Wednesday, November 11, 2009

Hadiah Teristimewa 3


Adam duduk di sofa buruk pada satu sudut ruang tamunya, matanya memandang tepat ke arah gambar yang tergantung sekian lama di dinding. Gambar dia bersama arwah isterinya. Pandangan yang penuh dengan tajam tiba-tiba membuatkan Adam mengalirkan air mata. Pipi yang tidak mudah basah itu, dipenuhi dengan air jernih mengalir. Mudahnya emosi Adam terganggu, dia amat merindui kasih dan sayang daripada isterinya. Adam hanya sebatang kara, ibunya meninggal dunia ketika hendak melahirkan Adam. Bapanya juga meninggal dunia pada hari sama dalam kemalangan jalan raya ketika membawa ibunya ke hospital. Untungnya dalam kemalangan itu Adam terselamat dan setelah itu dia diasuh di salah satu rumah anak-anak yatim yang berdekatan di situ. Kehidupan yang dilalui Adam sepanjnag hidupnya amat memeritkan apatah lagi dengan kehilangan ibu bapa yang tidak pernah bersemuka dan isterinya yang meninggal ketika melahirkan anak sulungnya.

“Assalamualaikum” tiba-tiba terdengar suara perempuan terbit dimuka pintu. Air matanya dikesat, pipi yang membasah menampakkan kulitnya kelihatan lembab. Adam seolah-olah hendak merahsiakan duri yang lama tertanam di dalam hatinya. Luka itu masih belum terubat meskipun bertahun lamanya berlalu. Matanya merah membekam warna hitam.

“Waalaikumusalam” jawab Adam sambil melangkah kaki ke muka pintu yang tidak ditutup dan dibiarkan buka kerana cuaca di kampung Jelebu agak kepanasan dan tujuan Adam membuka pintu untuk membenarkan aliran udara masuk.

“Oh, Hawa. Ada apa ya? Boleh saya bantu?” sambung Adam lagi.

“Maaf kalau saya menganggu. Saya ada bawakan lauk, sengaja saya masak lebih. Lauk ikan pari masak asam pedas” Jelas Hawa, dengan mengukir senyuman sambil matanya memandang tepat ke arah Adam. Hawa dapat merasakan sesuatu yang berlaku kepada Adam sebelum dia datang menyinggah. Tetapi dibiarkan saja perasaan itu.

Hawa menjadi jiran Adam setelah berpindah keluar daripada rumah Adam. Kedatangan Hawa ke kampung Jelebu selama hampir sebulan membuatkan hidup Adam semakin terurus. Pernah sekali, Hawa meminta Adam memotong janggut yang ada di wajah Adam serta mengenakan pakaian yang rapi dan Adam mengikuti kata-kata Hawa kerana baginya itu adalah perkara yang baik. Setelah Adam mengikut saranan Hawa, wajahnya jelas kelihatan ketampanan, dan kesegakan duda berusia 27 tahun itu. Wajahnya kelihatan suci dan bersih membuatkan Hawa mula menaruh perasaan terhadap Adam. Hati Hawa mula hancur dan selalu memandang serong kepada insan yang bernama lelaki dek kekejaman yang pernah dilakukan oleh lelaki durjana. Tetapi pandangan itu mula berubah apabila Adam hadir dalam kehidupannya, senyuman mula terukir dan semangatnya untuk hidup kembali menjelma.

“Awak ni susah-susah saja. Kalau saya lapar saya boleh beli atau masak. Selama hampir sebulan awak tinggal di sini, awak selalu beri saya makanan. Saya malu pada awak, saya minta maaf” Adam rasa serba salah. Dia merasakan dirinya seolah-olah tidak berguna dan hanya menjadi beban kepada Hawa.

“Susah? Saya tak pernah rasa susah awak. Saya ikhlas nak bantu awak, saya hanya insan yang ada rasa simpati dan hormat. Saya tolong awak kerana awak pernah tolong saya, saya hormat awak kerana awak hormat saya sebagai seorang wanita, saya sayang awak kerana bukan atas nama simpati.” Hawa yang hanya tercegat dikaki tangga menjelaskan kata-kata kepada Adam dengan nada yang agak serius. Tetapi Hawa terlepas kata, apabila dia mengungkapkan kata sayang. Kata-katanya terhenti dan mukanya berkerut sebagai tanda rasa malu.

“Sayang? Maksud awak? Awak sayang saya?” Adam membalas kata-kata hawa dengan nada yang menghairankan.

“Tak ada apa-apa lah. Maaf saya terlepas cakap pula” Hawa cuba menyembunyikan perasaanya dek kerana malu.

“Baiklah” Adam memandang wajah ayu gadis yang berada tepat di hadapannya itu sambil memikirkan persoalan yang di ujarkan olehnya sebentar tadi.

“Ambillah lauk ini. Makan ya. Kalau tidak, kesejukkan tak sedap pula” Hawa mula mematikan perasaannya seketika. Adam menuruni tangga dan mendekati Hawa yang menghulurkan dulang yang berisi lauk, dan nasi.

“Terima kasih ya. Nanti saya makan”

“Sama-sama, saya balik dulu sebab ada kerja. Assalamualaikum” setelah Adam menyambut dulang yang diberikan oleh Hawa, lalu meminta diri. Adam hanya tercegat dan berasa hairan dengan gelagat gadis itu.

“Waalaikumusalam”

* * *

“Pak Abu lihat, Am dengan Hawa dah makin rapat. Ada apa-apa ke?” pertanyaan Pak Abu membuatkan Adam tersenyum kecil. Pak Abu adalah bilal masjid di kampuang tersebut. Pak Abu jugalah selalu memberi nasihat berguna kepadanya ketika menghadapi masalah dan kesedihan sewaktu Adam menghadapi dugaan yang amat berat dalam hidupnya iaitu menerima berita kematian isterinya.

“Entahlah pak Abu, Am pun keliru. Tapi Am rasa dia adalah wanita yang dicipta untuk Am. Tapi Am bimbang, Am tak yakin dengan perasaan Am.” Adam mula kebingungan.

“Kenapa banyak tapi ni? Jawab jujur dengan pak cik, Am suka dia atau tidak?” jelas Pak Abu dengan muka yang serius.

“Pak Abu bukan apa. Kalau dah suka baguslah, jadikanlah dia isteri Am, lagi pula ada orang yang boleh jaga Am. Tak baik dipandang orang jika apa yang Am buat dengan Hawa berlajutan” sambung pak abu.

“Saya tak buat apa-apa pun dengan dia, Pak Abu. Sumpah” jelas Am dengan sedikit terkejut. Dia tersentap apabila orang lain memikirkan perkara yang tidak pernah dibuat dan terkutuk.

“Am jangan salah faham. Pak Abu memang kenal Am dari kecil sampai besar. Am tak akan buat benda-benda tak senonoh macam tu. Tapi itu Pak Abu, orang lain macam mana, perbuatan Am boleh menimbulkan fitnah. Am kena fikir juga ya. Memanglah Am selalu pergi solat dan bersujud kepada yang Esa, tapi mulut orang Am”

“Baiklah, Am minta maaf Pak Abu. Sekarang baru Am faham.”

“Pak Abu bukan apa, mulut kita boleh kita tutup Am. Tapi mulut orang lain. Tapi jangan pula Am fikir, biar apa yang dia orang cakap... asalkan kita tak buat. Itu pemikiran yang salah. Kita diminta untuk menjauhkan fitnah malah menampakan timbulnya permasalahan fitnah juga ditegah. Pak Abu tak mahu kisah Maryam yang difitnah berzina dengan Yusuf an-Najjar kerana mengandungkan Nabi Isa a.s tanpa ada ikatan pernikahan. Maryam seorang gadis suci dan sangat taat kepada perintah Allah s.w.t dituduh bermukah oleh kaumnya sendiri. Pak Abu harap, Am faham apa maksud Pak Abu ” Pak Abu menerangkan pendapatnya kepada Adam. Dia sudah menganggap Adam sebagai anaknya sendiri.

“Am faham Pak Abu. Am akan ikut cakap Pak Abu. Mana yang baik untuk Pak Abu, itu baiklah untuk Am” jelas Adam.

“Terima kasih Am.” Pak abu mengukirkan senyuman tanda kegembiran dengan anak didiknya itu.

“Am, Pak Abu nak bang dahulu. Solat isyak dah nak masuk. Ada masa nanti kita sembang-sembang lagi ya. Sebelum Pak Abu terlupa, mohonlah petunjuk daripadaNya. Buatah solat dhuha ya.” Pak Abu membangkitkan dirinya dan melangkah masuk ke dalam masjid”

“Baiklah Pak Abu, terima kasih” setelah Pak Abu beredar, Adam masih lagi duduk dan memikirkan tentang apa yang diperkatakan oleh orang tua separuh abad itu. Hatinya mula merasakan sesuatu yang tidak dapat diungkapkan.

“Ya Allah berikanlah aku petunjukmu, sesunggunya aku tidak mahu termasuk dalam orang-orang yang sesat” benaknya di dalam hati. Malam itu juga Adam menunaikan solat dhuda seperti yang disarankan oleh Pak Abu untuk mendapat petunjuk. Adam mengharapkan jawapan kepada segala persoalan yang bermain dalam pemikirannya selama ini sejak kehadiran insan bernama Hawa. Adakah Hawa hadir sebagai penganti hidup Salwa isteri kepada Adam? Adam masih lagi keliru untuk mendapatkan jawapan. Keputusan yang dibuat bukan sahaja untuk dirinya tetapi juga untuk Hawa. Adam tidak mahu mensia-siakan hidup Hawa yang terpaksa hidup susah dengan Adam kelak.

* * *

“Ambillah sepohon bunga yang aku tanam ini dan jagalah ia seperti dirimu sendiri. Suburkanlah ia dengan air hujan dan baja yang banyak. Kelak kau akan tersenyum dan gembira bersama bunga yangku beri ini”

Adam tersentap dan terbangun daripada tidurnya. Alangkah terperanjatnya dia apabila bermimpikan sosok kelibat lelaki berjanggut yang berpakaian serba putih datang menghampirinya. Keadaan lelaki tersebut sungguh sempurna dan tampan. Adam tersentap dari tidurnya dan wajahnya membasah dengan mandian peluh yang tak terhingga. Bantal yang setia menemani waktu tidurnya, turut membasah keringat mimpi Adam dek kerana ketakutan.

“Apakah bunga yang dimaksudkan oleh lelaki tua itu?” pertanyaan ini sering bermain difikiran Adam sepanjang hari selepas dia bermimpikan kejadian aneh. Adam termenung sepanjang hari dan ada ketikanya dia berbicara sendiri sehingga Hawa yang datang memberikan makanan tengah hari perasaan dengan sikap Adam.

“Apa yang bualkan seorang diri tu awak?” tanya Hawa.

“Eh, awak. Tak adalah. Terima kasih hantarkan lauk.” Adam tersentap dari fikirannya sebaik sahaja suara Hawa terdengar di luar pintu. Langkah diatur menuju ke muka pintu dan terus menuruni tangga sambil tanggannya menghulurkan sambutan dulang berisi lauk.

“Sama-sama. Saya balik dahulu ya. Tak elok ada yang melihat. Assalamualaikum”

“Baiklah, waalaukumusalam”. Adam hanya melihat gerak geri Hawa yang menuju ke rumahnya yang tidak jauh dari rumah Adam.

Setelah hawa beredar pergi, Adam mula mengelamun kembali. “Apa maksud mimpi aku itu? Ya Tuhan, berikanlah aku petunjukkmu.” bentaknya di dalam hati.

“Atau aku tanyakan sahaja kepada Pak Abu malam ini di masjid tentang mimpi aku itu”sambungnya lagi. Setelah mendapat kata putus, Adam nekad untuk berjumpa dengan Pak Abu untuk mendapatkan kepastian tentang maksud mimpinya. Mungkin ada benar juga kalau mendengar kata-kata orang yang berpengalaman. Adam melangkah ke dapur sambil membawa lauk yang dihantar oleh Hawa.

* * *

Setelah selesai solat maghrib berjemaah di masjid, Adam duduk disatu sudut tangga depan pintu masjid sambil memikirkan mimpinya itu. Adam masih lagi mencari jawapan kepada mimpinya itu. Adam bimbang jika mimpi itu membawa sesuatu yang buruk atau sebaliknya. Sepanjang hari Adam memikirkannya, jiwanya kacau dan tidak tenteram dengan kehadiran mimpi yang tidak disangka-sangka.

“Jauh termenung. Apa yang difikirkan tu?” sergah Pak Abu dari belakang membuatkan Adam tersentap seketika.

“Terperanjat Am, Pak Abu ni saja nak mengusik Am”

“Maaf, Pak Abu bergurau saja”

“Pak Abu, Am nak Tanya boleh?” Adam mula pertanyaanya.

“Apa dia” Pak Abu memandang jelas wajah anak didiknya itu.

“Pak Abu pandai meramal mimpi tak?” Adam membalas pandangan Pak Abu dengan mata yang amat tajam sambil menanti jawapan daripada pertanyaannya..

“Meramal mimpi, tak pandai. Tapi IsyaAllah Pak Abu boleh mentafsir mimpi kamu itu. Apa yang kamu mimpikan?”

“Am mimpi, datang seorang lelaki lengkap berpakaian putih, dia beri Am sepohon pokok bunga dan meminta Am menjaga bunga itu. Lepas itu dia cakap, bunga itu akan menemani Am sepanjang hidup. Apa masudnya itu Pak Abu”

“Oo…begitu. Am, jujur pak abu cakap dengan Am. Perkara yang Am alami sekarang, Pak Abu telah alami hampir 20 tahun yang lalu. Sebelum Pak Abu berkahwin dengan mak cik Kalsum, Pak Abu mempunyai seorang isteri bernama Maria. Tetapi Maria meninggal dunia sewaktu dia hendak melahirkan anak kami yang sulung. Dan kemudian, mak cik Kalsum datang sama persis seperti kedatangan Hawa dalam hidup Adam. Pak Abu juga bermimpi, tetapi mimpi Pak Abu berlainan dengan mimpi Am.” Pak Abu terhenti seketika. Terlihat sebak diwajahnya apabila mengingatkan arwah isterinya, Maria.

“Berlainan? Apa pula mimpi Pak Abu?” tanya Adam dengan nada yang bersemangat.

“Pak Abu bermimpi, seorang lelaki persis yang Am ceritakan kepada Pak Abu, dia memberikan sekuntum bunga yang layu dan mati. Lalu dia menyuruh Pak Abu menanamkan bunga itu ke dalam tanah. Setelah di tanam beberapa saat, bunga itu tumbuh dan mekar tanpa meletakkan sebiji benih pun. Dia menyuruh Pak Abu menjaga bunga yang tumbuh itu, sama persis yang dikatakan kepada Am.”

“Tapi Pak Abu faham apa yang dimaksudkan oleh mimpi itu?” tanya Adam lagi.

“Tidak, Pak Abu tak faham. Sebab itu Pak Abu menceritakan mimpi ini kepada arwah Haji Sabtu. Dia mengatakan kehadiran Kaltum dalam hidup Pak Abu akan memberikan sinar harapan baru dan zuriat yang banyak. Dari satu pohon bunga yang layu, tumbuh pohon yang lain tetapi dari punca yang sama. Katanya lagi, arwah isteri Pak Abu merestui hubungan kami.” jelas Pak Abu sambil menahan titisan air mata yang mula terbit apabila mengingatkan kembali kisah-kisah yang lalu.

“Sekarang baru Am faham. Mungkin DIA telah memberikan Am petunjuk kepada permasalahan ini dalam mimpi persis sama yang pernah Pak Abu alami. Am nekad dan yakin yang Am akan menikahi Hawa kerana seluruh alam merestui hubungan kami. Tapi, adakah Hawa sudi menerima Am?”

“Hawa ada datang ke rumah Pak Abu beberapa hari yang lalu atas urusan kedai usahasama antara dia dengan mak cik Kaltum, secara tidak langsung Hawa telah menyatakan yang dia mencintai Am sewaktu dia mula-mula berkenalan dengan Am. Tetapi dia malu untuk menyatakan hasratnya itu kerana dia menganggap dirinya kotor dan hina dan tidak sesuai dengan Am.” jelas Pak Abu sambil mengukir senyuman.

“Alhamdulilah. Baru boleh tarik nafas lega. Am tak kisah dia telah rosak atau tidak, kerana dia pernah menceritakan kisah silamnya kepada Am. Kalau Am kisah dengan semua itu, sudah lama Am menjauhi dia. Am ikhlas dan tahu yang dia tidak bersalah. Pak Abu, Am nak meminang dia secepat mungkin dan Pak Abu boleh jadi orang perantara antara kami ya.” jelas Am dengan nada yang gembira. Tangan Pak Abu yang telah dianggap sebagai ayahnya di genggam.

“InsyaAllah. Pak Abu dan mak cik Kalsum akan meminangkan Hawa untuk Adam. Itu janji Pak Abu”


* * *

Mata Adam dengan Hawa saling bertentang tatkala Adam sedang melafazkan akad nikah. Senyuman terukir dibibir Hawa membuatkan wajah hawa begitu ayu, baju yang dikenakan sungguh cantik dan menawan. Setiap yang memandang pasti tertawan. Dengan sekali lafaz, akhirnya Hawa berjaya dimiliki oleh Adam, mereka selamat diijabkabulkan sesuai dengan perancangan. Hati dua insan yang berlainan perwatakan dan latar belakang akhirnya berlaku. Hawa diwalikan oleh abangnya, iaitu Saiful. Hanya Saiful dan Suhana iaitu isterinya sahaja yang datang bagi pihak Hawa, selain itu tidak terlihat ahli keluarga yang lain. Disebalik wajah yang ayu dan tersenyum manis, tersimpar seribu kata hiba yang tak terungkap. Suasana yang sepatutnya dipenuhi dengan nikmat kesyukuran, dihimpit rasa kecewa dengan ahli keluarganya. Terutama pak ciknya, iaitu En. Amran yang berjaya menghasut pemikiran ahli keluarga yang lain, yang memfitnah Hawa menggoda dirinya sendiri setelah kes perbuatan sumbang En Amran merogol anak saudaranya sendiri diketahui oleh isterinya iaitu mak cik Hawa, Mak Sarah. Dengan hasutan dan keyakinan yang ditipu oleh En. Amran, telah membutakan hatinya untuk menerima penjelasan daripada Hawa. Begitu juga dengan ahli keluarganya yang lain kecuali Abang Hawa, Saiful dan isterinya, Suhana.

Atas alasan itulah Hawa bertindak nekad untuk keluar dari kepompong penindasan dan fitnah yang dilemparkan ke atas dirinya. Disebalik kekecewaan Hawa terhadap ahli keluarganya sebenarnya dia telah lama memaafkan ahli keluaragnya walaupun amat perit dilalui.

“Apa yang dimenungkan tu” suara Saiful membuatkan Hawa terhenti dari mengingatkan kisah silamnya. Hantinya mula berdesir yang tidak-tidak. Kedukaan dari riak wajahnya mula pudar setelah melihat wajah abangnya yang tercinta, yang senantiasa memberinya semangat dan harapan untuk teruskan hidup disaat Hawa menghadapi dugaan yang amat berat sedikit masa dahulu.

“Abang. Tak ada apa-apa. Hawa Cuma teringatkan mak dan ayah” Hawa mula menyembunyikan perasaan hampanya atas ketidakhadiran ahli keluarga yang lain.

“kalau mak dan ayah ada, sudah tentu dia gembira melihat Hawa bernikah dan telah memiliki suami yang baik” sambungnya lagi.

Saiful memutarkan badanya sehingga berhadapan dengan adik kesayangannya dan memandang tepat ke mata Hawa. Dengan perlahan, Hawa mula menitiskan air matanya. Adam yang melihat gelagat dua beradik itu dari jauh, mula mendapatkan Hawa dan Saiful.

“Kenapa ni abang? Hawa?” Tanya Adam.

“Hawa rindukan kehadiran mak dan ayah. Dia teringin sangat melihat mak dan ayah melihatnya bernikah dan mempunyai suami. Tetapi tidak berkesempatan.” jelas Saiful.

Setelah mendengar penjelasan daripada Saiful, Adam mula memegang tangan isterinya itu dan menciumnya. Tangan yang masih merah berinai dan lembut terasa hangatnya kasih sayang seorang suami yang didambakannya selama ini. Tangan kanan Adam masih lagi memegang tangan Hawa. Setelah melihat air mata isterinya itu mula berjurai, Adam mula menggerakkan tangan kirinya dan mengesatkan air mata Hawa.

“Jangan menangis sayang, abang ada selalu bersama sayang. Bukan abang seorang sahaja yang ada, abang saiful, kak Su, mak cik Kalsom, pak Abu dan ramai lagi yang masih sayangkan sayang. Abang yakin, mak dan ayah sayang pasti akan melihat dan merasakan kebahagian kita di alam sana. Mereka juga selalu mendoakan kebahagian kita. insyaAllah sayang.” Adam memberikan kata-kata manis yang diungkapkan buat pertama kali setelah mereka sah bergelar suami isteri. Sambil berbicara, Adam mengenggam kuat tangan isterinya sambil diperhatikan oleh semua orang. Tergambar jelas diwajah semua yang melihat keadaan Hawa dalam kesedihan turut mengalami perasaan yang sama.

Hawa diam seribu bahasa. Hanya mampu tertawa dalam tangisan dek kerana terharu dengan kata-kata suaminya itu. Hati siapa yang tidak luluh jika kata-kata seperti itu ditujukan khas buat insan yang dicintainya.

“Dah sayang jangan menangis lagi ya. Mulai daripada hari ini, abang akan menjaga sayang tanpa ada tangisan lagi”

“Terima kasih abang” suara Hawa kurang kedengaran dek kerana terlalu hiba bercampur terharu.

“Jangan ucapkan terima kasih, sudah menjadi tanggungjawab abang menjaga sayang. Sayang adalah anugerah yang diberikan oleh Yang Esa kepada abang. Dan sayang jugalah hadiah yang teristimewa yang diberikan oleh Arwah Isteri abang, melalui mimpi. Abang bersyukur sayang hadir dalam hidup abang” suasana menjadi penuh dengan rasa hiba dan terharu. Hawa dan Adam saling berpelukan sambil disaksikan sekalian yang hadir majlis akad nikah mereka. Ada di antara mereka yang turut mengelurkan air mata.

2 comments:

  1. ceriter ni
    straight sangat..konflik x nampak timbul la..
    so far..penggunaan bahaser cun r..giler punyer komen!
    p kan,klu adam 2 dipuji lebey sket,mesti best..pas2 chrter hawa 2,buat gegiler sket..huishhh..seronk!.................bella salam

    ReplyDelete
  2. Cerita ni boleh tahan la...
    part yang akhir tu romantisnya..hahhaha
    aku terpukau pulak..hahahha
    best2..
    gaya penulisan sudah ada...cuma perlu diperbaiki lagi...

    thaniah asrul

    Dan Bentong

    ReplyDelete