Wednesday, November 11, 2009

Persis Bidasari 2


Rezeki kian mencurah-curah sejak Pak Abu dan Mak Jah menjadikan Qaisarah sebagai anak angkat mereka. Pak Abu akhirnya menerima tawaran kerja menjadi pemandu kepada Dato Ramlee sekaligus membalas jasa dan budi baik Pak Abu kerana menolongnya melawan penjahat yang telah mengacaunya tempoh hari.

Mak Jah merasa gembira dengan tawaran kerja itu dan tidak lagi khuatir dengan kerja suaminya yang memandu teksi tanpa mengenal penumpangnya. Setelah seminggu tawaran Dato Ramlee itu diterima, akhirnya Pak Abu, Mak Jah dan Qaisarah berpindah ke rumah berhampiran dengan rumah banglo Dato Ramlee dan isterinya Datin Ramlah. Ada pun sebagai pemandu, Dato Ramlee dan Datin Ramlah menganggap Pak Abu sekeluarga sebagai keluarga mereka sendiri.

Mak Jah mengasuh anak-anak Dato Ramlee dan Datin Ramlah, disamping menjaga Qaisarah. Dengan adanya anak-anak Dato Ramlee dan Datin Ramlah itu, Qaisarah mempunyai teman walaupun Qaisarah adalah yang paling bongsu dalam kalangan mereka. Dato Ramlee dan Datin Ramlah mempunyai 4 orang anak iaitu Farid, 18 tahun, Wanda 9 tahun, Lokman 5 tahun dan Indra 3 tahun. Mak Jah menjaga dan membela Lokman dan Indra sewaktu abang dan kakaknya ke sekolah dan sewaktu ketiadaan Dato Ramlee dan Datin Ramlah di rumah.

Qaisarah sering bermain dengan Lokman dan Indra sehingga membuatkan mereka semakin akrab dan saling menyayangi antara satu sama lain. Tahun berganti tahun, musim berganti musim, bUmi masih setia berputar pada paksinya walaupun usia Qaisarah mencecah hampir 6 tahun. Telah waktunya Qaisarah bersekolah dan mempelajari ilmu pengetahuan. Qaisarah membesar dengan seraut wajah yang cantik dan sering mendapat perhatian ramai orang. Ada yang memuji, ada yang mengata dan ada juga yang iri hati dengan kecantikan Qaisarah.

“Anak Umi ni sudah besar dah. Sekejap aja Qaisarah besar, sekarang dah nak bersekolah pula.” ujar Mak Jah sambil membetulkan tudung yang dikenakan ke atas Qaisarah. Qaisarah sudah didik dengan didikan agama dan adat yang sopan supaya membesar seiring dengan ilmu agama yang tinggi.

“Umi, Qaisarah nak belajar bersungguh-sungguh, nak tengok Umi dan Abi gembira” ujar Qaisarah kadang kala tersangkut-sangkut. Lidahnya masih lagi pelat untuk berkata-kata dengan lancar walaupun sudah hampir mencecah 6 tahun.

“Umi percaya anak Umi ni akan berjaya suatu hari nanti. Insya-Allah. ”

“Qaisarah, cepat siap-siap, Abi nak gerak ni” Pak Abu berdiri di hadapan muka pintu sambil menunggu anak kesayangannya keluar. Qaisarah terus berlari menuju ke Pak Abu dan terus mengenakan kasut baharu yang dibelinya.

Di dalam kereta, ada Lokman dan Indra masing-masing bersekolah dalam darjah 5 dan darjah 3. Qaisarah pula baru sahaja bersekolah tadika. Namun semangatnya mengalahkan dua orang anak Dato Ramlee yang sudah dianggap sebagai abangnya sendiri. Qaisarah bukan sahaja disayangi oleh Lokman dan Indra, malah dia juga disayangi oleh Dato Ramlee, Datin Ramlah, Farid dan juga Wanda. Mereka sekeluarga telah menganggap Qaisarah seperti keluarga sendiri.

Tahun ini, bertambah seorang penumpang kereta, kalau dahulu yang bergerak ke sekolah hanya Wanda, Lokman dan Indra, tetapi kini Qaisarah menjadi ahli baharu dalam kereta tersebut. Beberapa minit bergerak, tibalah mereka semua ke sekolah. Pak Abu buat pertama kalinya mendaftarkan Qaisarah ke sekolah dan menguruskan hal-hal berkaitan dengan pembelajaran Qaisarah. Pak Abu telah meminta kebenaran daripada Dato Ramlee untuk masuk kerja lewat kerana menguruskan pendaftaran Qaisarah.

Setelah selesai semuanya, Qaisarah dibiarkan sendirian di sekolah menjalani pengajaran pertamanya. Berat hati Pak Abu meninggalkan Qaisarah seorang diri di sekolah, tetapi itu adalah langkah pertama untuk Qaisarah hidup berdikari. Pak Abu terpaksa merelakan anak kesayangannya itu.
“Pak Abu jangan risau, Lokman dengan Indra akan jaga Qaisarah. Kalau dia kena buli, kami sendiri yang akan bela dia” kata-kata Lokman membuatkan pak aku tersenyum. Dia berasa lega kerana keluarga majikannya melayan dia dan keluarganya dengan baik. Dia tidak sangka akan dilayan sebaik itu.

“Terima kasih Man, nanti kalau ada apa-apa bagitahu Pak Abu. Man dengan Indra tolong tengokkan Qaisarah ya. Pak Abu nak kena hantar papa kamu pergi kerja”

“Pak aku jangan bimbang, semuanya ditanggung beres”

Pak Abu meninggalkan Qaisarah dengan hati yang bimbang walaupun ada Lokman dan Indra yang menjaganya. Itulah kali pertama dia melepaskan Qaisarah seorang diri, selalunya jika tidak bersamanya, Mak Jah akan menemani Qaisarah setiap masa.

* * *

Petang itu, setelah pulang dari sekolah Qaisarah menceritakan detik-detik pertamanya di sekolah, Mak Jah dan Pak Abu asyik mendengar celoteh dan cerita anak kesayangan mereka. Berbuih-buih mulut Qaisarah menceritakan kenangan pertamanya. Itulah kali pertama Pak Abu dan Mak Jah melihat Qaisarah seronok bercerita kerana dia sudah ada pengalaman pertamanya. Pak Abu dan Mak Jah hanya tersenyum memandang ke arah Qaisarah.

Riuh rumah Pak Abu sehingga didengar oleh anak-anak majikannya. Wanda, Lokman dan Indra datang ke rumah Pak Abu dan mendengar sendiri celoteh Qaisarah. Mereka semua saling tertawa dan bergelak sesama sendiri. Qaisarah menceritakan perkara pertamanya yang dia belajar di sekolah, saat dia menceritakan dirinya berdiri di hadapan kelas dan saat mereka berkenalan antara satu sama lain. semua itu membuatkan sekalian yang ada turut gembira.

Dalam sedang berbual, Indra tertarik dengan satu perhiasan yang ada dalam rumah Pak Abu. Dia tertarik dengan ikan emas yang terletak pada balang bulat dan airnya jernih. Indra suka bermain dengan ikan, kolam dirumahnya akan diisi dengan ikan dan diberi makanan. Walaupun baru berusia 9 tahun, tetapi hobinya telah diterapkan oleh papanya sejak dia berusia 6 tahun berbanding dengan Lokman yang suka membaca buku dan menonton television.

“Lawanya ikan itu” benak Indra. Langkahnya menuju ke arah balang ikan yang terletak di satu sudut pada ruang tamu.

Indra mendekat dan ternyata tangannya bisa mencapai isi balang tersebut. Indra cuba mengambil ikan emas itu dengan menggunakan tangan. Setelah beberapa kali mencuba akhirnya dia berjaya mengambil ikan emas itu. Sebaik sahaja ikan itu berada tepat pada tapak tangannya, terdengar satu jeritan.

“Sarah!!!” jerit kecil Pak Abu sebaik sahaja melihat keadaan Qaisarah yang seding asyik berbual tiba-tiba jatuh rebah ke lantai.

Dengan pantas, Pak Abu terus melihat ikan emas yang berisi balang. Dia melihat terus ikan itu sudah tidak ada pada tempatnya tetapi ada pada tangan Indra. Lalu Pak Abu mendekat ke arah Indra dan mengambil ikan itu dan terus memasukkan ikan itu semula ke dalam balang yang berisi air. Dengan serta merta Qaisarah bangkit dari rebahnya. Pak Abu ingin sahaja memarahi Indra tetapi dia sedar Indra mungkin tidak sengaja.

Keadaan panik beransur pulih seperti sedia kala setelah Pak Abu tangkas mengambil ikan dan meletakkannya semula ke dalam balang. Mak Jah terperajat dan hampir sahaja pengsan, Indra pula tidak mengerti apa-apa. Begitu juga dengan Lokman dan Wanda. Mereka bertiga keliru dengan apa yang berlaku.

Pak Abu hanya mendiamkan diri dan meminta anak-anak majikannya pulang ke rumah. Dia tidak mungkin menceritakan keadaan yang sebenarnya kerana budak sekecil itu tidak mungkin akan mempercayai kata-katanya. Pak Abu dan Mak Jah merahsiakan perkara itu sekali lagi setelah hampir mereka membela Qaisarah selama 6 tahun.

Qaisarah sedar dari matinya yang sebentar dan mula merasa pening pada kepalanya. Lalu Mak Jah mendekat dan duduk bersebelahan dengan Qaisarah. Dia memicit-micit umbun-umbun kepala Qaisarah.

“Abinya, apa sebenarnya yang berlaku pada anak kita ni? Saya masih lagi tak faham, kenapa anak kita bernyawakan ikan? Kenapa Abi?” Tanya Mak Jah dengan suara kehairanan. Selama 6 tahun dia menjaga Qaisarah bagai menatang minyak yang penuh, tetapi dengan sekelip mata, Qaisarah rebah menjadi sekujur mayat kaku. Dia tidak sanggup lagi menerima situasi seperti itu lagi.

“Entahlah Uminya, saya pun masih lagi binggung. Sudah bertahun kita berdoa kepada Allah s.w.t supaya diberikan zuriat. Setelah itu datang pula Qaisarah ke rumah kita tanpa diundang. Kita bela dia bagai anak sendiri. Mungkin ini dugaan daripada Tuhan untuk kita, kita sabar ya Umi.

Pak Abu mendekat ke arah isterinya dan mengusap-usap bahu Mak Jah. Qaisarah semakin pening apabila mendengar perbicaraan di antara Umi dan Abinya. Dia tidak mengerti sepatah perkataan pun yang diujarkan oleh orang tuanya itu.

* * *

Sudah sebulan Qaisarah melangkah ke alam persekolahan, telah banyak ilmu pengetahuan yang dia pelajari. Malah, cikgu Balqis sendiri mengakui bahawa Qaisarah seorang pelajar yang cepat belajar dan memahami sesuatu perkara yang diajarkan. Di sekolah dia belajar tetang kehidupan, di rumahnya pula dia diajar dengan ilmu agama. Setiap petang setelah selesai solat asar, Mak Jah sendiri yang akan mengajarkan Qaisarah mengaji al-Quran. Malah, Mak Jah juga turut mengajar Lokman dan Indra mengaji al-Quran.

Kehidupan yang serba ringkas dan penuh dengan ilmu agama membuatkan Qaisarah membesar dengan didikan yang sempurna. Genap usia Qaisarah mencecah 7 tahun, dia diminta memakai tudung dan mengenakan pakaian yang menutup aurat. Bagi Mak Jah dan Pak Abu, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Dari kecil Qaisarah dididik dengan didikan agama dan adat sopan yang sempurna supaya ianya diamalkan sehingga ke akhir hayat.

Qaisarah mula membesar dari seorang kanak-kanak perempuan yang comel dan cantik, bertukar menjadi seorang gadis remaja yang ayu dan cantik, di tambah pula dengan kesoapannya berbicara. Siapa yang memandang pasti akan tertawan. Kecantikan yang dimiliki oleh Qaisarah sangat luar biasa dan sukar untuk mencari kecantikan gadis lain yang ada disekitarnya.

Kecantikan luarannya setanding dengan kecantikan dalamannya. Berpakaian tudung dan menutup aurat membuatkan ramai lelaki asyik memadang Qaisarah tanpa henti dan ada ketikanya yang ingin menjadikan Qaisarah sebagai kekasih mereka, tetapi Qaisarah menolak kerana dia dilarang sama sekali oleh Pak Abu dan Mak Jah. Itulah perjalanan hidup Qaisarah sehingga dia berusia 16 tahun.

Qaisarah masih lagi bersekolah dalam tingkatan 4 dan bersekolah menengah harian biasa. Setelah mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan PMR tahun sebelumnya, dan sekaligus menjadi pelajar cemerlang peringkat negeri Selangor, Qaisarah ditawarkan belajar ke Sekolah Menangah Sains Mara, tetapi dimenolak. Dia menolak kerana tidak sanggup berpisah dengan orang tuanya. Setelah cekal membuatkan keputusan, akhirnya Pak Abu dan Mak Jah terima keputusan yang dibuat oleh Qaisarah.

Lokman sambung belajar di Australian National University dalam bidang perubatan, manakala Indra pula sambung belajar di Stanford University, Amerika Syarikat dalam bidang undang-undang. Kejayaan dua rakan baiknya dan juga dianggap sebagai abang membuatkan Qaisarah teringing sambung belajar ke luar negara. Tetapi apabila mengingatkan keadaan Umi dan Abinya yang mula sakit-sakit membuatkan Qaisarah memendamkan niatnya.

“Tahun depan Qaisarah SPM kan? Buat betul-betul ya, jangan kecewakan kami” Qairsarah tersentak sebaik sahaja lamunannya melihat bulan terhenti. Dia mula memalingkan badannya ke arah Uminya yang sedang melipat baju di ruang tamu.

“Ya Umi, insyaAllah. Umi dan Abi doakan Qaisarah ya”

“Kami sentiasa doakan Qaisarah, yang penting Qaisarah buat yang terbaik. Lepas habis belajar ni, Qaisarah nak sambung belajar di mana?” kata-kata Pak Abu ini membuatkan Qaisarah serba salah. Apa yang dilamunkan sebentar tadi telah pun menjadi persoalan yang diajukan ke arahnya dan sukar untuknya menjawab.

Qaisarah tidak terus menjawab persoalan itu, dia hanya mendiamkan diri dan memandang wajah kedua orang tuanya.

“Kenapa Qaisarah? Abi salah tanya ke?”

“Tak, Abi tak salah tanya. Sebenarnya Qaisarah tak mohon mana-mana Universiti. Sarah tak nak tinggalkan Umi dan Abi sendirian di sini. Qaisarah takut Umi, Abi” Jelas Qaisarah

“Apa yang Qaisarah takutkan? Cuba cakap dengan Abi?” Pak Abu mendekat dan duduk di sebelah anaknya. Dia melihat seraut wajah anaknya yang kian mendung dek dilindungi awan serba salah.

Qaisarah berdiam, dan setelah itu dia menitiskan air mata. Pak Abu menarik lengan anaknya lalu meletakkan kepala Qaisarah pada dadanya.

“Kenapa dengan anak Abi ni? Cuba jelaskan perkara yang sebenarnya”

“Qaisarah tak nak sambung belajar, Qaisarah nak tinggal dengan Umi dan Abi.”

Mak Jah hairan dengan sikap anaknya itu lalu dia juga turut mendekat ke arah Qaisarah. Kain batik yang dipakainya dibetulkan kedudukan agar tidak terlondeh. Pak Abu hampir-hampir sahaja ingin menitiskan air mata sebaik sahaja melihat air mata anak kesayangannya itu merembes.

“Qaisarah, kami tak akan pernah sesekali meninggalkan Qaisarah. Kami nak Qaisarah berjaya dan masuk universiti. Jangan jadi bodoh seperti kami ni. Umi dan Abi nak Qaisarah berjaya. Itu harapan kami. Tolong jangan hampakan kami!” Ujar Mak Jah dengan nada yang terang dan tenang. Dia menongkah dagu Qaisarah. Terlihat jernih air mata yang mula menakung penuh pada kelopak matanya. Lalu air mata itu jatuh berjurai membasahi pipi.

Belum sempat air mata itu mengering, Pak Abu mengesat air mata Qaisarah. Dia membelai-belai anak kesayangannya itu.

“Qaisarah, janganlah menangis ya. Jangan fikir bukan-bukan. Kami baik-baik aja. Abi dan Umi nak Qaisarah mohon borang kemasukkan universiti itu dan buat terbaik dalam peperiksaan SPM. Janji pada Abi dan Umi!” Jelas Pak Abu dengan tenang. Dia mengenggam kedua-dua lenggan anaknya itu dan meyakinkan Qaisarah dengan nada yang jelas. Hati Qaisarah mula diterangi dengan cahaya ketenangan dan dia mula rasa dirinya semakin dihargai.

Qaisarah sukar untuk melepaskan dan meninggalkan kedua orang tuanya yang semakin tua hidup sendirian tanpa kehadirannya. Dia merasakan, kemasukkannya ke dalam universiti akan menambahkan kesepian dan kesedihan yang menebal. Ibarat seraut benang yang ditarik dalam lapisan tepung, akan terbelah dan terpotong tepung itu jika diurai satu persatu. Qaisarah tidak mahu dia, Umi dan Abinya ibarat tepung dan kemasukkannya ke universiti itu adalah seurat benang.

“Baiklah Abi, Qaisarah berjanji. Qaisarah akan buat yang terbaik dalam peperiksaan SPM. Umi dan Abi doakan Qaisarah ya.”

“Itu sudah pasti Qaisarah”

Si anak dan kedua orang tuanya saling berpelukkan. Qaisarah tidak lagi diselubungi rasa serba salah. Dia semakin tenang jika suatu hari nanti dia akan pergi ke kota untuk menimba ilmu meninggalkan kedua orang tuanya.

Hari di luar semakin tenang, dalam ketenangan dan kegelapan malam, hujan turun dengan tiba-tiba. Tanpa kehadiran dentuman guruh dan kilat, deraian air hujan menghempap ke bumi. Satu persatu peluru hujan ditumpaskan dan disasarkan pada kehidupan dan apa yang ada di muka bumi. Suasana menjadi semakin dingin.

Indra yang ingin memulangkan bekas makanan Qaisarah yang dititipkan kepadanya di sekolah terhenti langkahnya masuk ke dalam rumah. Dia terdengar segala ucapan Qaisarah dan kedua orang tuanya. Hatinya turut terharu. Dia yang sedang belajar di Amerika Syarikat dalam bidang undang-undang pulang ke Malaysia kerana musim cuti semester. Lagi pula ayahnya, Dato Ramlee mempunyai urusan dengannya berkaitan soal syarikat.

Indra tergamam, langkahnya terhenti.

“Apakah aku teruskan saja niatku untuk memulangkan bekas ini? tidakkah aku mengganggu suasana yang penuh dengan rasa hiba ini?” Indra bermonolog sendirian. Dia rasa serba salah. Dia ingin sekali melangkah ke dalam rumah Qaisarah, tetapi dia tidak sanggup. Hujan lebat dan angin sejuk bertiup membuatkan badan dan bajunya membasah.

“Aaa...aku pulang aja la. Esok baru aku pulangkan” Indra berpaling pulang masuk ke rumahnya. Dalam pada itu, dia menahan kedinginan. Bekas makanan masih lagi digenggam erat di tangannya. Dia khuatir jika jatuh ke tanah dan dihanyutkan oleh air longkang yang deras.

Selangkah menapak ke belakang, Indra tersepak bekas pasu bunga yang kosong lalu pasu itu jatuh dan pecah. Bunyi pecahan pasu itu membuatkan Qaisarah, Pak Abu dan Mak Jah terperanjat.

“Siapa tu?” Sapa Pak Abu dari dalam rumah.

Indra menahan butir bicaranya. Tetapi dia khuatir jika dirinya disangkakan pencuri atau sebagainya. Lalu beberapa saat kemudian, Indra bersuara.

“Saya Pak Abu, Indra!”

“La, kenapa berdiri di luar, kat luar kan hujan. Kan dah basah ni. Masuklah”

Indra menapak masuk ke dalam rumah dalam keadaan basah kuyup. Walaupun dia mengelak titisan air hujan daripada mengena dirinya, tetapi tetap saja terkena tempiasnya dan basah lencun.

Qaisarah melirik manis ke arah Indra. Dia mengesat air mata agar tidak terlihat oleh Indra. Dalam diam sebenarnya di luar pengetahuan semua orang, Qaisarah dan Indra telah bermadu kasih sejak kecil lagi. Mereka berdua saling cinta mencintai. Tetapi Qaisarah sedar dirinya hanya seorang anak pembantu dan pemandu tidak layak jika dibandingkan dengan Indra.

“Uminya, ambilkan tuala untuk Indra. Nanti dia demam pulak.” Ujar Pak Abu.

“Eh, tak apa Pak Abu. Saya datang pun nak bagi bekas makanan Qaisarah aja ni. Lagipun saya nak terus pulang. Saya nak keluar dengan papa. Pak Abu tak ikut sama ke?”

“La, mestilah Pak Abu ikut. Dah Pak Abu yang memandu kereta. Apa lah kamu ni, yang aneh-aneh aja. Pak Abu pun tak faham, kenapa kalau bertemu dengan Pak Abu atau Mak Jah kamu ni, kamu selalu pelupa dan tersasul.” usik Pak Abu.

Indra dan Qaisarah ketawa kecil.

“Qaisarah ambil bekas tu, dan payungkan Indra balik ke rumah” Ujar Mak Jah.

“Baiklah Umi”

Qaisarah mengambil payung dan menunggu di muka pintu. Dia memandang Indra yang datang mendekat ke arahnya. Tersenyum manis mereka saling berpandangan. Indra menghulurkan bekas makanan. Qaisarah menghulurkan bekas makanan itu kepada Mak Jah. Tetapi cuba di halang oleh Indra.

“Jangan!!!” Jerit kecil Indra.

“Kenapa dengan awak ni?”

“Jangan bagi bekas itu kat Umi awak”

“Kenapa pula?” Qaisarah kehairanan.

“Dalam bekas itu ada surat, saya sengaja letak dalamnya untuk awak baca. Nanti awak jangan lupa baca”

“Awak ni, ada-ada aja. Umi, tak apa lah. Nanti sarah simpan bekas ni”

Lalu mereka berdua bergerak dalam hujan. Merentasi peluru air hujan yang deras. Lirik-melirik, saling berbalas senyuman antara satu sama lain membuatkan hati mereka saling berpaut antara satu sama lain. Kasih yang dirahsiakan selama hampir berbelas tahun lamanya akhirnya masih lagi tersimpul dan tersimpan dengan rapi. Itulah detik terindah jika berdua dengan orang tersayang. Semua perkara menjadi indah dan semua duka kian terubat. Kerinduan hidup jauh di negara orang membuatkan Indra tidak melepaskan peluang untuk menatap Qaisarah dengan satu rauh wajah yang penuh dengan kasih sayang. Baginya Qaisarahnya racun dan Qaisarahlah penawar yang mampu menyembuhkan segala duka, lara, dan segala impian yang dibina bersama.

2 comments:

  1. sweetnyer yg part 2.......bella salam

    ReplyDelete
  2. Sukanya aku baca...
    sweet sangat2...
    thaniah..

    Aqila Leo

    ReplyDelete