Wednesday, November 11, 2009

Persis Bidasari 5


Petang itu, tiada orang di rumah melainkan Qaisarah dengan lena yang panjang. Mak Jah dan Pak Abu keluar disebabkan urusan yang penting dan tidak dapat dielakkan. Mustahil baginya untuk mengusung Qaisarah. Tahir sedang sibuk membetulkan perkakasan komputer yang dihantar oleh pelangganya. Pejabatnya dipenuhi dengan peralatan yang perlu diperbaiki. Dalam masa sehari, dia mampu membaiki 3 buah komputer. Malah bukan itu sahaja, dia juga mampu membaiki peralatan elektrik. Dari peralatan dapur hingga ke penghawa dingin.


Panas mentari membuatkan Tahir sedikit dahaga. Namun dia gagah juga untuk menyiapkan kerjanya sebelum meneguk segelas air. Selagi ada kerja yang perlu diselesaikan, selagi itulah dia menahan lapar dan dahaga. Baginya, kepuasan pelanggan adalah yang utama. Dalam sibuk membaiki komputer, terdengar satu suara orang memberi salam dari luar rumah Pak Abu.


”Waalaikumusalam...” Jawab Tahir sambil memberhentikan pekerjaannya lalu bangkit. Dia menjengguk keadaan di luar yang memberi salam.


”Ya cik, cari siapa?” Tanya Tahir sebaik sahaja melihat kelibat seorang gadis lingkungan usia 20-an.


”Mak Jah ada tak? Saya nak tempah kuih daripadanya untuk majlis anak-anak taska di sini” Jawab gadis yang bernama Balqis.


”Ooo...sekejap saya panggil Mak Jah.” Kata Tahir kepada Balqis


Tahir keluar daripada pejabatnya lalu berjalan ke halaman rumah yang bersebelahan dengan pejabatnya.


”Mak Jah! Mak Jah!” Jerit Tahir yang tidak di sahut.


”Mana pergi Mak Jah ni?” Benak Tahir. Lalu dia membuka kasut dan masuk ke dalam rumah.


Seluruh isi rumah disinggahnya mencari kelibat Mak Jah, namun panggilannya tidak disambut. Lalu, Tahir memeriksa bilik-bilik yang ada termasuk bilik tidur Mak Jah. Sebaik sahaja, pintu kamar yang tidak terkunci dibuka, Tahir terperanjat. Alangkah terkejutnya dia apabila melihat sekujur tubuh gadis yang cantik terbaring di atas katil. Hati Tahir mula bersoal siapakah gerangan gadis yang berada di hadapannya. Itulah kali pertama Tahir terpesona dengan gadis yang sangat ayu. Namun gadis itu hanya mampu melenakan jasadnya meskipun ada pasang surut kelihatan nafasnya.


”Assalamualaikum, cik...” Ujar Tahir sebaik sahaja selesai memeriksa keadaan gadis itu. Salamnnya tidak dijawab. Timbul lagi persoalan dalam benak Tahir.


”Siapakah perempuan ni? Kenapa dia boleh berada di kamar Mak Jah dan Pak Abu?”


Lama juga Tahir memikirkannya sambil matanya mula merayap disekeliling kamar melihat kalau-kalau kelibat Mak Jah juga ada di sana. Namun, kelibat Mak Jah juga tidak kelihatan. Tahir tidak berani menyentuh gadis itu, lalu dia menyelimutkan gadis itu dengan cadar yang tebal. Kelihatan kedinginan gadis itu, almaklumlah penghawa dingin tidak penah dimatikan.


Tahir mula sedar dengan gadis yang menunggunya di muka pintu luar. Lalu di keluar dari kamar Mak Jah dengan pelbagai persoalan. Hatinya mula berdegup kencang dan mula berdesir. Adakah satu kalimat yang tidak pasti, sama ada ianya itu ada cinta atau sebaliknya. Tahir akui inilah kali pertama dia merasakan peristiwa sebegitu. Dia tidak sangka akan berjumpa dengan gadis yang bisa membuatkan hatinya berdegup kecang.


Tahir keluar rumah dan mula mendapatkan cik yang menunggunya.


”Maaf cik, Mak Jah tiada di rumah. Saya pun kurang pasti dia pergi ke mana”


”Tak apa lah. Terima kasih. Kalau boleh saya tahu, awak ini siapa dengan Mak Jah?”


”Saya anak angkatnya, nama saya Tahir. Kalau cik ada apa-apa nak saya sampaikan kepada Mak Jah, boleh saya sampaikan” Kata-kata itu membuatkan Balqis tersenyum.


”Saya Balqis, saya tinggal di blok hadapan. Saya tak pernah melihat awak”


”Saya baru sahaja berpindah ke sini. Ada apa-apa pesan?”


”Oh ya, hampir terlupa saya. Tolong beritahu kepada Mak Jah, saya ingin memesan kuih daripadanya. Kuantitinya 300 karipap dan 300 kuih kochi, saya mahu hari sabtu pagi. Nanti saya akan datang lagi dan berikan wangnya” Jelas Balqis seorang guru tadika di kawasan berkenaan.


”Baiklah, cik Balqis. Nanti saya akan sampaikan”


”Janganlah nak bercik-cik dengan saya. Panggil saya Balqis. Saya minta diri dulu. Assalamualaikum”


”Waalaikumusalam”


Tahir hanya memerhati kelibat Balqis dari jauh sehingga kelibatnya tidak lagi kelihatan. Tahir baru teringat dengan gadis yang dijumpainya di dalam kamar Mak Jah. Lalu Tahir kembali semula masuk ke dalam rumah dan menuju semula ke dalam kamar Mak Jah. Dia khuatir jika dia tersalah pandang.


Setelah berada tepat di hadapan kamar Mak Jah, Tahir mula menahan tanggannya daripada memulas tombol pintu. Hatinya mula berdebar kembali tidak seperti biasanya. Tahir sedar dirinya mula dirundum satu perasaan yang aneh dan luar biasa. Dengan perlahan-lahan Tahir membuka pintu.


”Astaghfirullahalazzim, rupanya benar apa yang aku lihat tadi. Ada gadis di dalam kamar Mak Jah. Ternyata aku tidak bermimpi” Tahir berkali-kali berselawat.


Dia terus bergegas ke luar rumah dan kembali semula ke pejabatnya. Dia khuatir jika ada suara-suara sumbang yang berbaur fitnah. Hanya Tahir dan Qaisarah ketika itu di rumah. Mak Jah tidak tahu pergi ke mana, Pak Abu pula belum pulang dari kerjanya. Tahir terus kembali ke pejabat dan memulakan kerjanya seperti biasa. Namun fikriannya mula dibayangi dengan wajah Qaisarah. Sejak saat itu, Tahir tidak dapat lupakan wajah Qaisarah. Kerjanya terganggu.


* * *


Malam itu tenang seperti biasa. Setelah selesai solat isyak, Pak Abu duduk di sofa sambil menonton berita yang hampir tamat. Mak Jah pula sibuk membuat sesuatu yang tidak pasti di dapur. Sama ada memasak atau mengemas. Mungkin Mak Jah sedang membuat persiapan membuat kuih yang ditempah oleh Balqis. Tahir keluar dari kamar solat setelah selesai solat Isyak dan mengaji al-Quran. Dia mula terfikirkan gadis yang dilihatnya di dalam kamar Mak Jah.


Tahir mula mendekati Pak Abu yang sedang asyik menonton television. Dia duduk bersama-sama dengan Pak Abu dan menonton berita bersama. Setelah 15 minit menonton bersama, berita yang disiarkan tamat.


“Hai, apa nak jadi manusia sekarang ni. Mudah saja membunuh orang, mereka tidak fikir apakah akibat yang bakal mereka terima kelak?” Rungus Pak Abu.


“Manusia sekarang sudah lupa diri Pak Abu. Setinggi mana akal mereka, seberani mana mereka melawan fitrah manusia. Itulah manusia alam millenium yang dibangga-banggakan. Fikiran kita telah dicemarkan oleh budaya yang tiada batasan.” Ujar Tahir.


”Bijak kamu berkata-kata. Mesti kamu ni berpendidikan tinggi. Kamu belum pernah menceritakan asal usul kamu, Tahir. Kalau kamu tak keberatan, ceritakanlah pada Pak Abu”


”Nak kata saya ni tinggi pendidikannya, tidaklah sangat. Saya biasa-biasa aja Pak Abu. Macam manusia biasa yang hanya bernafas dan menumpang di bumi tuhan. Ada kalanya saya ni menangis dan gembira, merasai kehilangan orang tersayang dan bahagia dengan kejayaan.”


”Tapi siapakah orang tua kamu dan dimanakah mereka?”


”Buat masa sekarang, yang boleh saya ceritakan mereka semua ada di Kuala Lumpur. Bila kena dengan masanya, akan saya ceritakan segala-galanya.”


”Amboi, seronoknya berbual. Abinya, Tahir, mari kita makan. Mak Jah dah siapkan semuanya” Sampuk Mak Jah yang tiba-tiba mencelah.


Tahir dan Pak Abu bangkit dari sofa dan membuntuti Mak Jah ke dapur. Sebaik sahaja melintas di hadapan kamar Mak Jah, mata Tahir mula menyelinap masuk ke dalam kamar, tapi di hadang oleh tirai kain walaupun pintu kamar tidak dikunci. Tahir masih lagi tidak berani untuk bertanyakan tentang gadis yang ada dalam kamar itu.


Sebaik sahaja tiba di dapur dan masing-masing mengambil tempatnya, mereka mula membaca doa makan sebelum makan bersama-sama. Tahir yang mengimamkan doa tersebut. Enak makanan pada hari itu, Mak Jah masak lain daripada hari biasa. Seolah-olah dia sedang meraikan sesuatu. Turutkan hati, ingin sahaja Tahir bertanyakan kepada Mak Jah. Tetapi mereka sedang makan, tidak elok sekiranya makan sambil berbual.


Kari kepala ikan, sambal belacan, sayur ubi masak lemak dan ulam-ulaman yang jarang dijumpai di rumah Tahir. Sebelum ini, Tahir hanya tahu makan makarroni, pasta, pizza dan seumpamnya. Almaklumlah dia tida terbiasa dengan masakan Melayu lama. Tetapi semenjak bermastautin di rumah Mak Jah dan Pak Abu, dia mula mengenal makanan Melayu.


”Tadi Balqis datang seorang ke Tahir?” Tanya Mak Jah.


Tahir ragu-ragu untuk menjawab kerana dia sedang makan. Nanti apa pula kata Pak Abu, makan sambil berbual adalah amalan tidak baik. Tetapi tidakkah persoalan Mak Jah itu akan digantungkan. Mahu tidak mahu, dengan berat hati Tahir menjawab.


”Dia datang seorang Mak Jah. Siapa dia tu Mak Jah? Tak pernah Tahir melihatnya?”


”Dia tu guru tadika kat taska kawasan ni. Semua orang kenal dia, mungkin hari sabtu ni ada majlis, sebab tu dia tempah kuih. Orangnya cantik, baru 21 tahun.” Jelas Mak Jah.


”Oooo...Mak Jah tadi pergi ke mana masa Balqis datang? Puas Tahir mencari seluruh rumah.”


“Mak Jah tadi keluar berbual dengan jiran sebelah lalu pintu belakang. Maaflah, Mak Jah tak dengar masa kamu panggil tadi.”


“Tak apa Mak Jah.”


“Tadi kamu cakap, kamu cari Mak Jah seluruh isi rumah. Adakah kamu masuk bilik Mak Jah?” Tanya Mak Jah.

Pertanyaan itu membuatkan Tahir sedikit tersentap. Dia tidak sangka persoalan yang ingin ditanyakan, sedang bermain di bibir Mak Jah. Tahir hanya mampu diam seketika sebelum membalas pertanyaan Mak Jah. Dia khuatir jika Pak Abu dan Mak Jah memarahinya jika dia bercakap perkara yang sebenarnya. Tahir melirik bebola mata Mak Jah yang memandang tepat ke arahnya.


”Apakah aku harus berkata jujur atau sebaliknya?” Benak Tahir.


”Kenapa kamu diam?” Ujar Pak Abu.


“Sebenarnya...sebenarnya...saya telah menceroboh masuk ke bilik Mak Jah semasa saya mencari Mak Jah tadi petang. Saya betul-betul minta maaf Mak Jah, Pak Abu. Saya tahu saya salah. Saya menyesal sangat-sangat.”


“Jadi kamu sudah tahu apa ada di kamar itu?” Tanya Mak Jah.


Tahir hanya mampu mengangguk-anggukkan kepalanya. Setiap kata tidak terungkap untuk diujarkan. Mata Tahir mula berbinar penyesalan. Hatinya semakin pualam dan kusam dek kerana perasaan kesal yang menghimpitnya. Setelah itu, Pak Abu bangkit dari kerusinya lalu dia memegang bahu Tahir.


”Tahir, kamu tak perlu rasa bersalah. Pak Abu tahu kamu seorang yang jujur, dan sukar sekali untuk menipu. Walaupun kita baru saja kenal, tapi Pak Abu dah kenal sangat dengan perangai kamu. Pak Abu dan Mak Jah juga tahu kamu telah melihat Qaisarah di kamar tadi petang”


”Qaisahar?” Hairan Tahir.


”Ya, Qaisarah. Gadis yang terbaring kaku di atas katil itu” Jawab Pak Abu.


”Tapi macam mana Pak Abu dan Mak Jah tahu, Tahir masuk ke bilik itu.”


”Selain Mak Jah dan Pak Abu, kamulah yang berada di rumah ini. Jika kami membiarkan Qaisarah bersendirian di dalam kamar, akan kami tutup pintu kamar itu dan kemudian kami selitkan helaian kertas pada celahan pintu. Jika kertas itu beterbangan dan jatuh ke lantai, itu bermaksud ada seseorang yang masuk ke dalam kamar tersebut. Tiada siapa tahu keberadaan Qaisarah di rumah ini selain kamu.” Jelas Mak Jah.


”Saya benar-benar minta maaf, Pak Abu, Mak Jah”


”Tahir, kamu tak perlu minta maaf. Kami dah anggap kamu seperti keluarga sendiri. Dan sepatutnya kamu tahu tentang Qaisarah. Kami sepatutnya tidak merahsiakan Qaisarah daripada kamu.”


Hati Tahir semakin tenang semula sebaik sahaja mendengar kata-kata itu dari mulut Pak Abu dan Mak Jah. Dia tidak sangka tidak dimarahi walau dengan pandangan dan kata-kata yang sinis. Hati Tahir mula berbunga persoalan, dia keliru dengan keberadaan Qaisarah. Siapakah sebenarnya Qaisarah itu? Dan mengapakah dia hanya mampu berbaring sahaja? Itulah yang membuatkan Tahir semakin tertanya-tanya.


Lalu, Tahir memberanikan diri untuk bertanyakan hal yang sebenarnya. Dia sedar mungkin sukar untuk Pak Abu dan Mak Jah menceritakannya tapi sekurang-kurangnya dia terlepas daripada siksaan yang penuh dengan tanda tanya.


”Pak Abu, Mak Jah, kau tidak menjadi masalah dan keberatan ingin saya bertanyakan satu soalan?” Tanya Tahir yang semakin memberanikan diri. Matanya memandang tajam ke arah orang tua yang sudah dianggap ibu bapanya sendiri.


Tanpa berfikir panjang, Pak Abu terus mambalas pertanyaan itu. ”Apa dia Tahir? Tanyalah.”


”Tadi Pak Abu dan Mak Jah ada cerita pasal Qaisarah. Siapa Qaisarah yang sebenarnya?”


Pak Abu dan Mak Jah tidak terus menjawab, malah mereka saling berpandangan antara satu sama lain dan kemudian tersenyum. Setelah itu, baru Pak Abu menjawab.


”Tadi Pak Abu ada cakap, Pak Abu tak akan rahsiakan lagi berkaitan Qaisarah. Pak Abu akan ceritakan semuanya berkaitan Qaisarah. Qaisarah adalah puteri kami yang kami tatang bagai minyak yang penuh. Qaisarah itu anak yang kami bela sejak kecil lagi. Dia itu bukanlah manusia biasa seperti kita ini.”


”Bukan manusia biasa?” Tanya Tahir.


Kemudian, Mak Jah menyambung ceritanya dengan panjang lebar. Dia menceritakan keadaan Qaisarah yang dijumpainya di hadapan rumah bersama-sama dengan ikan emas. Mak Jah juga menceritakan tentang ikan emas yang senyawa dengan Qaisarah. Pada mulanya Tahir seakan-akan tidak percaya dengan kata-kata Mak Jah, namun setelah ditunjukkan ikan emas yang diisi di dalam balang, baru Tahir percaya.


Tahir mula keliru dengan keadaan Qaisarah. Dia mula berfikir lagi. Jika benar Qaisarah bernyawakan ikan, kenapa dia hanya terbaring kaku sedangkan ikan di dalam balang itu masih lagi berenang bebas. Tahir mula bertanyakan persoalan itu kepada Mak Jah dan Pak Abu, namun tiada jawapan yang pasti diperolehinya. Pak Abu dan Mak Jah sendiri keliru dengan keadaan Qaisarah. Dia tiba-tiba jatuh rebah dan tidak sedarkan diri.


”Entahlah Tahir, mungkin sudah ajalnya. Kita kena redha dengan pemergiaan Qaisarah” Ujar Pak Abu.


”Kenapa Abi cakap macam itu? Qaisarah tidak meninggal, dia hanya tidur” Kata Mak Jah dengan hiba. Air matanya mula berlinangan tanpa henti kemudian Mak Jah berlari ke kamar dan mendapatkan Qaisarah tanpa menjamah sesuap nasi yang dihidangkannya.


Keadaan menjadi semakin tegang. Pak Abu hanya membiarkan Mak Jah meratap di sisi Qaisarah. Tahir sedikit hiba dan kemudian bertanyakan kepada Pak Abu.


”Tidak ada cara lain ke untuk menyembuhkan Qaisarah?”


”Ada” jawab Pak Abu ringkas.


”Ada? Maksud Pak Abu, Qaisarah boleh disembuhkan?”


Pak Abu hanya mengangguk-anggukkan kepalanya. Tahir kemudiannya membetulkan kedudukannya lalu berhadapanlah dia pada tubuh Pak Abu. Dia semakin ingin mendengar setiap butir bicara yang keluar dari mulut Pak Abu. Ingin sekali Tahir menyembuhkan Qaisarah walau sesukar mana. Dia tidak sanggup orang sebaik Pak Abu dan Mak Jah, menanggung derita seperit itu.


”Macam mana caranya untuk sembuhkan Qaisarah, Pak Abu?” Tanya Tahir.


”Pak Abu pernah membawa Qaisarah kepada seorang kiayi, dia cakap Qaisarah hanya akan disembuhkan oleh seorang yang dicintainya. Qaisarah jadi begitu disebabkan oleh cinta. Dahulu dia bercinta dengan anak majikan Pak Abu. Tapi entah semena-mena dia rebah. Mungkin dia tidak boleh bercinta dengan mana-mana lelaki melainkan dizinkanNya.”


”DiizinkanNya? Maksud Pak Abu?”


”Pak Abu pun tak pasti sangat. Sukar untuk Pak Abu jelaskannya kerana semua ini tak masuk akal. Sebab tu Pak Abu dan Mak Jah merahsiakan semuanya daripada pengetahuan kamu dan lain-lain. Pak Abu dan Mak Jah kamu masih lagi binggung. Memang benar kami telah membelanya sejak dari kecil, tapi kami masih lagi keliru. Kehadiran Qaisarah ini adalah satu rahmat dan bukannya satu musibah. Dan Pak Abu yakin, semua ini pasti ada hikamhnya.” Jelas panjang lebar Pak Abu.


”Baguslah kalau Pak Abu fikir macam tu. Saya akan tolong sedaya saya Pak Abu. insyaAllah semuanya dengan izin Allah.”


Hidangan di atas meja hampir kesejukkan dek kerana terlalu lama berbual. Pak Abu bangkit dan melihat keadaan Mak Jah di dalam kamar. Dia melihat Mak Jah tertidur di sisi Qaisarah. Ingin dikejutkan, kasihan dia melihat keadaan isterinya yang menderita setelah Qaisarah koma. Tidak tahu berapa kali, isterinya itu menangis di belakangnya, di hadapannya pula dia sedar senyuman isterinya itu adalah sebagai pengubat di kala dirinya dirundum kesepian kasih seorang anak.


Pak Abu kembali semula ke meja makan, sambil diperhatikan oleh Tahir.


”Tahir marilah kita makan dahulu. Mak Jah kamu sudah terlena. Nanti Pak Abu akan kejutkan dia”


Mereka berdua memakan makanan yang dianggap istimewa pada mulanya dengan hidangan yang berlainan daripada hari biasa. Kedingginan nasi dan lauk dirasainya. Malam itu baru Tahir tahu segala rahasia yang berkaitan dengan gadis yang bernama Qaisarah.


* * *


Sebelum mata ingin dilenakan, Tahir sekali lagi teringat wajah Qaisarah yang dilihatnya petang tadi. Tangannya masih lagi terasa hangat dek kerana kehangatan yang dirasa. Dia hanya mampu tersenyum. Tahir mula rasa berlaianan sikapnya berbanding dengan gadis yang ingin mendampinginya.


Tahir sedar, dia mudah untuk mendapatkan wanita yang cantik, sopan, baik dan sempurna. Dengan kekacakan yang dimilikinya, dengan status keturunannya, berbadan tegap, tinggi dan segala sifat fizikal dan rohani yang diidamkan oleh semua wanita dia mampu memiliki siapa sahaja. Tetapi itu bukan Tahir, dia hanya mencari orang yang dicintainya meskipun orang itu adalah bukan manusia biasa seperti bidadari yang bertandang ke bumi. Memang mudah untuknya mencari pasangan, tetapi semua gadis yang dikenalinya setakat ini hanyalah mahu kekayaan dan status yang dimiliki oleh keturunannya.


Setiap malam, Tahir memikirkan keadaan orang tuanya. Sudah hampir 3 minggu dia meninggalkan rumah. Ada sekali sekala dia memberi khabar kepada ibunya, dan kedua abangnya. Dia masih lagi tidak dapat melupakan tindakan ayahnya yang di luar batasan. Sikap ayahnyalah yang membuatkan Tahir nekad untuk keluar dari rumah dan berdikari. Dia sedar, perbuatannya itu akan mengundang bencana dan buah mulut orang, tapi dia terpaksa.


Ayahnya yang ingin mengahwinkannya dengan anak rakannya disebabkan oleh hubungan perniagaan tanpa bertanya kepada dirinya sendiri. Tahir juga membangkang perkahwinan kedua orang abangnya yang dirancang oleh ayahnya sendiri disebabakan oleh hubungan perniagaan. Apa yang ada di kepala ayahnya, hanyalah wang dan syarikat. Sehingga sanggup mengadaikan anaknya sendiri. Tahir nekad, dan tidak mahu menjadi mangsa ayahnya lagi. Dia keluar rumah dengan restu ibu dan kedua abangnya. Tahir nekad untuk berdikari.


Sekarang, Tahir mampu untuk berdikari dan mencari pendapatan sendiri tanpa bantuan ayahnya. Sedar tidak sedar, jam di dinding kamar telah menunjukkan 1.00 pagi. Esok masih banyak lagi pekerjaan yang perlu dibereskan. Lalu Tahir menarik selimut dan melenakan matanya. Sebelum terlena, dia tersenyum mengingatkan Qaisarah. Lalu dibuai mimpi bersama membayangkan wajah Qaisarah.

2 comments:

  1. persis bidasari ni baru 5 bab je ke???...
    best r...bellasalam

    ReplyDelete
  2. la, ingatkan dah abis,
    baru bab 5 je ke?
    cepat2 lah abiskan,
    best lah crite ni...

    -minat baca-

    ReplyDelete