Wednesday, November 11, 2009

Sekeping Hati Di dalam Kotak


DENGAR ini baik-baik: di dalam kotak beriben ungu itu, ada sekeping hati. Hati itu milikku. Ambillah sebotol cuka buatan dan beberapa genggam garam kasar. Lumurkan garam pada seluruh bahagiannya, jangan ada yang tertinggal. Kemudian, simbahkan cuka, biarkan cecair itu berlinang dan menggenangi organ yang satu itu. Jerukkan hatiku, kebumikannya bersama nota-nota berikat kemas yang kutinggalkan di dalam laci. Jangan lupa, pusaranya di bawah pohon ceri. Aku suka pohon ceri itu, moga-moga hatiku akan menumbuhkan anak-anak pokok, besarnya nanti merimbun, buahnya jadi makanan burung-burung lapar.

Aku berkalih ke belakang, jalur-jalur putih di tengah jalan semacam bergerak, memanjang lambat-lambat, pergerakannya seperti beluncas yang malas. Bas itu tidak laju, membontoti sekelian banyak kenderaan yang merapati satu sama lain, terkemut-kemut semacam ada perarakan pengebumian, pengiring jenazah menunduk, berjalan lembab, wajah-wajah sugul. Hari tidak sepatutnya sekelam ini. Jam di tangan 5.30, tetapi langit diselubungi kumulonimbus, tebal dan besar, tangan-tangannya menyerkup cahaya, memerahnya kepada titis-titis hujan. Jalan jadi lembap, ekzos kereta tampak melarik, berpugaran sebelum terlepas ke ozon. Sekali sekala, guruh menjerkah dan kilat menengking. Hon kenderaan kedengaran sayup. Di tingkap, air hujan tertempek, satu dua titik, berlarian turun, masing-masing bagaikan berlumba untuk sampai ke bawah, sebelum titis bujur itu pecah, mencium kekisi panel tingkap.

Aku pernah terbaca entah dari mana, lebih kurang begini bunyinya: hati ialah kerajaan tubuh, rosak hati, rosaklah peribadi tuan empunya. Mula-mula aku tergelak, aku selalu percaya organ paling berkuasa ialah otak. Lagipun, otak ialah organ yang paling vital, pusat memori, pusat keseimbangan, pusat penyelarasan sistem, pusat pemprosesan data, pusat segala pusat. Itulah yang selama ini aku hadam dan cerna daripada Doktor Yidzak. Dia tidak pernah sebut apa-apa tentang hati. Atau mungkin dia juga sepertiku, manusia yang hidup tanpa hati. Mungkin hatinya terlebih dahulu dijerukkan sebelum aku. Siapa tahu?

Aku tidak sepatutnya menurut perasaan. Bercinta dengan klien merupakan perlanggaran polisi. Aku ..:namespace prefix = st1 ns = "urn:schemas-microsoft-com:office:smarttags" />cuba menafikan perasaan yang tumbuh itu, aku memangkasnya, meracunnya, mencabutnya, namun akar perasaan ternyata terbenam terlalu dalam mencengkam pedalaman jiwa, aku jadi pekebun cinta yang tewas. Heykal kehadirannya mendadak dan dalam setagal itu, dia telah mengubah segala-galanya. Dia menukar cara fikir, falsafah hidup, perspektif, malah cara makan dan tidurku. Sekejap...sekejap. Perasaan sebenarnya terbit dari mana? Otak atau hati?

Seorang mak cik mendengkur kuat. Dia di kerusi bersetentang selang tiga dari lokus kedudukanku. Posisi tidurnya tidak kena, tengkuknya terpelosok, tubuhnya yang besar menekan salur tenggorok. Jika dibiarkan lama, dia bakal menderita asma seumur hidup. Bas masih bergerak perlahan. Kondisi trafik tiada banyak berubah. Segarit kilat mencakar diiringi letupan guruh. Mak cik tersebut terkejut, badannya tergegar, dia berkalih kalut, memerhati sekitar, tidak mak cik itu cuma guruh, bas ini belum berlanggar apa-apa, dia membetulkan kedudukan, menarik jaket, kembali meladeni kantuk. Dalam situasi sekarang, aku perlukan semug Nescafe panas. Aku menghirupnya sambil hidung kembang kuncup menyedut aroma dan wasap yang terbebas di balkoni apartmen. Aku suka memandang ke bawah. Semua objek nampak kecil. Aku selalu membuat lucu sendiri: ibu jari dan jari telunjuk aku rapatkan, aku bawa ke objek yang kusukai dan pura-pura memicitnya, lalu tergelak macam orang gila. Bukankah menarik kalau BMW dapat dipenyek sebegitu? Ilusi. Itulah ilusi.

Hati tidak mencipta ilusi. Hati lebih jujur. Bisikannya selalu benar. Yang menjadi tipu dan berdolak-dalik adalah apabila hati itu ditawan syaitan laknatullah. Otak yang mencipta ilusi. Yang bersekongkol dengannya ialah mata. Sebab itu, jangan percaya lidah. Otak akan memproses ilusi yang dilihat melalui mata, lidah melaporkan. Sebetulnya, kita ini melihat menggunakan otak. Imej yang terhasil pada retina songsang. Ambil sahaja sebatang pohon ceri. Di mata, daun-daunnya di tanah, perdu pokok di langit. Otak yang membalikkan imej itu, maka pokok bukanlah sejenis raksasa yang terbang di udara semacam momok. Tetapi, hati tidak menipu. Ia melihat dengan matanya sendiri – mata hati.

Heykal seorang guru. Dia mengajar sastera pelajar Tingkatan Tiga. Dia cintakan perkataan, setiap satunya mengandung misteri, malah ritma kata apabila dilafaz terasa begitu mengasyikkan. Sebab itu manusia sejenis makhluk sosial yang diciptakan untuk berkomunikasi. Kita dicipta untuk memanfaatkan kata. Bagi penganut Karbalah, perkataan jika diperhalusi dan ditekuni, mampu mengangkat mereka berjumpa Tuhan semacam moksha dalam ajaran Hindu. Bagi Islam, kita diseru supaya berdakwah. Dakwah antara lainnya melalui kata-kata yang bermanfaat lagi menggerakkan. Kita diasuh supaya menyeru kepada amal makruf nahi mungkar. Heykal begitu fasih berkata-kata. Suatu hari, di pejabat, dia memintaku memejam mata dan cuba melihat kegelapan itu dengan mata hati. Dia bertanya sejurus kemudian: apa yang kamu lihat? Aku menggeleng. Kegelapan di mana-mana berenik-renik semacam gerakan rawak zarah udara dalam ujian Gerakan Brown. Awak melihat dengan otak. Itulah masalahnya. Aku tercengang. Apa yang direpekkannya?

Hujan yang asalnya renyai bertukar garang. Titis-titisnya besar dan perjalannya dari langit semakin laju, malah dalam kuantiti yang semakin banyak. Sains percaya hujan turun disebabkan graviti bumi yang menarik wap air yang bertakung terlalu berat di dalam awan. Aku tutup lubang penghawa dingin. Aku capai beg pakainan, zip dibuka, cardigan pastel itu aku sarungkan. Ia diperbuat daripada bulu bebiri, sewajarnya ia mampu menaikkan suhu badan. Aku terasa nafas sendiri menyentuh kulit tangan. Di depan ada seorang anak kecil, dia mengerabat kerusi, memandangku penuh minat. Matanya hitam pekat. Mulutnya terbuka tertutup, membebel entah dalam bahasa aneh apa yang gagal kufahami. Aku sekadar tersenyum. Ibunya mencempung tubuh montelnya dan kembali ke ribaan ibunya. Barangkali. Hon sebuah kereta sayup terlolos ke gegendang.

Awak percaya dalam kebisuan, dalam keadaan tanpa sepatah kata sekali pun kita sebenarnya sedang berkomunikasi? Heykal mengusulkan. Aku menggeleng. Aku terasa semacam berada dalam satu rancangan kuiz pula. Itulah yang kita namakan nonverbal communication – komunikasi bukan lisan. Bahasa isyarat, contoh paling mudah. Ibu jari mencanak dengan jari-jari lain dirapatkan –apa maknanya? Bagus, bukan? Mengapa kita berhenti apabila lampu isyarat bertukar merah? Lampu isyarat itu tidak pula menjerit memberitahu kita supaya berhenti, tetapi kita secara automatik berhenti di depannya. Lampu isyarat sama seperti petanda-petanda dan sejumlah banyak simbol dalam dunia yang berkomunikasi dengan kita, menghantar mesej dan makna. Sama fungsinya seperti bahasa. Saya tanya sesuatu: kenapa awak memakai blaus biru dengan cardigan pastel hari ini? Khali. Gamam seketika. Sebab saya suka padanan warnanya. Lihat! Itulah yang saya katakan. Padanan warna pakaian awak ini pun berkomunikasi kepada sesiapa sahaja yang melihatnya, awak sukakan keselesaan dan kelembutan, jiwa awak sentimental dan sensitif. Tak begitu?

Doktor Yidzak membelek fail Heykal. Dia percaya Heykal tidak bersungguh. Dia pernah menyimpulkan kedatangan Heykal ke klinik sekadar untuk bersua denganku, melepas rindu. Kehidupan Heykal bolah dikatakan sempurna. Dia muda, berjaya, ekonomi stabil, kedua-dua ibu bapanya sihat, masih dalam usaha meluaskan empayar niaga malah, kisah cintanya juga memberangsangkan. Setakat ini, dia telah memiliki lapan orang teman wanita. Yang terakhir seorang gadis Kadazan bernama Casandra. Dan dia ke klinik itu atas alasan sama seperti pesakit-pesakit lain untuk melupuskan ingatan terhadap kisah-kisah cintanya. Aku pernah bertanya kenapa dia mahu melenyapkan memori tersebut? Bukankah itu kepantangan manusia – melupakan memori-memori terdahulu? Kenangan manis pahit disimpan dalam galeri jiwa kemas-kemas supaya kita dapat kembali melawat dan menjengahnya sekali sekala untuk mengingatkan kita tentang jalan yang kita ambil sudah-sudah, tentang lopak-lopak dan lubang-lubang yang pernah kita jerlusi, tentang kebahagiaan yang pernah singgah, tentang kenaifan dan kebodohan lampau untuk kita belajar membetulkan perspektif, mencerna pentafsiran baru, mentertawakan diri sendiri, mematangkan kedewasaan, itulah arkib pengalaman kita, sejarah peribadi yang membentuk kita seadanya. Jawapan Heykal: saya mahu mencari cinta yang lebih suci. Yang mercupnya dari hati, bukan dari otak.

Ini ialah prosedur pelupusan memori itu: pesakit membuat temu janji dengan Doktor Yidzak, mereka kemudian dirujuk kepada pakar psikologi (aku, salah seorangnya), pakar psikologi memeriksa keadaan mental pesakit sama ada mereka benar-benar waras dan sejauh mana ketergangguan emosi mereka dan apakah mereka layak menjalani rawatan. Seterusnya, mereka kembali diselia Doktor Yidzak. Chi, cakra tenaga tubuh akan dibuka supaya perjalanan darah lancar, oksigen mencukupi sebelum terapi gelombang otak mengambil alih, aktiviti otak akan dipetakan pada monitor melalui electroencephalogram (EEG), frekuensi otak pada bahagian korpus limbik dikaji (inilah arkib emosi manusia, dipercayai memori terhimpun di sini) sama ada ia dari jenis alpha, theta, beta, gamma, sensory motor rhythm mahupun delta. Setiap satunya berlainan pecutan dan kelainan ini menerangkan keaktifannya. Amplitud frekuensi inilah yang akan diplotkan (terima kasih kepada Dr. Jeffrey D. Thompson dan Heinrich Wilhelm Dove, antaranya) lalu dengan menggunakan sejenis mikrocip yang dimasukkan ke dalam arteri, ia merentas semua pembuluh darah hingga sampai ke otak, fungsinya untuk menyerap frekuensi-frekuensi aktif itu, sebelum ia keluar dari rektum sebagai hasil nyahtinja. Apabila mikrocip itu diflush bersama najis di dalam lubang jamban, maka selamat tinggallah memori-memori yang tidak diperlukan. Inilah penjelasan paling mudah daripada prosedur yang amat kompleks itu.

Hujan masih galak. Aliran air di jalan semacam saling berkejaran, mencari lopak dan lubang, terjun ke dalamnya dengan ghairah, membubuinya, lalu tepu, melimpah membuak-buak, berkelarian lagi, berkejaran lagi, di sepanjang tar, dilecek tayar, terpercik membentuk rupa baru, terpisah dari jasad asal, ada yang tersimbah ke rumput, ada yang terpalit pada perut enjin, ada yang tamat riwayatnya sebagai titis kecil di cermin kenderaan. Air sangat rencam sifatnya. Aku menonyoh tapak tangan kanan dengan kiri, membuat gerakan atas bawah untuk menerbitkan haba. Mak cik yang berdengkur tadi telah tersedar, dia sedang membaca sebuah novel. Aku sengetkan kepala, mencari kulit depannya yang terleweh, Hatiku Terlantar di Copenhagen, begitulah judulnya.

Jika diberi pilihan: antara komunikasi lisan dan bukan lisan, pegangannya begini – percayalah yang bukan lisan. Ia lebih telus kerana yang memprojeknya ialah hati dan bukan otak. Seorang wanita menerima hadiah daripada seorang lelaki, katakan itu suaminya, dari mulutnya terucap: wah, cantiknya! Terima kasih, sayang. Lihat segera ekspresi wajah dan cara sebutan yang mengiringi ayat itu: apakah ia selari? Saya boleh saja meninggikan suara kepada anak saya tetapi wajah saya ada senyuman, itu maknanya bukan saya marah, saya sekadar berlawak dengannya. Atau seorang pekerja jabatan awam apabila melayan kita di kaunter, ayatnya kedengaran begitu meyakinkan: urusan ini akan siap segera. Encik jangan bimbang. Tetapi, lihat matanya, seakan tiada cahaya, tiada semangat. Kata-katanya sekadar kata-kata, tidak membawa sebarang pengertian.

Kekadang apabila dikatakan cinta itu buta saya mahu percaya kerana cinta yang buta ditanggapai dari mata. Mata melihat yang muluk-muluk, imej itu dihantar ke otak, diproses, impuls dihantar kepada organ reproduktif, enzim testosteron atau estrogen dirembes, naluri seks dirangsang, kita jatuh suka pada apa yang dilihat, kecintaan dan keghairahan yang palsu. Cinta itu jadi buta. Cubalah tanggapi cinta dari mata hati. Itulah cinta sebenar, cinta yang menyuburkan, cinta yang menggoncang arasy Allah, pemiliknya ahli sufi dan wali-wali, ia terlalu mulus dan indah. Ia celik lagi mencelikkan. Sebab itu, saya mahu memadam memori cinta lama saya. Ia berpalit nafsu yang kotor. Saya terlalu percayakan mata dan otak. Saya sudah insaf. Saya mahu membuka mata hati yang terkatup selama ini. Tolonglah. Heykal merayu.

Kehidupan aku sedikit kucar-kacir dengan kehadiran Heykal. Dia memberikan tafsiran baru kepada ideologi yang aku pakai dan fahami. Dia meniupkan angin perubahan, kalimat-kalimatnya ini sering menghantui: some things must be broken before they can be fixed. Aku sedar aku bukan sempurna, kakiku kerap juga terpelosok, jalanku acapkali kesesatan, terkadang-kadang aku menangis sendiri, air mata membentuk kolam di bantal. Aku tidak pernah disinggahi cinta. Sama ada otak ini yang gagal mentafsir frekuensinya atau hati ini yang matanya belum celik sepenuhnya, menghantarku ke ceruk buntu. Bagaimana untuk aku belajar andai pelajaran itu sendiri belum aku terima? Tiada apa yang dapat dibaiki jika tiada apa yang rosak.

Aku hampir terlelap apabila bas berhenti mengejut. Impaknya menghasilkan resonans, aku terhumban terhenyak ke kerusi depan. Pemandu menjerit, membuka tingkap : Hoi, nak mampuskah melintas depan bas? Seorang India bertocang dua, berpayung jingga masak, remaja, melompat ke bahu jalan. Dia berkalih memandang bas, ketawa, lidah dijuih-juihkan. Dia semacam menganggap tindakannya lucu. Aku menggeleng. Jantungku berdebar. Tiba-tiba. Sekali gus aku teringatkan hatiku dan kotak beriben ungu itu. Apakah Doktor Yidzak telah menemuinya? Oh, Heykal, mengapakah kita berjumpa untuk berpisah begini? Kilat membunga api. Dentuman guruh mengekor.

Sore itu, sore Jumaat. Heykal datang menemuiku, pemeriksaan terakhir sebelum kesnya dirujuk kepada Doktor Yidzak untuk rawatan lanjut. Matanya berkaca, ada kobaran emosi yang ketara. Aku sendiri terasa pergerakan semacam janggal. Aku cuba mengelak dari bertembung dengan mata itu. Bagaimana doktor? Apakah saya layak mengikuti rawatan ini? Suaranya ialah irama Bach yang digubah begitu merdu. Seram sejuk jasadku. Apa yang sedang berlaku? Aku gagal menjejak perkataan, anggukan aku berikan sebagai jawapan; jika diberi pilihan: antara komunikasi lisan dan bukan lisan, pegangannya begini – percayalah yang bukan lisan. Dia tersenyum. Manis. Ada lesung pipit tertimbul di pipi. Aku larikan pandangan. Begini. Hari Isnin ini Encik Heykal datang semula dalam pukul 5.00 petang. Prosedur rawatan akan bermula dengan pembukaan chi...Ayat itu jadi tergantung apabila tangannya menggengam tanganku. Ada semacam cas elektrik yang mengalir. Ada saraf-saraf tertentu di tubuhku yang selama ini kaku kejur, bernafas semahu-mahunya.

Dia merenung ke dalam mataku. Pandangan itu seolah-olah x-ray bersinar gamma, menerap organ-organ dalamanku yang tersembunyi. Pejamkan mata. Apa yang kamu lihat? Aku menghela nafas, kelopak mata kututup erat. Permulaannya aku dikelilingi kegelapan yang infiniti, renik-renik itu. Lama-kelamaan, ada imej baru terbentuk. Imej berwarna putih, berpilin-pilin, semacam menari-nari satu tarian aneh, imej itu berpusar, bergabung, tersusun, membentuk imej lain. Pejaman mata bertambah kuat. Imej itu mulai tampak, ia berbentuk bujur, di kiri kanan ada semacam bentuk baru yang tumbuh, di bahagian atas hujung kanan dan kiri imej itu terpisah meninggalkan lubang, dan ada imej baru yang terus tercipta dan....aku terkesima: imej itu akhirnya sempurna, aku membuka mata – saya ternampak muka awak. Heykal tersenyum. Akhirnya, awak melihat dengan mata hati. Awak tahu dalam mimpi, saya asyik didatangi wajah awak, sejak itu saya tahu, kita ditakdirkan untuk bertemu dan bercinta. Cara terbaik, lupuskan semua cinta lama saya yang sampah-sarap itu, mulakan dengan sesuatu yang baru, yang lebih halus. Cinta ini, saya yakin celik sifatnya. Ia tidak terperi oleh ketinggian bahasa, malah tiada metafora untuk saya lahirkan. Ia terlalu natural, tidak dipaksa-paksa, lahirnya dari hati, tanpa campur tangan noda mata.

Entah mengapa debaran di jantung tidak mahu berhenti. Nafas tidak teratur, semacam tersekat di selekoh rengkungan. Aku membuka mulut luas-luas, menghirup udara luar. Aku jadi sebak. Dan sebak itu menjebak. Aku mengingatkan diri: jangan meladeni sentimen, perasaan tidak akan membawa kita ke mana-mana. Perasaan dan sentimen untuk mereka yang kecewa, mereka yang gemar mencari alasan, kemunduran dan kehancuran kita berpunca daripada retorik yang terbit daripada sentimen. Aku bingkas dari tempat duduk. Aku perlukan udara segar. Bas melalui jalan berlubang. Aku terhuyung-hayang, berjalan di laluan tengah bas. Penumpang-penumpang kelihatan macam terjongket, imej mereka pecah-pecah, warna semacam bertebar seperti rama-rama, bersebar di sana sini tanpa bentuk fizikal. Aku menekan loceng. Bas itu mengambil lajak sebelum berhenti. Susah payah aku mengheret kaki turun dari bas itu. Suara-suara penumpang sayup-sayup tertinggal di belakang. Sesampai kaki menjejak jalan tar, aku semacam berpijak di atas agar-agar, aku terjelepuk terus. Air hujan mencurah, menimpa wajah, ada yang mengalir di bawah tubuh, aku di tengah-tengah alirannya, ia terasa masin. Pandanganku gelap.

6 bulan berlalu. Rawatan Heykal dengan Doktor Yidzak selesai. Aku tidak begitu mengambil tahu perkembangannya justeru aku sendiri sibuk dengan pesakit-pesakit baru yang saban hari mengunjungi klinik. Namun, setiap kali menghadap Illahi, setiap kali itulah doaku akan kesejahteraan Heykal kuapungkan ke langit. Cuma pada hari itu, aku dapat bersua muka dengannya. Dia di bilik Doktor Yidzak. Sebetulnya Doktor Yidzak yang memanggilku untuk berkongsi berita kejayaannya melupuskan memori seorang lagi pesakit. Aku masuk ke dalam, Heykal di kerusi. Dia sudah benar-benar sembuh. Dalam hati, aku terlalu melonjak, aku dan Heykal, kami akan bersatu. Aku ke sisi Doktor Yidzak, sengaja mendapatkan posisi itu supaya wajahnya dapat kutatap puas-puas. Aku tersenyum girang. Namun, dia memandangku kosong. Lama dia membalas senyumku. Tetapi, senyum itu aku arif tentangnya, jenis senyum yang kita ukirkan dan lemparkan pada orang-orang tidak kenali yang berselisih dengan kita di pasar atau di jalanan, senyum tanda kita sekadar berbasa basi. Aku jadi kaget. Kebuncahan memalu. Heykal, mata itu tidak berkaca lagi. Memori Heykal tentang cinta telah saya lenyapkan kesemuanya. Mulai saat ini, dia akan menjadi insan baru. Semoga dia menemui cinta yang diharap-harapkan.

Ketika itulah, hatiku pecah berketai-ketai, ia menjadi sagun berderai diterbangkan angin. Ternyata, perasaan cinta Heykal yang pernah tumbuh terhadapku juga telah dipadam oleh Doktor Yidzak. Ia telah lesap dalam pusar air dan kini teroleng-oleng dalam loji penapisan. Cintaku akhirnya berlumut di dalam lautan najis. Seraya aku pecah dengan tangisan, berlari keluar dari bilik itu, mengongoi sendiri di dalam tandas. Apa yang aku tahu kemudiannya, Heykal telah pulang ke kampungnya di Alor Gajah, sepanjang kepulangannya dia dilayan mesra oleh sepupunya, cinta berputik antara mereka, semakin lama meranum dan mereka bakal diijabkabul tidak lama lagi.

Maka apa yang tertinggal buatku tidak lebih sekadar ingatan terhadap cinta Heykal, kata-katanya, falsafahnya, aku jadi nanar. Hidupku ialah trivia. Aku akhirnya tanpa pertimbangan otak telah nekad mempercayai gerak hati, aku capai scalpel Doktor Yidzak, lantas membelah dada dan menoreh keluar separuh hatiku. Aku cucikannya baik-baik, letakkan disenfektan, sebelum aku makamkannya di dalam kotak beriben ungu itu. Aku rakamkan arahannya di dalam pita dan letakkan di sisi kotak. Moga-moga Doktor Yidzak akan menemukannya dan menurut manual arahan yang diberi. Cukuplah dengan pengalaman cinta pertama itu. Banyak yang kupelajari. Biarlah aku membawa diri, dengan sebelah hati yang masih ada ini, aku yakin kuasa matanya tidak akan jejas. Cinta ada di mana-mana. Untuk mencari yang sejati itu yang sukar, untuk mentafsir kegelapan itu yang kekadang kita buntu, untuk percaya pada kata-kata dan bahasa indah yang selalunya meralitkan dan memusnahkan itu yang kita seringkali tertipu, untuk bertindak dan percaya itu lebih sukar daripada sekadar mengungkapkan, untuk membuat pilihan: hidup dalam kenangan atau mencipta pengalaman baru juga sering melelahkan.


By Irwan Mansor

3 comments:

  1. i like this one..melo style...
    lancar je...
    bagus2..
    good job..

    ReplyDelete
  2. Menarik,
    cuma ada keliru sikit bila baca
    ok la

    Dan Bentong

    ReplyDelete
  3. ermmmmmmm ok la ok ok ok ...aku jadi faham bahasa melayu

    ReplyDelete