan semuanya sebagai satu pengajaran buat anakanda merantau di negeri orang.

Tidak akan anakanda simpankan segala duka anakanda terhadap ayahanda, tapi anakanda akan jadikan ia satu batu loncatan untuk anakanda berjaya. Andai bonda melihat keadaan anakanda, pasti akan bonda tersenyum melihat kejayaan yang mula anakanda tapakkan. Di sini, anakanda dijaga oleh sepasang suam isteri yang amat baik. Untuk pengetahuan bonda, anakanda telah jatuh cinta dengan anak mereka, tapi ini semua baru satu permulaan. Ada masa, anakanda akan ceritakan dengan lebih lanjut. Anakanda minta bonda rahsiakan kehadiran warkah ini dari pengetahuan ayahanda. Anakanda khuatir ayahanda murka dengan bonda.

Jika ada kelapangan waktu, akan anakanda kirimkan lagi perkhabaran anakanda. Bonda janganlah risau, anakanda ingin hidup berdikari. Akhir kalam, sampaikan salam rindu anakanda kepada kanda Khadir dan kanda Haidir. Tidak lupa juga sampaikan salam anakanda kepada cucuanda bonda, Puteri Alleya, Putera Iqram dan Putera Kamal. Terlalu rindu anakanda kepada mereka bertiga.

Wasalam...
Daripada anakandamu,
Putera Ahmad Tahir.


Setelah berlinangan air matanya, tidak dapat ditahan titisan air mata kerinduan. Kerinduannya terhadap Tahir telah terubat dengan kehadiran surat tersebut. Raja Sofea melipat helaian kertas tersebut perlahan-lahan dan melangkah masuk ke kamarnya meninggalkan cucu-cucunya yang leka bermain. Setibanya di kamar, Raja Sofea mencari celahan-celahan rahsia yang tidak diketahui suaminya untuk menyimpan surat daripada Tahir.

Lama juga Raja Sofea mencari tempat yang sesuai, setelah melihat satu bekas kosong yang tidak digunakan lagi di bawah katil, dia terus membongkokkan badannya dan mengintai bawah katil. Dia mencari-cari kotak itu, di raba-raba tangannya di bawah katil sehingga kotor. Akhirnya capaiannya itu mengena pada sasarannya. Kotak lama itu dirasakan terus dia mengambil dan menerkam kotak itu lalu ditarik keluar. Dimasukkan surat Tahir ke dalam kotak dan diletakkan semula di bawah katil.

Kegusaran hati Raja Sofea semakin tenang, dia tidak lagi bimbang dengan keadaan Tahir kerana baru sahaja mendapat perkhabaran berita. Sepanjang hari, mulalah terukir senyuman di wajah Raja Sofea. Seminggu selepas itu, Raja Sofea menerima sepucuk surat lagi daripada Tahir, perkhabaran yang diterima membuatkan hati Raja Sofea semakin tenang. Anaknya selamat dan dijaga oleh dua orang yang baik hati. Salam yang diutuskan kepada kedua orang anaknya lain telah disampaikan secara rahsia. Ternyata perkhabaran yang diterima oleh Raja Khadir dan Raja Haidir, benar-benar membuatkan mereka berdua tersenyum lebar dan berasa lega kerana adik mereka selamat di negeri orang.

* * *

“Bonda, ada Tahir bagitahu dia di mana berada?” Tanya Khadir.

“Ssshhh... perlahan-lahan, takut nanti ayahanda kamu dengar” Jawab Raja Sofea.

“Ayahanda dah keluar tadi, dia kata ada mesyuarat dengan client dari Korea.”Balas Raja Haidir.

“Dalam Surat tu, dia tak nyatakan pula di mana dia tinggal. Cuma dia cakap dia tinggal dengan sepasang suami isteri dan seorang anaknya. Adinda kamu tu telah jatuh cinta dengan anak mereka” Jelas Raja Sofea.

“Benarkah Bonda? Baik kita rahsiakan perkara ini dahulu, jangan ayahanda tahu. Kalau dia tahu, habislah kita.” Kata Khaidir.

Raja Sofea mengiyakan kata-kata putera sulungnya lalu dia. Begitu juga dengan Raja Haidir.

“Sedar tidak sedar, sudah hampir sebulan adinda kamu berkota di negeri orang. Perkhabarannya kita telah dapat, tapi kerisauan masih lagi ada. Adinda kamu itu, lembut orangnya, dalam lembutnya dia seorang yang tegas dan degil. Sama perangai dengan ayahanda kamu. Hitam katanya, hitamlah yang kita kena pilih. Kita ni hanya duduk di dalam kereta yang dipandunya, kalau ke kiri, kita akan turut ke kiri. Itulah umpamanya.”

“Benar juga kata Bonda. Tapi biarlah Tahir yang mengubah segalanya, dia seorang yang berani. Anakanda berdua akan menyokong segala tindakan Tahir walaupun kami tahu ayahanda akan murka.” Sambut Haidir.

“Baguslah kalau itu yang difikirkan.”

Dalam pada itu, datang Jamaliah bersama sekeping surat. Tetapi kali ini atas nama Raja Sofea dan Raja Farouk. Raja Sofea mula binggung, jika anakanda Tahir yang menghantarkan surat, kenapa harus ada nama ayahandanya. Mungkin Tahir ingin ayahandanya tahu keberadaan Tahir. Tetapi itu semua mustahil. Kalau Raja Farouk tahu keberadaan Tahir, akan dia cari sehingga ke lubang cacing. Tetapi disebabkan beban kerja yang ditanggung, dia hanya mengupah orang mencari Tahir. Setelah sebulan keluar daripada rumah, tidak ada satu pun orang yang diupahnya tahu keberadaan Tahir.

Raja Sofea membelek sekeliling surat itu sambil menatap wajah-wajah anaknya. Raja Khadir dan Raja Farouk juga kehairanan.

“Kalau surat ini daripada Tahir, kenapa pula ada nama ayahanda kamu?” Hairan Raja Sofea.

“Mungkin Surat itu bukan dari Tahir, cuba bonda buka nanti akan tersuratlah segala apa yang tersirat.” Raja Haidir yang sering bermain dengan kata-kata membuatkan segalanya menjadi dialog yang bermakna.

Tanpa membuang masa, Raja Sofea membuka surat tersebut dan mengeluarkan isi surat itu. Sebaik dia membuka, ternyata itu bukanlah surat daripada Tahir, tetapi surat daripada Dato Ramlee dan Datin Ramlah.

“Surat ni daripada Dato Ramlee” Ujar Raja Sofea.

“Dato Ramlee? Maksud bonda, Dato Ramlee bakal besan bonda dan ayahanda?” Tanya Khadir.

Raja Sofea mula binggung, hatinya tidak keruan. Dia khuatir jika kehadiran Dato Ramlee dan Datin Ramlah ke rumahnya tidak disambut oleh Tahir. Dato Ramlee dan Raja Farouk telah mengikat satu perjanjian kontrak usaha sama perniagaan yang terbesar di Asia Tenggara. Untuk memantapkan usahasama tersebut, mereka telah menjodohkan Wanda dengan Tahir. Wanda tidak menolak perjodohan itu kerana dia mula tertarik dengan Tahir semenjak pertama kali berjumpa dengan Tahir lebih sebulan yang lalu. Tetapi berlainan pula reaksi Tahir, dia tidak suka jika dijodohkan dan dipaksa berkahwin atas dasar perniagaan. Dia tidak mahu menjadi seperti abang-abangnya yang lain.

Kehadiran surat itu benar-benar menguji kecekalan Raja Sofea. hatinya yang semakin tenang kini bergelora kembali, apakah daya dia untuk menghalang kehadiran Dato Ramlee dan Datin Ramlah bertandang ke rumahnya. Jika mereka tahu Tahir telah lari daripada rumah disebabkan tidak mahu berkahwin dengan Wanda, apakah reaksi mereka dan akan murkalah Raja Farouk kepada anak bongsunya itu. Keadaan cemas itu ditenangkan oleh Raja Khadir dan Raja Haidir. Mereka berdua datang mendekat ke arah Raja Sofea lalu ditenangkannya.

“Bonda sabar ya, insyaAllah akan ada jalan penyelesaiannya.” Ujar Raja Haidir.

“Bila mereka akan bertandang, Bonda?” Tanya Raja Khadir.

“Rabu ni, Bonda khuatir jika Wanda ikut sekali. Kalau dia ikut sekali sudah tentu dia akan mencari-cari Tahir. Apa harus ayahanda dan bonda bagitahu mereka?”

“Nanti pandailah ayahanda bagitahu. Ayahanda tak akan bagitahu perkara yang sebenarnya, kalau ayahanda bagitahu sudah pasti hubungan perniagaannya dengan Dato Ramlee akan terbantut. Ayahanda bijak, bonda jangan bimbang” Jelas Haidir.

“Betul apa yang Haidir kata itu bonda. Sekarang ni, kita terima kedatangan mereka dengan terbuka. Jangan sampai mereka sedar akan ketiadaan Tahir di rumah ni.”

Ketiga-tiga beranak itu bangkit. Mereka bercadang untuk bersiap-siap untuk menjemput kedatangan Dato Ramlee dan Datin Ramlah. Raja Sofea terus menelefon, suaminya Raja Farouk. Setelah mendengar khabar berita itu, Raja Farouk ternyata tidak gusar, malah dia sudah menjangka akan kedatangan Dato Ramlee dan Datin Ramlah.

Hari rabu, bermakna 2 hari lagi Raja Sofea dan Raja Farouk menerima tetamu. Segala persiapan diadakan. Kedatangan Dato Ramlee dan Datin Ramlah hanyalah sekadar menjenguk dan memperkenalkan anaknya, Wanda kepada Raja Farouk dan Raja Sofea sebagai menantu baru mereka. Memang telah lama Raja Farouk dan Dato Ramlee ingin menjodohkan Tahir dengan Wanda, kerana hubungan perniagaan. Dengan mengabungkan 2 buah syarikat gergasi di Kuala Lumpur dan di Johor Bahru, rangkaian perdagangan dan perniagaan syarikat mereka semakin meluas. Malah, banyak pelabur-pelabur asing ingin melabur dan membantu dalam usahasama ini setelah mendapat tahu kedua-dua buah syarikat ini bakal digabungkan. Pasaran saham antarabangsa Syarikat Nutra Jaya Snd. Bhd milik Dato Ramlee dengan Syarikat Jingga Holdings Sdn. Bhd milik Raja Farouk meningkat secara mendadak dan merupakan antara yang tertinggi di Asia Tenggara beberapa hari yang lalu.

Hal ini membolehkan, usahasama mereka dijalinkan dengan hubungan persaudaraan. Bagi Dato Ramlee dan Raja Farouk, menjodohkan anak mereka berdua adalah satu langkah yang bijak.

* * *

Di pagi Selasa yang hening, seperti biasa keadaan rumah sunyi sepi. Hanya Raja Sofea yang berada di dalam kamar. Badannya masih lagi lembab dan bersarungkan baju mandi berwarna biru muda. Cucu-cucunya belum datang lagi ke rumah, mungkin terlalu awal dari hari biasa. Jam di dinding tepat menunjukkan pukul 8.30. kebiasaannya, setelah bangun tidur, Raja Sofea membantu Jamaliah bersiap-siap sarapan untuk suaminya, dan setelah suaminya pergi ke kerja, baru Raja Sofea mandi.

Terpacak jasadnya menghadap cermin, ukiran pada cermin itu kadangkala menyelinap masuk ke mata Raja Sofea. berwarna keemasan, dan diimpot khas dari itali beberapa tahun lepas masih mampu menyinarkan keindahannya. Wajahnya sudah terpantul pada permukaan cermin, dibelek satu-persatu mukanya. Meskipun sudah berusia hampir 50-an, namun Raja Sofea kelihatan seperti anak dara, atau berada dalam lingkungan 30-an atau kedua-duannya sekali. Ada pernah sekali, seorang rakan anaknya, Raja Haidir iaitu Richard Lioner ketika itu masih lagi melanjutkan pelajaran di Universiti Moscow, tiga tahun lepas, mengingatkan Raja Sofea itu adalah kakaknya. Sebaik diberitahu, dia terus terperanjat dan tidak menyangka Haidir mempunyai ibu yang kelihatan muda dari usia sebenarnya.

Suasana tika itu masih lagi terbayang dalam ingatan Raja Sofea. setiap kali dia teringat kata-kata itu, pasti dia akan ketawa seorang diri. Satu persatu solekkan dikenakan. Dalam leka berdandan di hadapan cermin kesayangnnya, telefon bimbit yang dihadiahkan oleh Tahir beberapa bulan sebelum dia menghilangkan diri berbunyi. Dengan pantas Raja Sofea terus mendapatkan telefon bimbitnya. Hanya paparan nombor yang ada pada skrin telefon, nama atau kenalan tidak pula ada. Kehairannya mula menyelubungi Raja Sofea. lalu dia mengangkat panggilan itu.

“Assalamualaikum, siapa ni?” Tanya Raja Sofea.

“Waalaikumusalam. Bonda, ni Tahir.” Suara kecil daripada lelohong bimbit.

“Anakanda Tahir. Kemanakah gerangan anakanda menghilang? Rindu bonda pada anakanda. Anakanda apa khabar?”

“Anak sihat-sihat aja bonda. Bonda jangan bimbangkan anakanda. Anakanda ingin sekali bertemu dengan bonda. Tapi apakan daya, anakanda tidak berdaya. Ada apa perkembangan terbaru tentang syarikat atau keluarga yang perlu anakanda tahu?”

“Oh ya, esok Dato Ramlee dan Datin Ramlah mahu bertandang ke rumah. Mungkin mereka akan membawa Wanda. Bonda tak tahu apa peracangan ayahanda esok. Apa yang ayahanda akan beritahu mereka jika anakanda tiada di rumah.”

“Tak apalah, bonda jangan bimbang. Anakanda yakin, ayahanda mampu atasi masalah ketidakberadaan anakanda. Tapi, anakanda tidak mahu berkahwin dengan Wanda, bonda. Anakanda sudah ada pilihan hati sendiri. Ingin sekali anakanda bertemu bonda dan menceritakan segala-galanya. Tapi apakan daya.”

“Anakanda, bonda boleh pergi ke tempat anakanda. Nanti bonda akan fikirkan caranya bagaimana bonda boleh berjumpa dengan anakanda. Nanti bonda akan berbincangan dengan kanda kamu.”

“Benarkah bonda? Ini nombor anakanda, bonda boleh telefon anakanda bila-bila masa. Tapi tolong jangan berikan nombor anakanda kepada sesiapa termasuk kanda Khadir dan kanda Haidir.”

“Baiklah bonda akan berjanji. Bonda akan mencari jalan, insyaAllah minggu depan bonda akan meminta izin kepada ayahanda kamu untuk pergi ke Johor Bahru. Bonda akan meminta salah satu kanda kamu berdua untuk menemani bonda”

“Terima kasih bonda. Baiklah bonda, anakanda ingin berundur diri dulu. Jika ada kelapangan akan anakanda telefon bonda lagi. Doakan anakanda dunia akhirat bonda. Rindu anakanda pada bonda. Sampaikan salam anakanda kepada kekanda berdua, dan Puteri Alleya, Putera Iqram dan Putera Kamal.”

“Baiklah anakanda. Anakanda kena jaga kesihatan dan berhati-hati selalu”

“Baiklah bonda. Assalamualaikum”

“Waalaikumusalam.”

Tersenyum lebar Raja Sofea sebaik dapat berbual-bual dengan anak kesayangannya. Dia bernekad untuk ke Johor Bahru walau apa alasan sekalipun. Dia mahu memastikan anaknya hidup di negeri orang dengan keadaan yang sesempurna mungkin. Dia sedar, Tahir tidak pernah hidup susah sejak dari kecil. Biarpun susah, dia mahu memastikan rakan-rakan yang dikenali anaknya baik-baik belaka. Terutama gadis yang berjaya menambat hati anaknya.

Hari itu berlalu seperti biasa, namun segala persiapan sudah disediakan untuk menyambut kedatangan Dato Ramlee dan Datin Ramlah. Semuanya telah di rancang dan diatur oleh Raja Sofea dan Raja Farouk.

No comments:

Post a Comment